NILAI, 28 Julai 2020 – Dalam beberapa minggu lagi, kita akan menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun pada 31 Ogos. Bagi meraikan kedatangan hari bersejarah Malaysia, Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat USIM 2020 telah berlangsung di perkarangan Canselori yang dirasmikan oleh Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. Turut hadir bersama barisan pengurusan universiti dan staf USIM.

Tema Hari Kebangsaan yang diangkat kali ini adalah ’Malaysia Prihatin’. Tema gabungan perkataan ’Malaysia’ dan ’Prihatin’ menggambarkan seluruh rakyat di negara ini turut sama memerangi wabak Covid19 serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan demi kelangsungan hidup rakyat.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi dengan menaikkan bendera Malaysia, serta lafaz ikrar Rukun Negara yang dibacakan oleh wakil Jabatan Keselamatan USIM. Seterusnya, nyayian lagu patriotik Jalur Gemilang dan lagu warisan diketuai oleh Pusat Kebudayaan USIM.

Pada tahun ini juga Malaysia turut meraikan usia Jubli Emas 50 Tahun Rukun Negara. Pada 31 Ogos 1970, KBYMM Seri Padukan Baginda Yang DiPertuan Agong Tunku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin telah mengisyhtiharkan Rukun Negara secara rasmi bagi memupuk dan memperkasakan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya.

Prof. Ridza memetik kata-kata dari penulis kolumnis Sinar Harian, bahawa konsep kemerdekaan tidak boleh berdiri secara sendiri dan mutlak. Ia harus disandarkan dengan kehakikian akal dan jiwa manusia yang fitrahnya merdeka.

”Hanya dengan membebaskan jiwa dan minda daripada segala dogma yang sesat dan sempit menerusi rasional akal, ajaran agama serta akhlak yang baik sahaja akan mampu menerbitkan erti merdeka yang sebenar”.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan