NILAI – Kekurangan bukan alasan untuk berhenti mengejar impian apabila Ahmad Jazmi Samsuddin, 27, membuktikan kecekalan dalam menuntut ilmu dengan meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) pada Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), itu berasal dari Selangor sebelum dibesarkan di Melaka dan merupakan anak kedua daripada tiga beradik.
Dibesarkan dalam keluarga yang berdepan kekangan kewangan, Jazmi mengakui keadaan tersebut tidak pernah menjadi penghalang untuknya meneruskan pengajian, malah mendorong beliau berdikari dengan melakukan pelbagai pekerjaan sambilan termasuk kerja pertukangan, promosi makanan, katering dan mengajar secara sambilan.
“Sejujurnya, saya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan, malah ada hari kami tidak mempunyai wang untuk makan, tetapi keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus belajar. Saya memilih untuk bekerja dan mencari jalan sendiri kerana saya percaya kekurangan bukan alasan untuk berhenti berusaha,” katanya.
Pengorbanan tersebut turut bermula sejak awal pengajian apabila keluarganya terpaksa berusaha termasuk meminjam wang bagi membolehkannya mendaftar pengajian di peringkat ijazah, selain beliau pernah berdepan kehilangan komputer riba serta peralatan mengajar akibat kecurian ketika berada di universiti.
Namun, cabaran tersebut tidak menghalang Jazmi daripada mencipta pelbagai pengalaman bermakna sepanjang pengajian termasuk menjadi pengajar utama program pendedahan tulisan Braille kepada kanak-kanak di Islamisches Zentrum Graz, Austria, selain mewakili FPQS bagi latihan industri di Universitas Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei.
Beliau turut mencatat pencapaian akademik di peringkat antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Best Paper dalam Regional Islamic Media Conference (RIMEC) di Brunei, sekali gus memperlihatkan kemampuan menggabungkan penguasaan ilmu al-Quran dan Sunnah dengan kemahiran akademik serta komunikasi.
Bagi Jazmi, pengalaman berada di luar negara turut membuka ruang untuknya melihat dunia daripada perspektif yang lebih luas serta membina keyakinan bahawa latar belakang seseorang tidak seharusnya mengehadkan potensi yang boleh dicapai.
“Jangan bersedih dengan kekurangan, sebaliknya jadikan kekurangan sebagai peluang untuk kita belajar, meluaskan pandangan dan menambah pengalaman kerana Allah SWT telah menjanjikan bahawa setiap kesusahan akan disusuli kesenangan; teruskan usaha, bertawakal dan jangan tinggalkan ibadah kerana apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, insya-Allah Allah akan menjaga kita,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Haqim Hussin Mohd Roslan, 24, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dengan cemerlang.
Haqim turut mencipta beberapa pencapaian sepanjang pengajian termasuk mewakili USIM dalam pembentangan penyelidikan di peringkat antarabangsa, dinobatkan sebagai Pelatih Terbaik (Keseluruhan) Kor SUKSIS Universiti Awam 2024 serta terpilih menjalani latihan kehakiman di bawah pengawasan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Kini, Jazmi yang bercita-cita menjadi pensyarah merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD), sekali gus meneruskan perjalanan ilmu yang menjadi sebahagian daripada perjuangannya sejak awal.
Kisah Jazmi dan Haqim membuktikan bahawa kecemerlangan akademik bukan sahaja lahir daripada pencapaian di dalam bilik kuliah, tetapi turut dibentuk oleh ketekunan, disiplin, pengalaman dan keberanian untuk terus melangkah berdepan cabaran.