Bandar Baru Nilai, 29 Julai 2010 – Graduan Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malayia (USIM) Mohd Rasyidi Md Rasyid, 26 dan pelajar tahun 3 jurusan Syariah dan Undang-Undang USIM, Razlan bin Ramli, 22 antara 6 pelajar yang menerima Skim Insentif Huffaz Al-Quran USIM (i-Huffaz).

Masing-masing menerima RM 2,000 beserta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Menteri  Di Jabatan Perdana Menteri, YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B).

USIM merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pertama yang memartabatkan para huffaz Al-Quran dalam kalangan warga akademik dan merupakan satu pengiktirafan kepada para huffaz daripada sebuah institusi yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian Islam umumnya dn pengajian Quran khususnya.

Menurut Ustaz Amiruddin, pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, pertandingan Hafazan Al-Quran ini bertujuan untuk menggalakkan pelajar-pelajar dan warga USIM menghafal Al-Quran. Ia juga adalah hasrat Naib Canselor USIM, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda dan semua hadiah adalah tajaan dan peruntukan dari tabung Naib Canselor sendiri.

“Memandangkan pertandingan ini merupakan julung kali diadakan, maka ianya hanya terbuka kepada pelajar USIM sahaja dan seterusnya untuk warga USIM keseluruhannya di masa akan datang”, kata beliau.

Sementara itu Mohd Rasyidi yang merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah di Syria memberitahu, dia mengambil masa setengah jam setiap hari selepas solat mempraktis hafazan Al-Quran.

Bagi Razlan, pertandingan seumpama ini merupakan kali ketiga disertainya dan berusaha untuk lebih maju di masa akan datang.

“Saya mendapat tempat ke-5 dalam pertandingan Hafazan bagi kategori 15 juzuk mewakili Negeri Sembilan di Peringkat Kebangsaan dan seterusnya mewakili Malaysia untuk peringkat Asean di Jakarta pada tahun 2009.

Selain itu, seramai 4 orang pelajar USIM menerima RM 500 beserta sijil penghargaan untuk kategori Juzuk ‘Amma.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028