NILAI, 12 MEI 2015 – Satu Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) berlangsung dengan jayanya di Executive Lounge, Canselori.

Sebelum ini UNISSULA dan USIM pernah meterai Letter of Intent (LoI) pada tahun 2014 semasa 13th Asian University Presidents Forum (AUPF) di Thailand. Ketika itu USIM diwakili oleh Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Prof. Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Hj. Awangku Yussuf, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersialandalam forum tersebut.

“Lokasi UNISSULA yang berada di Jawa Tengah, Indonesia ini diiktiraf sebagai perintis bagi konsep “Raising a Khaira Ummah Generation”. Istilah ini merujuk kepada konsep dan kaedah menjana program bersepadu dengan matlamat untuk menyediakan Generasi Terbaik.Sesungguhnya hasrat murni itu sinonim dengan USIM yang juga berhasrat untuk menjadi pusat rujukan serantau bagi integrasi Naqli dan Aqli menjelang 2016. Slogan penjenamaan bagi misi ini juga dikenali sebagai USIM’16 dan USIM juga berhasrat menjadi pusat rujukan global Naqli dan Aqli menjelang 2025 atau USIM’25”,ucap Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM.

“USIM tidak bertumpu kepada kejayaan bidang akademik sahaja tetapi juga berhasrat menjadi sebuah universiti yang relevan kepada masyarakat sekeliling sesuai dengan outcome USIM untuk menjadi Nombor satu (1) di hati dan minda rakyat atau “Number one (1) in the hearts and the minds of the people.” Oleh itu, saya amat berharap agar dengan adanya memorandum persefahaman ini akan dapat menghasilkan satu kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada institusi masing-masing secara spesifiknya dan umat islam secara amnya”, tambah Dato’ Musa.

Melalui persefahaman ini, USIM dan UNISSULA akan bekerjasama dalam segi program latihan, projek kajian dan pembangunan, pertukaran staf dan pelajar serta kerjasama lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

USIM diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dan UNISSULA diwakili oleh Rektor, Prof. Madya Dr. Anis Malik Thoha. Turut hadir Prof. Madya Dr. Awangku Abdul Rahman Awang Yussuf, Pengarah Pusat Hubungan Industri dan Pengkomersilan (PHIP).

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan