BANGI, 16 Februari 2020 – Kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa kesungguhan. Itulah gambaran yang diungkapkan kepada kumpulan Intracksee B Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila berjaya merangkul naib johan Festival Nasyid Peringkat IPTA/IPTS (FESNAIS) dan Konsert Amal 2020 yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kumpulan Intracksee mempertaruhkan lagu berjudul Ayah hasil ciptaan Hisyam Haris juga merupakan alumni USIM mengisahkan kerinduan seorang anak terhadap ayahnya dan ingin membalas semula hasil pengorbanan dan kejerihan seorang ayah dalam mencari rezeki untuk membesarkan anak. Jika dihitung tidak terbalas dek budi dan keringat yang telah dicurahkan oleh seorang insan yang dipanggil ayah.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata bahawa, “penyertaan kumpulan nasyid Intracksee ke FESNAIS memperlihatkan kematangan mereka dalam menyampaikan sebuah persembahan yang mampu memberi impak dari segi emosi kita sebagai penonton dan mempunyai elemen dramatik.”

Sementara itu, kumpulan nasyid Intracksee A yang menyertai pertandingan ini turut mengharumkan nama USIM apabila memenangi anugerah Vokal Emas (Berkumpulan) Terbaik FESNAIS. Ketua kumpulan Intracksee USIM, saudara Muhammad Faatir Hamdan berkata “kumpulan nasyid yang bertanding pada kali ini membawa kreativiti tersendiri. Kami menjalani latihan dalam masa dua minggu sebelum semester berakhir dan anugerah yang diperolehi juga dianggap sebagai pembuka yang baik bagi tahun 2020.” Ujar beliau selepas keputusan FESNAIS diumumkan.

Program anjuran Kolej Pendeta Za’ba Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Islamic Relief Malaysia (IRM) merupakan acara tahunan yang dijalankan di peringkat IPTA/IPTS bagi mencungkil bakat nyanyian serta idea kreatif mahasiswa dalam menghasilkan lagu-lagu berbentuk Ketuhanan. FESNAIS disertai oleh 20 kumpulan nasyid yang bertanding ke peringkat saringan dan tujuh kumpulan telah terpilih berentap ke peringkat akhir. Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof. Ir. Dato’ Dr. Othman A. Karim bersama Zairulshahfuddin Zainal Abidin  Ketua Pegawai Eksekutif IRM.

Johan FESNAIS telah diungguli oleh kumpulan Invoices Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sekali gus membawa pulang wang tunai sejumlah RM2,000 berserta trofi dan sijil penyertaan. Manakala   tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Lasykar Khaleefah Universiti Kebangsaan Malaysia dengan membawa wang tunai RM700 beserta trofi dan sijil penyertaan.

Disediakan oleh :
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

[/fusion_text][/fusion_builder_column][/fusion_builder_row][/fusion_builder_container]