NILAI – Kemalangan motosikal ketika semester ketiga mengubah kehidupan Muhamad Arfan Shuhaimi Muzi,24, namun tidak mematahkan semangat graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia dengan Kepujian pada Majlis Konvokesyen Ke-24 USIM.

Daripada seorang mahasiswa yang aktif dalam bidang sukan, Arfan perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal selepas kemalangan tersebut, termasuk berdepan perubahan dari segi pergerakan ke fakulti dan penyertaan dalam aktiviti harian.

Namun, sokongan keluarga dan rakan-rakan menjadi kekuatan utama buat Arfan untuk terus mengikuti kuliah serta melibatkan diri dalam kehidupan kampus, khususnya ketika memerlukan bantuan dalam urusan pergerakan sebagai mahasiswa OKU fizikal.

“Daripada seorang yang aktif, saya perlu belajar menyesuaikan diri dengan keadaan baharu. Perkara yang sebelum ini mudah dilakukan menjadi satu cabaran, tetapi saya cuba untuk terus pulih dan bergerak ke hadapan,” katanya.

Dalam tempoh pemulihan, Arfan turut menjalani fisioterapi dan rawatan susulan di hospital bagi membantunya menyesuaikan diri secara berperingkat dengan keadaan fizikal selepas kemalangan.

Bagi Arfan, pengalaman tersebut mengajarnya bahawa perubahan dalam kehidupan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berhenti berusaha, sebaliknya perlu dihadapi dengan kesabaran, sokongan insan sekeliling dan kesediaan untuk menyesuaikan diri.

Kini, selepas menamatkan pengajian, Arfan telah memulakan kerjaya dalam sektor kerajaan di Perpustakaan Negara Malaysia, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan hidupnya.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak menjadikan kekurangan atau ujian yang dihadapi sebagai alasan untuk merendahkan diri atau menghalang langkah menuju masa hadapan.

“Jangan jadikan kekurangan sebagai sebab untuk kita terus berasa rendah diri atau tidak mahu melangkah ke hadapan. Sebaliknya, sentiasa pandang ke hadapan, terus berusaha dan belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita miliki,” katanya.

Kisah Arfan membuktikan bahawa perubahan fizikal bukan penentu kepada keupayaan seseorang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan dan kerjaya, sebaliknya ketabahan, kesungguhan dan keupayaan menyesuaikan diri menjadi kekuatan untuk terus melangkah.

Perjalanan beliau turut memperlihatkan kepentingan persekitaran universiti yang inklusif dalam memastikan mahasiswa OKU mendapat ruang dan sokongan untuk terlibat dalam kehidupan kampus serta mencapai potensi diri.

Oleh: Ihsan Hakim Zefendy