NILAI, 12 Januari 2023- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (CAKNE) memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bertempat di Galeri Canselori USIM hari ini.

Tujuan utama memorandum ini adalah bagi bekerjasama untuk menganjurkan acara besar kayuhan amal, CAKNE Gold Ribbon Ride 2023: Jelajah Semenanjung (CGRR23) yang merupakan program ‘signature’ bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang isu berkaitan kanser disamping mensasarkan kutipan dana bagi membiayai pelbagai perkhidmatan untuk membantu pesakit kanser kanak kanak dan keluarga.

Selain itu, apa yang penting adalah, kerjasama ini turut berfokus kepada kajian dan penerbitan dalam bidang kesihatan mental serta mengenalpasti halatuju bekas pesakit khususnya yang menjadi OKU akibat kanser.

Naib Canselor USIM, Prof. Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapan aluannya berkata, USIM dan CAKNE akan mengorak langkah untuk membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam bidang-bidang yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak termasuklah dengan meneruskan program Larian Amal, pembangunan komunikasi strategik dan media baharu serta pembangunan portal pembiayaan kos rawatan kanser kanak-kanak.

Sementara itu, Tn. Hj. Mohd Shah Awaluddin, Pengarah Eksekutif CAKNE berkata, meskipun rawatan-rawatan berkaitan kanser kanak-kanak telah dilaksanakan di hospital dalam negara untuk tempoh yang agak lama, namun begitu, data-data serta dapatan berkaitan kes yang ada agak sukar dikumpulkan dan dengan adanya kerjasama kajian dan penerbitan ilmiah antara USIM dan CAKNE dapat membantu CAKNE dalam mengenalpasti perancangan dan halatuju pesakit kanser.

Beliau turut menambah, kos yang ditanggung oleh keluarga pesakit juga agak tinggi. Oleh kerana itu, dengan adanya portal pembiayaan rawatan yang bakal dibangunkan kelak dapat membantu meringankan beban keluarga yang mempunyai anak-anak pesakit kanser ini.

Hadir sama di Majlis Memorandum Persefahaman ini adalah Profesor Dato’ Muhammad Tauffik Mohd Noor, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pendaftar USIM, Dato’ Muhammad Haizuan Rozali, Puan Nor Hashimah Sulaiman, Pengerusi Persatuan Sokongan Kanser Kanak-Kanak (CAKNE) serta Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI).

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan