NILAI, 7 Mac 2022 – Sebagai usaha menyokong keterlibatan industri dengan ahli akademik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat pertama kalinya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan KRU dan KRU Entertainment pada pagi ini.

Majlis yang berlangsung di Canselori USIM menyaksikan USIM diwakili oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, manakala KRU Entertainment diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif KRU Dato’ Norman Abdul Halim.

Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin berkata, kolaborasi ini akan diterajui dibawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM untuk berganding bahu bersama syarikat industri melalui program-program yang akan dijalankan secara bersama antara kedua belah pihak.

Beliau berkata lagi, pelbagai peluang kerjasama dari pelbagai latarbelakang industri kreatif pula dilihat boleh dijalankan secara bersama KRU seperti penerbitan BUKOO iaitu buku digital penyelidikan sains dan teknologi dalam bentuk eBook dan audio book dan iLike – eCommerce platform keusahawanan untuk mempamerkan produk hasil inovasi pelajar dan staf seperti di platform Shopee, Lazada, dan seumpamanya.

“USIM yang telah mewujudkan platform keusahawanan melalui konsep Prosumerisme di bawah seliaan Pusat Keusahawanan Universiti (PKUU) banyak memberi peluang dan inisiatif perniagaan kepada pelajar dalam memulakan perniagaan”.

Sementara itu Dato’ Norman dalam ucapannya berkata, KRU sedang giat menjalinkan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam usaha berganding bahu untuk memartabatkan lagi platform keusahawanan yang boleh dilakukan dalam pelbagai cara walaupun daripada latar belakang yang berbeza.

Ujarnya lagi, diharapkan penglibatan bersama industri dan ahli akademik akan melahirkan lebih ramai usahawan yang kreatif dari pelbagai segi pada masa akan datang dalam menjana ekonomi negara.

Perjanjian MoU ini adalah rentetan daripada penempatan pensyarah, Dr. Safiyyah Ahmad Sabri di KRU melalui program CEO@Faculty anjuran Akademi Kepimpinan Kepimpinan Tinggi (AKEPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi yang memberi peluang libatsama di antara tenaga akademik dan industri tempatan.

Selepas majlis MoU berlangsung, majlis diteruskan dengan program forum secara dalam talian bertajuk ‘Memperkasakan Contentpreneur di Era Digital’. Ia disiarkan secara langsung menerusi platform Facebook USIMTV yang memaparkan tiga orang panel jemputan iaitu Dato’ Mohamed Ridza, Dato’ Norman serta Ketua Pegawai Eksekutif Tv Alhijrah, Encik Namanzee Harris serta Dr. Safiyyah  Ahmad Sabri sebagai moderator.

 

sumber: FKP

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan