NILAI, 13 Januari 2023 – Dianggarkan seramai 12,867 pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menerima manfaat Kad Prihatin Siswa yang diagihkan bermula 10 sehingga 17 Januari 2023 ini mengikut fakulti-fakulti yang ditetapkan.

Agihan dan pengaktifan Kad Prihatin Siswa yang sedang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor turut dihadiri oleh Dato’ Adissadikin Ali Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic dan Encik Hirman Awang@Semail Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik Kementerian Pendidikan Tinggi yang melihat proses pengagihan ini dilakukan.

Naib Canselor USIM, Prof Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, USIM menyokong langkah yang diambil oleh KPT ini bagi tujuan penyelarasan saluran pinjaman kewangan mahupun bantuan yang akan disalurkan secara berpusat menggunakan Kad Prihatin Siswa dengan kerjasama RHB.

“Saya melihat Kad Debit-i MySiswa RHB ini menggalakkan mahasiswa menggunakan teknologi tanpa tunai (cashless) di dalam kampus, sekaligus merupakan kad matrik pelajar di mana ia akan dibawa dan  digunapakai dalam satu kad sahaja”.

Sementara itu, menurut Dato’ Adissadikin Ali Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic yang turun padang melihat operasi agihan ini berkata, kerjasama KPT-RHB dilihat akan memberi manfaat kepada semua pemegang kad dengan menawarkan pelbagai promosi dari semasa ke semasa.

Jelas beliau lagi, pihak RHB akan bekerjasama dengan vendor seperti e-wallet boost dan beberapa syarikat lain untuk tujuan ini.

Kad Prihatin Siswa (KPS) ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama universiti awam (UA) seluruh negara dengan kerjasama bank RHB yang bertujuan penyelarasan pinjaman mahupun bantuan kewangan serta mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih baik kepada pengurusan universiti, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan KPT.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan