NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus meraikan keindahan lebaran dan memperkukuh kebajikan warga kerja menerusi Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H/2025M yang berlangsung meriah di Dewan Tuanku Canselor USIM, semalam 9 April 2025.
Majlis yang bertemakan “Nostalgia Raya USIM #EratSilaturrahim” telah memperlihatkan penyertaan hampir 2,300 warga USIM dan rakan strategik dengan penglibatan lebih 22 gerai makanan tradisional yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan citarasa di Malaysia.
Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Tunku Pro-Canselor USIM menyerikan lagi majlis dan mencerminkan sokongan padu pimpinan universiti terhadap semangat kekeluargaan dan kebersamaan yang ditonjolkan.
Dalam ucapan aluannya, Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani turut menyampaikan satu pengumuman istimewa yang menjadi hadiah bermakna buat seluruh staf USIM bersempena sambutan Bulan Hari Jadi Staf.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) Bil. 12/2025 yang telah bersidang pada 8 April 2025 telah bersetuju meluluskan Kemudahan Bekerja Dari Rumah (BDR) sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran staf USIM,” ujar beliau.
Menurut beliau, kemudahan ini akan mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2025 dan terbuka kepada semua staf kecuali yang bertugas dalam perkhidmatan penting, sebagai langkah memperkasa kebajikan dan kesejahteraan warga kerja serta meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan.
Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan kemudahan ini akan diperincikan oleh Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Pendaftar dalam masa terdekat.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan kebudayaan, cabutan bertuah serta keunikan dekorasi gerai dan tema berpakaian yang menonjolkan elemen nostalgia Hari Raya USIM.
Oleh: Adika Hakmi Ab Ghani