NILAI, 1 FEB 2015 – Bertemakan “Kesihatan Permata Kehidupan, Ekonomi Menjana Kesejahteraan”, Karnival Kesihatan dan Ekonomi Parlimen Pagoh 2015 anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Biro Integrasi Kaum Parlimen Pagoh, Pusat Khidmat Adun Jorak dan Ahli Parlimen Pagoh telah diadakan di Dewan Sek. Keb. Sri Bukit Pasir, Dun Jorak bermula 30 Januari hingga 1 Februari 2015.

Karnival diadakan bertujuan mencapai objektif Penyelidikan “Consultation on Strategic Planning Of Community Development Through Social Auditing In The Pagoh Constituency” yang merupakan naungan YAB Timbalan Perdana Menteri. Melaluinya, USIM dilantik sebagai ahli perundingan dalam menjalankan kajian selama tempoh dua tahun (Ogos 2014-Julai 2016). YAB Timbalan Perdana Menteri turut memperuntukkan sejumlah dana untuk pembangunanan masyarakat setempat di kawasan Pagoh yang juga merupakan kawasan Parlimen beliau.

Menurut Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad, Naib Canselor USIM, penganjuran Karnival Kesihatan & Ekonomi Parlimen Pagoh 2015 amat bersesuaian dengan bidang bitara USIM dalam pengajian Islam serta sains dan misi dalam menjadi sebuah institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan integrasi ilmu Naqli dan ilmu Aqli bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat dan Islam.

“Tujuan penganjuran Karnival Kesihatan & Ekonomi Parlimen Pagoh 2015 adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat setempat tentang kepentingan penjagaan kesihatan tubuh badan dan mengeratkan silaturahim di antara USIM dan penduduk setempat serta memperkenalkan USIM sebagai satu institusi pendidikan yang memperjuang kesyumulan Islam melalui pendekatan integrasi ilmu naqli dan aqli”.

”Di samping itu, karnival ini juga bertujuan untuk mendapatkan data kedudukan ekonomi keluarga di samping melihat potensi perkembangan taraf ekonomi sesuatu keluarga di dalam kawasan Parlimen Pagoh dengan mengadakan lawatan dari rumah ke rumah penduduk untuk melihat dan mendapatkan data kesihatan serta ekonomi di samping memberikan tunjuk ajar dan nasihat berkenaan masalah kesihatan dan ekonomi”, tambah Dato’ Musa.

Penyelidikan ini menekankan enam elemen merangkumi aspek agama, ekonomi, sosial, politik, persekitaran, kesihatan dan pendidikan. Penyelidikan yang telah bermula sejak September 2014 kini berada dalam fasa mengumpul data menggunakan metodologi persampelan kepada pelbagai lapisan masyarakat di sekitar Dun Jorak termasuklah melalui keadah soal-selidik berkelompok dan temubual pada masa yang sama memberikan perkhidmatan berbentuk kesihatan dan ekonomi kepada masyarakat setempat melalui program-program yang disediakan.

Pengisian program selama tiga (3) hari ini mempunyai kelainannya antaranya gotong royong di Kampung Permatang Pasir, kampung Parit Sharif, dan kampung Sg.Raya dan ceramah berkaitan Cegah Aedes & Denggi dan Bahaya Kencing Tikus yang disampaikan oleh Dr. Rahman Omar daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM.

Home-visit pula diwakili oleh jururawat daripada KPJ Bandar Maharani, pelajar FPSK USIM dan juga doktor perubatan USIM. Home-visit ini mengutamakan pemberian perkhidmatan kesihatan kepada warga emas. dan juga sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dibawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat juga turut dilawati untuk diberikan khidmat pemeriksaan kesihatan.

Selain itu, pemeriksaan gigi kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Bukit Pasir tahun 1-3 dilakukan oleh pelajar FPSK USIM, FPG USIM dan Klinik Pergigian Bukit Pasir dibantu oleh doktor-doktor perubatan daripada USIM. Selain daripada pemeriksaan kesihatan ini, suntikan rohani juga tidak dilupakan dengan mengadakan ceramah agama dan kesihatan sebagai perkongsian ilmu meningkatkan kesedaran menjaga kesihatan dan kebersihan dalam kehidupan seharian.

Aktiviti lain yang diatur sepanjang karnival berlangsung adalah pameran kesihatan percuma (mata, telinga, gigi) dengan kerjasama oleh KPJ Muar dan Pejabat Kesihatan Daerah, pameran pendidikan oleh USIM malah penduduk kampung berpeluang merasai pengalaman menderma darah disamping menyertai aktiviti sukaneka, senamrobik dan walkathon disediakan untuk menggalakkan penduduk kampung mengamalkan cara hidup sihat.

Majlis Perasmian Penutup di Dewan SK Sri Bukit Pasir  telah dirasmikan oleh Prof. Dato’ Dr Musa Ahmad, Naib Canselor USIM dan juga ucapan daripada wakil Biro Integrasi Kaum Parlimen Pagoh iaitu Encik Mohd Zaid Ab. Rahman, Pegawai Khas Pendidikan, Timbalan Perdana Menteri.

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204