NILAI – Festival Halal dan Pelancongan Islam Madani Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melabuhkan tirainya selepas berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Mei 2026, dengan membawa aspirasi besar dalam memperkukuh kesedaran halal serta memperkasa potensi pelancongan Islam berteraskan nilai syariah.

Festival tersebut dilihat sebagai platform strategik dalam melahirkan generasi Muslim profesional yang berdaya saing, kreatif dan berintegriti, khususnya dalam mendepani cabaran industri halal dan pelancongan Islam di peringkat nasional serta global.

Program ini berjaya menghimpunkan mahasiswa, usahawan, penggiat industri dan masyarakat dalam usaha memperkukuh kefahaman mengenai pembangunan ekonomi halal serta pelancongan berteraskan nilai Islam. Selain itu, penganjuran festival ini turut menjadi medium dakwah yang memperluas kesedaran masyarakat terhadap kepentingan industri halal melalui pelbagai aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program berlangsung.

Pengarah Festival Halal dan Pelancongan Islam Madani merangkap Pengarah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM, Prof. Dr. Azman Ab Rahman, berkata festival tersebut merupakan inisiatif penting dalam memperluas pendidikan halal kepada pelbagai lapisan masyarakat.

“Program ini dilihat sebagai satu inisiatif dakwah dalam konteks pendidikan halal untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, bermula daripada peringkat kanak-kanak sekolah melalui pertandingan melukis sehinggalah ke peringkat profesional,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Penutup Festival Halal dan Pelancongan Islam Madani.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Hj. Mohamad Isa, berkata USIM bukan sekadar berperanan melahirkan graduan, malah komited membentuk generasi pemikir, penggerak dan arkitek masa depan industri halal negara.

Menurut beliau, festival tersebut berperanan sebagai platform strategik dalam membentuk kepimpinan halal generasi baharu melalui pendedahan praktikal yang menghubungkan dunia akademia, industri dan dasar negara.

“Festival ini dianggap sebagai satu platform strategik untuk membentuk kepimpinan halal generasi baharu. Program ini menyediakan pendedahan praktikal melalui integrasi antara pihak akademia, industri dan dasar negara, sekali gus membolehkan mahasiswa berada dalam ekosistem yang menghubungkan teori dan amalan industri secara langsung,” katanya.

Pembangunan industri halal dan pelancongan Islam bukan sahaja memerlukan inovasi dan kepakaran, malah menuntut tenaga kerja yang memiliki integriti, kefahaman mendalam terhadap nilai syariah serta keupayaan menterjemahkan prinsip halal dalam amalan industri.

Pengarah Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Muhyidin Aziz @ Saari, turut menyifatkan generasi muda sebagai kelompok yang mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju industri halal pada masa hadapan sekiranya diberikan pendedahan, bimbingan dan peluang yang mencukupi.

“Harapan utama daripada penganjuran program sebegini adalah untuk melihat peningkatan kesedaran halal, terutamanya dalam kalangan generasi muda seperti siswa, siswi dan anak-anak di peringkat sekolah.

“Kesedaran yang dipupuk sejak muda amat penting kerana pengguna yang mempunyai kefahaman tinggi terhadap keperluan halal akan menjadi pemangkin kepada industri untuk mendapatkan persijilan halal,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Halal dan Pelancongan Islam Madani.

Penganjuran festival ini mencerminkan komitmen USIM dalam memperkukuh ekosistem pendidikan halal dan pelancongan Islam melalui pendekatan integrasi ilmu, nilai Islam dan kepakaran profesional. Inisiatif seperti ini juga dilihat mampu melahirkan graduan Muslim profesional yang bukan sahaja memahami tuntutan industri, malah berupaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi halal negara secara lebih berimpak dan mampan.

Oleh: Iqbal Ilyas Mohd Nordin