NILAI – Kecekalan membahagikan masa antara pengajian dan pekerjaan sambilan demi meringankan beban keluarga akhirnya membuahkan hasil apabila Muhammad Ali Zainuddin, 23, dari Kluang, Johor, berjaya menamatkan pengajian dalam program Bioteknologi Makanan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan diraikan sebagai graduan pada Majlis Konvokesyen ke-24 USIM.

Anak ketujuh daripada lapan beradik itu memilih untuk berdikari sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memanfaatkan hujung minggu dan cuti semester untuk melakukan pelbagai pekerjaan sambilan bagi menampung keperluan diri.

Antara pekerjaan yang pernah dilakukannya termasuk kerja pembinaan, penyeliaan tapak, pertanian kelapa sawit serta sebagai pelayan bankuet di hotel, manakala kerja buruh menjadi pilihan ketika cuti semester kerana ditawarkan pendapatan yang lebih tinggi.

Walaupun menerima bantuan pembiayaan daripada Yayasan Pelajaran Johor, Muhammad Ali menguruskan bantuan tersebut dengan cermat bagi menampung keperluan harian dan pengajian tanpa bergantung kepada wang saku bulanan daripada keluarga.

Keadaan ibu yang telah bersara sebagai bekas guru tadika dan bapa yang bekerja sendiri melakukan kerja-kerja kampung menjadi antara dorongan utama untuk beliau mencari pendapatan sendiri, selain mendapat inspirasi daripada adik-beradiknya yang turut berdikari.

Bagi memastikan pekerjaan sambilan tidak menjejaskan pengajian, beliau mengehadkan komitmen kerja kepada hujung minggu dan cuti semester agar dapat terus memberi tumpuan kepada jadual kuliah.

Sepanjang pengajian, beliau turut berdepan saat getir sehingga pernah terfikir untuk menangguhkan pengajian, namun kekuatan diri serta doa ibu bapa mendorongnya untuk terus bertahan dan menyelesaikan pengajian.

“Setiap orang mempunyai jalan dan halangan yang tersendiri. Justeru, kita sendiri perlu mencari solusi terbaik untuk mengatasi cabaran tersebut dan menerima takdir dengan bertindak menyelesaikannya,” katanya.

Kesungguhannya turut terserlah apabila sanggup menghabiskan cuti semester bekerja di tapak pembinaan selama berbulan-bulan sebelum kembali ke Nilai untuk meneruskan pengajian, sehingga segala jerih perih tersebut akhirnya terbayar apabila beliau diraikan sebagai graduan USIM.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan agar tidak mudah berputus asa atau menyalahkan keadaan, sebaliknya berani mencari jalan penyelesaian dan terus mengejar impian.

 

Oleh: Nur Khadija Sulaiman