NILAI, 17 Ogos 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kunjungan delegasi dari Moscow State University yang diketuai oleh Dr Eugenia Kukushkina. Turut bersama Encik Aleksandr Zimin dari Kedutaan Rusia bagi membincangkan kerjasama dua hala mengenai perkembangan pengajaran Bahasa Rusia di Malaysia dan juga Bahasa Malaysia di Rusia.
Kerjasama ini adalah susulan daripada lawatan rasmi Naib Canselor USIM, YBhg Prof Dato’ Ts Dr Sharifudin Md Shaarani ke Kazan Forum dan kerjasama bersama Kazan Federal University pada 18 Mei yang lalu.
Dr Eugenia, yang merupakan Ketua Jabatan Filologi di Moscow State University berkata, terdapat sambutan hangat yang diterima oleh pelajar asing untuk mempelajari bahasa Melayu di Moscow State University.
“Saya sudah berpengalaman lebih daripada 30 tahun mengajar kursus Bahasa Melayu di Universiti, termasuk di Universiti Malaya (UM). Pelajar nampak bersemangat dan gembira untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik dan saya akan pastikan mereka boleh berkomunikasi dan bertutur dalam bahasa Melayu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Eugenia juga berharap agar pihak Pusat Pengajian Teras (PPT) USIM dapat mengadakan jalinan kerjasama melalui MoU bersama Moscow State University supaya beberapa program dapat dijalankan seperti pensyarah jemputan (Visiting Lecturer), perkongsian akademik (Academic Talk), dan pertukaran pelajar.
Sementara itu, En Khairil Azwan, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut menyokong kerjasama di antara USIM dan Moscow State University dengan lebih erat bagi memberi manfaat kepada kedua belah pihak.
Turut hadir perbincangan bersama Dr Eugenia ialah En Khairil Azwan bin Abu Mansor dan En Padmarajah a/l Selvarajah, Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pengajian Tinggi.
sumber: USIM ‘Alamiyyah
Dikemaskini oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan