NILAI – Keterbatasan fizikal melibatkan anggota kaki dan tangan sejak lahir tidak menghalang Muhammad Adib Imran, 27, untuk terus berdikari sehingga berjaya menamatkan pengajian dan bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Graduan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Perlis itu membuktikan keazaman dan kekuatan diri mampu menjadi pemacu untuk mencapai kejayaan meskipun berdepan cabaran fizikal dalam kehidupan seharian.

Kejayaannya yang diraikan pada 5 November 2026 turut disaksikan ibu bapa, kakak, abang ipar dan anak saudara yang hadir memberikan sokongan moral kepadanya.

Bagi Adib, antara cabaran terbesar sepanjang pengajian ialah menyesuaikan diri dengan kehidupan berdikari apabila perlu berjauhan daripada keluarga buat pertama kali.

“Bagi saya, saya berjaya hari ini sebenarnya adalah di atas banyaknya tangan yang membantu,” katanya, mengakui kejayaannya turut didorong sokongan berterusan daripada insan di sekeliling.

Sepanjang pengajian, Adib menguruskan kehidupan hariannya sendiri tanpa pembantu peribadi tetap, termasuk menguruskan kos pengangkutan dan perbelanjaan sara hidup secara berhemah.

Dalam memastikan mahasiswa OKU dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih lancar, USIM turut menyediakan kemudahan kampus inklusif termasuk perkhidmatan kenderaan khas berserta pemandu yang membantu urusan pergerakannya ke kuliah.

Selain memberi tumpuan kepada pengajian, Adib turut aktif dalam program tanggungjawab sosial anjuran fakulti serta aktiviti bersama komuniti orang pekak dan buta menerusi Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), selain berjaya melengkapkan latihan industri di Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Berkongsi pesanan kepada mahasiswa, beliau menyeru agar peluang menuntut ilmu tidak disia-siakan dan setiap individu perlu belajar membuat keputusan sendiri dalam menentukan hala tuju kehidupan.

“Sampai satu ketika nanti, mahu atau tidak, kita tetap perlu membuat keputusan sendiri dalam menentukan arah tuju kehidupan,” katanya.

Kini, Muhammad Adib bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan tekad untuk terus mencabar diri, keluar daripada zon selesa dan membina masa depan berdasarkan keupayaan serta pengalaman yang telah dilaluinya sepanjang pengajian.

Oleh: Nur Khadija Sulaiman