NILAI – Membina rumah tangga sebelum menamatkan pengajian bukan penghalang buat pasangan suami isteri, Mohamad Faizal bin Kamarudin, 24, dan Nur Hidayah binti Hanizat, 24, apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian dalam program Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) di Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pasangan ini diraikan bersama pada Majlis Konvokesyen ke-24 USIM selepas melalui fasa pengajian yang turut diwarnai dengan persiapan perkahwinan, Projek Tahun Akhir serta latihan industri.

Bibit perkenalan mereka bermula ketika kedua-duanya menuntut di kolej matrikulasi yang sama sebelum melanjutkan pengajian ke USIM dan mula berkenalan dengan lebih rapat sejak tahun pertama pengajian.

Keputusan untuk mendirikan rumah tangga pada Februari lalu, kira-kira dua minggu selepas selesai menduduki peperiksaan akhir semester, menjadi antara fasa paling mencabar buat pasangan tersebut apabila persiapan perkahwinan perlu dilaksanakan serentak dengan tugasan akademik dan Projek Tahun Akhir.

Nur Hidayah berkata, disiplin dan pengurusan masa yang baik menjadi kunci utama dalam memastikan urusan pengajian dan persiapan perkahwinan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Ketika itu kami memang berada dalam fasa yang sangat sibuk kerana perlu menghabiskan projek tahun akhir di samping menyiapkan tugasan-tugasan lain. Kami perlu membahagikan masa dengan teliti, menyelesaikan tugasan yang perlu dihantar terlebih dahulu kemudian barulah kami fokus kepada urusan pernikahan,” katanya.

Menurutnya, fasa selepas berkahwin turut memerlukan penyesuaian diri apabila mereka menjalani latihan industri di lokasi yang berbeza.

Selain menguruskan kehidupan berkeluarga, pasangan ini turut saling menyokong dalam urusan akademik termasuk bertukar pandangan ketika menyiapkan laporan serta membuat persediaan bagi pembentangan latihan industri.

Bagi Mohamad Faizal pula, keputusan untuk mendirikan rumah tangga ketika masih belajar turut menuntut persediaan dari aspek kewangan, khususnya bagi golongan lelaki yang bakal memikul tanggungjawab sebagai suami.

“Kepada golongan lelaki, sekiranya mahu mencari modal, manfaatkan waktu terluang dengan mencuba apa sahaja pekerjaan, termasuk kerja sambilan. Tanpa disedari, usaha berterusan itu mampu mencukupkan keperluan kewangan yang dirancang,” jelasnya.

Selepas menamatkan pengajian, kedua-dua graduan ini terus berusaha menimba pengalaman melalui pekerjaan sementara sambil meneroka peluang kerjaya tetap dalam industri teknologi maklumat (IT).

Kejayaan pasangan ini membuktikan bahawa kehidupan berkeluarga dan tuntutan akademik mampu diseimbangkan dengan disiplin, persefahaman serta sokongan antara satu sama lain.

Daripada bermula sebagai rakan di kolej matrikulasi, melangkah bersama ke USIM, membina rumah tangga sebelum tamat pengajian dan akhirnya berdiri bersama di pentas konvokesyen, perjalanan pasangan ini menjadi bukti bahawa setiap fasa kehidupan boleh dilalui bersama apabila disertai usaha, komitmen dan saling memahami.

Oleh: Siti Nur Insyiraah Sh Hussin, Muhammad Luqman Hakim Norizam