NILAI, 18 NOV 2016 – Memasuki edisi ke-14 penganjurannya sebagai salah satu pengisian utama sempena Majlis Konvokesyen USIM, kali ini Pesta Konvokesyen atau dikenali sebagai C-FEST diurus selia oleh ahli barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2015/2016 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Ia berlangsung bermula 18 November sehingga 21 November 2016 bertempat di perkarangan Kompleks Sukan Tunku Najihah, USIM. Perasmian disempurnakan oleh YAM Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, Pro Canselor USIM.
Bertemakan “Menuju Kampus Barakah”, C-FEST pada kali ini menarik 30,000 pengunjung hadir memeriahkan tapak pesta dengan pelbagai pengisian aktiviti dan jualan yang berlangsung bermula jam 9.00 pagi sehingga 10.00 malam setiap hari. Sebanyak 50 gerai jualan yang menjual pelbagai produk seperti makanan, pakaian, bahan bacaan dan aksesori kita tawarkan untuk memenuhi dan memberi pilihan citarasa pengunjung yang datang.
Selain itu, turut dianjurkan kejohanan futsal, perlumbaan kereta mini, pertandingan memancing dan bola jaring yang menawarkan hadiah wang tunai sebagai ganjaran kepada para pemenang.
Manakala kemuncak pesta konvokesyen adalah penganjuran Konsert Malam Manifestasi Sang Hamba pada Ahad malam dengan persembahan yang pasti dinantikan adalah Caliph Buskers dan Spider.
Selain itu, sepanjang C-FEST ini juga turut diadakan pameran untuk para pengunjung mendapat pelbagai informasi mengenai Universiti dengan dilibatkan pelbagai wakil pelajar persatuan dan kelab di bawah satu bumbung iaitu Karnival Siswa (KARSIS) manakala fakulti dan jabatan dengan pameran Showcase USIM ‘Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli’.
Turut diadakan perasmian ‘Ibnu Haitham – Centre of Islamic Technology’ dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USIM dan Kumpulan Utusan Melayu Malaysia Berhad.
Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204