NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila lima warga universiti terpilih menyertai program mobiliti akademik antarabangsa di Rusia menerusi inisiatif Russian Summer University 2026 dan Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026.

Seramai tiga pelajar USIM akan mengikuti Russian Summer University 2026 di Kazan Federal University, Rusia pada 6 hingga 19 Julai 2026, manakala dua ahli akademik USIM menyertai Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026 di Saint Petersburg Electrotechnical University dan Industrial University of Tyumen, Rusia pada 20 Julai hingga 2 Ogos 2026.

Program yang ini menghimpunkan peserta antarabangsa melalui pengisian akademik, pembangunan profesional, pertukaran budaya dan kolaborasi ilmu bersama institusi pengajian tinggi terkemuka di Rusia.

Peserta bagi Russian Summer University 2026 ialah Nurul Farmin Mohd Nor Azman dan Raudhatul Afiah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, serta Nur Sabihah Hishamudin dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Sementara itu, USIM diwakili oleh Dr. Nur Sabrina Suhaimi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina di Saint Petersburg Electrotechnical University, serta Dr. Nurul Hana Mas’od dari Fakulti Sains dan Teknologi di Industrial University of Tyumen bagi Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026.

Menurut Pengarah USIM ‘Alamiyyah, penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan USIM dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan serta memperluas pengaruh akademik universiti di peringkat global.

“Program mobiliti antarabangsa seperti ini merupakan manifestasi komitmen USIM dalam melahirkan graduan dan ahli akademik yang mempunyai kompetensi global, kepekaan rentas budaya serta kemampuan memimpin dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa yang semakin dinamik.

“Penyertaan warga USIM di Rusia turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan akademik global, penerokaan penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan modal insan yang mampu membawa aspirasi Integrasi Ilmu ke pentas dunia,” katanya.

Penyertaan yang digerakkan melalui USIM ‘Alamiyyah ini merupakan kesinambungan hubungan strategik antara USIM dan institusi pengajian tinggi di Rusia susulan lawatan rasmi delegasi USIM ‘Alamiyyah ke negara tersebut pada September 2025, yang telah membuka ruang kepada peluasan kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti antarabangsa.

Russian Summer University 2026 menyediakan pengalaman pembelajaran intensif kepada pelajar melalui kuliah, seminar, masterclass, pembelajaran berasaskan projek, jaringan antarabangsa serta program kebudayaan. Program ini merangkumi 21 bidang pengkhususan termasuk kejuruteraan, teknologi maklumat, kemanusiaan, biologi, psikologi, ekonomi dan tenaga.

Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026 pula memberi tumpuan kepada pembangunan profesional ahli akademik dan penyelidik muda melalui perkongsian ilmu, pendekatan inovatif dalam pendidikan serta penerokaan kerjasama penyelidikan antarabangsa, khususnya dalam bidang Electronics & Automation dan Nuclear Technology.

Selaras dengan falsafah Integrasi Ilmu, program ini diharap dapat memperkasa warga USIM yang berupaya menggabungkan kepakaran profesional, nilai kemanusiaan dan kefahaman rentas budaya dalam mendepani cabaran global.