NILAI, 14 Disember 2022 – Dua Profesor terbilang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dianugerahkan gelaran Profesor Amerita sempena Majlis Konvokesyen ke-20 USIM baru-baru ini.

Mereka adalah Profesor Dr. Hayati Abd Rahman kini merupakan Felo Akademik di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), manakala Profesor Dato` Dr. Roshada Hashim kini merupakan Karyawan Tamu di Fakulti Sains dan Teknologi (FST).

Profesor Dr. Hayati Abd Rahman mempunyai minat mendalam dalam bidang berkaitan bayi dan plasenta. Dengan Biasiswa Balabriga dari Switzerland, beliau telah menyertai program sangkutan dalam bidang patologi plasenta dan perinatal di Queen Victoria Women and Children Hospital, Adelaide, South Australia. Sebagai pakar patologi perinatal yang pertama dan satu-satunya di Malaysia, perjalanan beliau sangat mencabar dan pada tahun 2004 beliau telah menubuhkan unit perinatal pertama di dalam negara yang menjadi pusat rujukan bagi Malaysia, Brunei dan Indonesia.

Beliau telah berkhidmat sebagai pakar perunding patologi perinatal di banyak hospital termasuk Hospital Selayang, Serdang dan Gleneagles serta di UPM dan UKM. Di USIM, beliau pernah dilantik sebagai penyelaras perubatan forensik dan sehingga kini kekal sebagai profesor patologi tersohor.

Merupakan seorang penyelidik yang aktif dengan penerbitan dan penyeliaan peringkat doktor falsafah dan sarjana selain cemerlang dalam bidang pengurusan dan sebagai ahli akademik. Sejak 2011 di USIM, bersama dengan penyelidik lain beliau telah memperolehi 15 geran penyelidikan (52 geran termasuk ketika di dalam perkhidmatan sebelumnya) daripada Kementerian Pengajian Tinggi bernilai RM1.4 juta (RM3 juta termasuk ketika di dalam perkhidmatan sebelumnya). Kesemua penyelidikan beliau tamat dengan jayanya dan mempunyai hasil penerbitan, prototaip, pelajar yang bergraduat dan beberapa anugerah penyelidikan.

Profesor Dr. Hayati juga telah berjaya mempatenkan 4 produk daripada kajiannya. Sehingga kini beliau telah menyelia dan menjadi penyelia bersama untuk 20 orang pelajar doktor falsafah dan 40 orang pelajar sarjana (profesional dan sarjana sains).

Di USIM, beliau aktif sebagai ahli jawatankuasa saintifik, ahli jawatankuasa penganjur, penasihat, juri, penilai abstrak dan artikel untuk 30 seminar antarabangsa dan tempatan (140 termasuk ketika dalam perkhidmatan sebelumnya). Sebagai pakar dalam bidangnya, beliau turut dilantik sebagai ahli lembaga editorial untuk Malaysian Journal of Pathology, Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences selain turut bergelar penilai untuk 12 jurnal antarabangsa dan 4 tempatan.

Sementara itu, Profesor Dato` Dr. Roshada Hashim yang pernah menggalas jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM komited memartabatkan USIM sebagai sebuah Universiti Islam yang mengamalkan Maqasid Syariah melalui aktiviti penyelidikan dan diakui di peringkat antarabangsa. Usaha ini juga selari dengan naratif yang beliau bawa dalam membentuk ’Universiti Yang Berjiwa’, dan ’Pendidikan Untuk Kebaikan Awam’, selain memartabatkan ’Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals)’.

Dalam tempoh 3 tahun perkhidmatan beliau sebagai TNCPI USIM, skor MyRA telah melonjak naik, serta penerbitan keseluruhan staf akademik USIM telah turut meningkat sebanyak 75% selain kejayaan permohonan geran penyelidikan meningkat sebanyak 50% berbanding sebelumnya.

Profesor Dato` Dr. Roshada turut menggerakkan kerjasama bersama Perpustakaan USIM melalui penubuhan Polisi Akses Terbuka, hingga USIM menjadi universiti awam yang pertama di Malaysia yang menawarkan khidmat ini. Sejajar hasrat beliau dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), beliau turut menubuhkan Pusat Kelestarian dan Kesejahteraan (C4SS).

Sumbangan besar ini telah mengangkat beliau sebagai penerima Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) daripada DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti pada tanggal 14 Januari 2018. Penganugerahan darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato’ ini merupakan anugerah tertinggi beliau selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Indira Parikh 50 Women in Education Leaders yang  disampaikan semasa World Education Congress di Taj Lands End, Mumbai, India pada November 2017.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan