NILAI – Detik graduasi menjadi lebih istimewa buat dua beradik dari Ketereh, Kelantan apabila Nik Qurratu Ain Nabilah Nik Zaid, 23, dan adiknya, Nik Muhammad Nabil Asyraf Nik Zaid, 22, sama-sama menerima ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-24 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), 3 November 2026.
Qurratu Ain Nabilah merupakan graduan Sarjana Muda Matematik Kewangan dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), manakala Nabil Asyraf pula graduan Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), dengan masing-masing menamatkan pengajian dalam tempoh empat dan tiga tahun.
Lebih membanggakan, kedua-duanya dibesarkan dalam keluarga yang dekat dengan dunia pendidikan apabila ibu mereka, Mariani Mat Dris, 54, merupakan pensyarah di Politeknik Jeli, Kelantan, manakala bapa mereka, Nik Zaid Draman, 56, ialah guru Matematik di Sekolah Kebangsaan Tegayong, Melor, Kelantan.
Sebagai anak sulung dan kedua daripada enam beradik, Qurratu Ain Nabilah dan Nabil Asyraf memilih USIM sebagai destinasi pengajian tinggi, dengan Nabil Asyraf terlebih dahulu mengikuti Asasi Sains Fizikal di USIM sebelum menyambung pengajian dalam bidang seni bina, manakala kakaknya memilih USIM selepas menamatkan pengajian di sebuah kolej matrikulasi di Kedah.
Menurut mereka, keputusan memilih USIM turut didorong faktor jarak yang memudahkan ibu bapa hadir memberikan sokongan, selain membolehkan mereka saling membantu sepanjang tempoh pengajian dalam persekitaran universiti yang berteraskan nilai Islam.
“Kami berasa gembira dan bangga antara satu sama lain, malah sejak awal pengajian kami sudah menjangkakan kemungkinan untuk bergraduasi bersama berdasarkan tempoh pengajian masing-masing, walaupun tidak pernah membayangkan secara khusus bagaimana detik itu akan berlaku,” kongsi mereka.
Sepanjang berada di USIM, hubungan sebagai adik-beradik turut menjadi sumber kekuatan apabila mereka saling memberikan sokongan moral, berkongsi barangan mengikut keperluan serta mengambil berat keadaan masing-masing sebelum berkongsi sesuatu perkara dengan keluarga.
Bagi Qurratu Ain Nabilah, tugasan akademik yang semakin banyak terutama ketika menghampiri peperiksaan akhir menjadi antara cabaran utama, manakala penyertaannya dalam program Global Islamic Student Outreach (GISO) di Indonesia menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajian.
Nabil Asyraf pula berdepan cabaran tersendiri dalam bidang seni bina apabila perlu menyiapkan lukisan bersaiz A1, mencetak hasil kerja dan membuat pembentangan projek yang memerlukan pengurusan masa, kewangan serta persediaan yang rapi.
Di sebalik cabaran tersebut, kedua-duanya meletakkan ibu bapa sebagai sumber dorongan terbesar yang sentiasa memberikan nasihat, teguran dan sokongan sepanjang perjalanan sehingga berjaya menamatkan pengajian.
“Dorongan paling besar sepanjang kami belajar sudah tentu daripada Umi dan Abi, yang sentiasa memberikan nasihat, teguran dan sokongan sehingga kami terus berusaha untuk menamatkan pengajian,” kata mereka.
Selepas bergelar graduan, Qurratu Ain Nabilah berhasrat membina kerjaya yang stabil dalam bidang yang dipelajarinya, di samping membantu keluarga dan melihat adik-adiknya turut mencapai kejayaan.
Nabil Asyraf pula berhasrat terus menimba pengalaman dan membentuk jati diri dengan menjadikan Buya Hamka, Imam al-Ghazali dan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam usaha menjadi insan yang berhikmah, lebih mengenali Tuhan dan diri sendiri serta memberi manfaat kepada orang lain.
Kedua-duanya turut berpesan kepada mahasiswa agar tidak melepaskan peluang menuntut ilmu kerana pengalaman di universiti bukan sahaja membina kelayakan akademik, malah membuka perspektif baharu dan membantu seseorang melihat kehidupan daripada sudut yang lebih luas.
Bagi dua beradik ini, graduasi pada hari yang sama menjadi kenangan istimewa buat keluarga, sekali gus menjadi bukti bahawa perjalanan menuntut ilmu lebih bermakna apabila ditempuh bersama dengan doa, sokongan dan dorongan ibu bapa sebagai penguat langkah.
Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar

