BANGI, 20 Disember 2017 – Bertemakan “Memperkasa Usahawan Siswa”, Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) USIM dengan jayanya menganjurkan Anugerah Keusahawanan USIM (AKU) 2017 yang diadakan di Hotel Bangi-Putrajaya malam tadi.

Ia sebagai pengiktirafan kepada pelajar, dan mentor keusahawanan  yang telah banyak membantu PPKS khususnya dalam membangunkan keusahawanan di USIM.

Majlis yang kali kedua dianjurkan ini selepas kali pertama diadakan pada tahun 2015, juga bertujuan sebagai pemangkin kepada pelajar USIM untuk terlibat secara aktif dengan program keusahawanan semasa dalam pengajian lagi. Sebanyak 5 kategori yang dipertaruhkan iaitu Usahawan Siswa Terbaik, Usahawan Siswi Terbaik, Pemimpin Projek/Program Keusahawanan Terbaik, Mentor Keushawanan Terbaik dan Usahawan Harapan.

“USIM melalui PPKS amat berusaha keras untuk mengatur program-program yang terancang bagi memantapkan pembudayaan keusahawanan serta pengukuhan keusahawanan di kalangan para pelajar. Namun apa yang lebih penting adalah pelajar dapat menyelami ciri-ciri seorang usahawan itu sendiri yang antara lain mempunyai elemen kreatif dan inovatif, mampu mengambil risiko yang tinggi, berkeyakinan, survival, independent dan ciri-ciri lain yang sangat penting dalam arus pembangunan ekonomi masa kini”.

“USIM kini sedang berusaha untuk mengaktifkan dan meluaskan jalinan kerjasama bersama pihak industri dalam usaha untuk melahirkan graduan yang memiliki sifat holistik, seimbang dan berkeusahawanan. Antaranya Program HOPE Bersama Perfect Triangle Sdn. Bhd. Kita juga sedang dalam permohonan program agropreneur belia dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani”.

“Adalah diharapkan agar USIM dapat terus mengekalkan prestasi yang cemerlang bukan sahaja untuk program-program keusahawanan pelajar, tetapi juga penglibatan dengan industri dan komuniti”, tambah Prof. Dato’ Dr. Musa Ahmad dalam ucapan perasmiannya.

Bidang keusahawanan merupakan antara peluang kerjaya yang sangat luas untuk diterokai sepenuhnya oleh sesiapa sahaja. Justeru, diharapkan para pelajar USIM tidak terkecuali mengambil peluang yang terbentang luas di depan mata.

Pada malam itu turut dilancarkan sebuah Buku Biografi Alumni USIM siri yang kedua berjudul “Melakar Pelangi”. Buku ini melakarkan warna-warni kisah pengalaman, usaha, strategi dan cabaran 15 orang usahawan graduan USIM yang telah memulakan perniagaan sejak di alam kampus lagi.

Pemenang keseluruhan Anugerah Keusahawanan USIM 2017 dimenangi oleh Tuan Noranizawati Tuan Johari pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat yang telah mengusahakan perniagaannya sejak tahun 2015. Kini, beliau mempunyai 5 cawangan kedai makanan dan minuman termasuk di UITM Shah Alam. Pendapatan tahunan beliau berjaya peroleh RM42,300 setahun. Beliau membawa pulang wang tunai berserta sijil dan plak.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Roshada Hashim dan Pengarah PPKS Dr. Ummi Salwa Ahmad Bustamam serta beberapa rakan industri.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204