NILAI, 29 JUN 2022 – Muhammad Nur Afiq Kamarul Arifen, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Shamsul Aiman Mu’amar Shamsul Bahrin dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama telah dipilih sebagai Johan dan Naib Johan pada sesi akhir Kejohanan Motivator Muda Piala Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Johan dan Naib Johan ini akan bertanding di Kejohanan Intervasity Young Motivator Competition (I-Mac) peringkat kebangsaan yang akan di adakan pada bulan November 2022 akan datang anjuran Majlis Kaunseling dan Kerjaya Universiti-universiti Awam (MAKUMA) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Program yang diadakan sebagai acara tahunan ini bertujuan untuk mencari bakat mahasiswa yang boleh diketengahkan sebagai Ikon Motivator Muda kepada masyarakat. Program ini telah dianjurkan mulai tahun 2014 dan memberi impak kepada universiti untuk menghasilkan pelajar yang cemerlang sebagai pembimbing dan mempunyai kemahiran pengucapan awam yang berasaskan motivasi.

Kejohanan ini berlangsung selama 5 hari bermula 25 Jun 2022 melalui penganjuran bengkel dan peringkat saringan berlangsung pada 27 Jun 2022. Seramai 5 peserta telah layak dipilih ke peringkat akhir dan Majlis Perasmian Penutupan Kejohanan Motivator Muda Piala Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohd Al-Bakri, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia.

“Seramai 14 orang peserta daripada pelbagai fakulti di USIM telah menyertai kejohanan ini dan kelainan yang diketengahkan pada kali ini adalah nama program yang telah diberikan nafas baru, pemberian piala pusingan iaitu Piala Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti sebagai hadiah utama kejohanan ini termasuk hadiah wang tunai dan juga sijil” ujarnya.

Pemenang tempat pertama membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,800.00 berserta piala pusingan, diikuti tempat kedua menerima hadiah wang tunai RM1,500.00 manakala tempat ketiga menerima hadiah wang tunai RM1,000.00. Kategori Persembahan Terbaik dan Video Terbaik masing-masing membawa pulang wang tunai RM500.00.

“Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua pemenang dalam kejohanan pada kali ini. Semoga program ini terus dilaksanakan sebagai wahana dalam usaha memupuk dan mengukuhkan jati diri anak bangsa. Usaha ini bakal melahirkan generasi rabbani yang mencintai ilmu dan diharapkan ianya diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT” ujarnya.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan