Kuala Lumpur, 7 Disember 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung-julung kalinya muncul juara Pertandingan Debat Diraja IPT 2009 dalam dua kategori iaitu Johan Debat Bahasa Arab kategori Utama dan Johan Debat Bahasa Melayu Kategori Muda dalam tempoh 10 tahun penubuhan USIM.

Pertandingan yang berlangsung di Universiti Malaya pada 4 hingga 7 Disember 2009  merupakan acara tahunan anjuran Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM). Pasukan debat bahasa arab USIM yang diwakili oleh Mohd Najib Taha, Hisham Hanapi, Mohd Izzat Amsyar dan Ahmad Shahir berjaya menewaskan juara bertahan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). USIM bertindak sebagai kerajaan manakala UIAM bertindak sebagai pembangkang berhujah di atas tajuk “Menghantar pelajar untuk menyambung pengajian di Universiti bukan Islam merosakkan akhlak mereka”.

USIM juga mencipta sejarah buat kali pertama apabila muncul juara debat bahasa melayu kategori muda. USIM membariskan empat pendebat iaitu Ammar Shahrim, Mohd Azri Naim, Mohd Shahizad Saleh dan Anis Nazurah Abd Mokhti berjaya menewaskan pasukan dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang membahaskan tajuk “Krisis pemanasan global : kita sudah terlambat”.

Menurut Ammar Shahrim, “Kejayaan ini amat bermakna buat kami atas usaha keras pendebat, bimbingan daripada jurulatih, sokongan pihak pengurusan USIM yang tidak berbelah bahagi dan kemenangan ini sekaligus menamatkan penantian 10 tahun penglibatan USIM dalam debat diraja IPT”.

Mohd Najib Taha, pendebat bahasa arab USIM pula berkata “Kami tidak menjangkakan kemenangan ini kerana kami berdepan dengan juara bertahan UIAM dan Alhamdulillah kami berjaya menumbangkan mereka. Ini juga adalah hadiah sempena 10 Tahun penubuhan USIM dan hadiah perlantikkan Naib Canselor baru USIM Prof Dato’ Dr Muhammad Muda”.

Bagi Kategori Bahasa Inggeris dimenangi oleh pasukan Universiti Islam Aantarabangsa Malaysia (UIAM) selepas menewaskan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) manakala kategori Bahasa Melayu Utama dimenangi oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengalahkan pasukan daripada Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM).

Juara kategori Muda dan Utama masing-masing menerima hadiah wang ringgit berjumlah RM 3,000, Sijil Penyertaan, Piala Pusingan dan Piala Iringan. Hadiah dan cenderamata disampaikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbudin Shah. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya Tan Sri Datuk Arshad Ayub dan Naib Canselor Universiti Malaya Professor Datuk Dr. Ghauth Jasmon.

Oleh :
Mohd Hariri Mohamad Daud
Penolong Pendaftar Unit Perhubungan Awam
hariri@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8027/8028