18 Jun 2000 tarikh bersejarah buat USIM

18 Jun 2000 merupakan tarikh yang amat bersejarah buat seluruh warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dulunya dikenali Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM). 18 tahun yang lalu, pendaftaran seramai 255 orang pelajar sulung KUIM telah berlangsung di Institut Profesional Baitulmal, Kampung Pandan sebagai tanda pengoperasian KUIM secara rasminya. Pada 1 Februari 2007, KUIM telah dijenamakan kepada USIM.

Penubuhan KUIM bagi memberi peluang kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) untuk mendalami ilmu agama tanpa perlu ke Asia Barat. Langkah ini akan mengurangkan beban kerajaan dalam menghantar pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Tambahan, kerajaan berhasrat untuk mempunyai pusat kecemerlangan untuk melahirkan ulama intelektual Islam.

Sumber : Portal USIM

Kumpulan terawal di USIM adalah seramai 11 orang yang memulakan perkhidmatan pada Januari 2000. Ikuti bicara oleh beberapa kakitangan terawal melapor diri di KUIM yang menzahirkan ucapan buat USIM bersempena tarikh bersejarah tersebut.

“Bersempena sambutan 18 tahun USIM, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan semoga USIM terus cemerlang melaksanakan visi penubuhannya iaitu untuk menggabungjalinkan ilmu naqli dan aqli sebagai wadah untuk membina ketamadunan Islam pada masa depan. Visi ini adalah selari dengan tradisi keilmuan yang telah dibina oleh para ilmuwan dan ulama Islam di sepanjang zaman, dengan pengharmonian akal dan wahyu. In shaa Allah, سيروا على بركة الله”.

Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, S005
Penolong Pendaftar Pertama KUIM

“Antara pengalaman yang tidak boleh saya lupakan apabila perlu membawa guni yang mengandungi surat permohonan jawatan kosong dari UKM ke KUIM menggunakan kemudahan awam di mana semangat pada masa itu masih membara dan tidak sabar melihat perkembangan pesat KUIM berlaku.”

“Diharapkan agar pengurusan universiti akan terus prihatin menjaga kebajikan kakitangan dan mahasiswa USIM bagi memastikan USIM terus cemerlang menjadi universiti terbaik. Saya amat berterima kasih kerana menjadi sebahagian dari penubuhan USIM selama 18 tahun ini”.

En. Mohamad Fairuz Ismail, S006
Pembantu Tadbir Kanan, Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF)

“Awal perkhidmatan saya di USIM adalah sebagai Pembantu Akauntan. Pada masa itu, masih banyak kekurangan yang perlu ditambahbaik. Namun, saya gembira kerana dapat menjadi sebahagian kakitangan awal untuk memberi sumbangan awal kepada pembangunan KUIM yang kini USIM. Saya berharap USIM akan terus berjaya menjadi antara universiti terbaik di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Terima kasih USIM!”

Pn. Azreen Fillzah Ahmad Azizan, S007
Pembantu Akauntan Kanan, Jabatan Bendahari

“18 tahun di USIM memberi banyak kenangan pahit dan manis sehingga menjadikan USIM dikenali dan mendapat tempat di minda dan di hati masyarakat. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah sewaktu membantu menguruskan pelajar kumpulan pertama dalam pelbagai aktiviti kokurikulum seperti sukan, kelab debat dan kolej kediaman”.

“Hingga kini, hubungan baik dengan para Alumni USIM terus terpelihara dan dikekalkan untuk menjaga jalinan dan ukhwah bersama bekas pelajar USIM yang kini telah berjaya di bidang dan kepakaran masing-masing. Saya mendoakan agar USIM akan terus cemerlang dan gemilang dalam memberi pendidikan yang berkualiti kepada anak bangsa”.

En. Mohd Asri Husain, S010
Timbalan Pengarah, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

“Saya percaya dan penuh yakin, USIM boleh meneroka lebih jauh lagi pada masa akan datang. Justeru, adalah diharapkan semua warga universiti sama ada pelajar, kakitangan mahu pun sesiapa sahaja agar dapat bersama-sama menjaga USIM yang tercinta sebagaimana kita menjaga harta sendiri. USIM ia LO’LO’, permata perlu dijaga sebaik-baiknya”.

“Semua pihak bertanggungjawab bagi menjaga dan membantu USIM dalam semua aspek, kualiti ilmu dan amal, kebersihan dan keceriaan kampus. Ini penting bagi memastikan dalam jangka panjang, semua sumber yang ada di universiti dapat dimanfaatkan dan dinikmati oleh semua pihak dan generasi akan datang. Ia selaras dengan usaha universiti bagi menjadikan USIM sebagai sebuah Kampus Barakah dilimpahi dengn tokoh ulama Ameen Ya Rabb”.

Prof. Madya Dr. Asma Abdul Rahman, S013
Pensyarah Pengajian Bahasa Utama (FPBU)