Siapa sangka bekas pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang dulunya mendalami bidang syariah dan perundangan kemudiannya beralih arah ke bidang perniagaan kasut kesihatan.

Menurut Nur Diana Dazulkiply yang merupakan anak sulung dari empat adik-beradik dan berasal dari Muar, Johor ini, selepas menamatkan pengajian di USIM, beliau meneruskan cita-cita sebagai peguam selama setahun. Ikuti bual bicara bersama alumni Fakulti Syariah Undang-undang untuk kupasan lanjut.

Q1 Apa yang mendorong puan untuk beralih bidang ke perniagaan?

Selepas setahun saya berkhidmat sebagai peguam syarie, saya dapati apa yang dilakukan kurang memberikan kepuasan. Ia disebabkan masa yang padat dan pelbagai masalah timbul pada masa itu menyebabkan saya perlu beralih bidang kerjaya.

Lantas saya memikirkan apa yang boleh dilakukan. Oleh kerana ayah terbabit dalam perniagaan dan saya sendiri sudah terdedah sedikit sebanyak dalam dunia itu, saya menyatakan hasrat ingin menceburi bidang perniagaan. Salah satu faktor saya beralih kerjaya adalah untuk membangunkan ekonomi ummah pada masa yang sama saya niatkan untuk berkongsi rezeki bersama rakan niaga. Alhamdulillah, rasa puas hati apabila produk yang dihasilkan mendapat sambutan ramai dan memberi manfaat kepada ramai orang dari aspek ekonomi dan juga kesihatan.

Q2 Bagaimana tercetus idea menghasilkan kasut kesihatan?

Saya mendapat idea selepas beberapa pelanggan bertanyakan mengapa tidak menghasilkan kasut kesihatan khas untuk jururawat. Selain itu, apabila menyedari ramai pengguna yang mengalami masalah tulang belakang, tumit dan lutut dan tiada kasut yang sesuai bagi aktiviti harian, saya mendapat idea untuk menghasilkan kasut kesihatan.

Memandangkan kasut kesihatan ni adalah produk baru dalam pasaran dunia dan harga dalam pasaran pun agak mahal, saya mahu hasilkan kasut kesihatan yang mampu milik. Justeru, pemilihan nama ‘MEDSHOE’ adalah jelas menggambarkan kasut kesihatan yang mana ia adalah nama singkatan bagi ‘Medical Shoes’.

Q3 Ceritakan bagaimana puan permulaan menjalankan perniagaan.

Ilmu pengetahuan asas mengenai perniagaan wajib ada. Kami mengambil pendekatan try and error. Alhamdulillah, dari tahun ke tahun perniagaan kami mula berkembang. Bagi penghasilan kasut, kami memang belajar daripada pembuat kasut terbaik di dunia.

Saya mencari bahan dan pengilang di China sehingga bertemu dengan seorang usahawan yang kini menjadi rakan perniagaan saya di sana. Saya sangat cerewet dalam mencari material kerana kasut jururawat harus tahan lasak, tidak menyakitkan apabila dipakai dalam jangka masa lama, lembut dan mempunyai ciri pengudaraan yang baik. Semua ciri ini perlu ada supaya kasut yang dihasilkan mendapat kepuasan orang ramai. Alhamdulillah, kasut jenama ‘Medshoe’ mula diterima dan memasuki pasaran hospital dan klinik.

‘Medshoe’ juga direka bagi memenuhi keperluan dan keselesaan kepada jemaah haji dan umrah serta mereka yang gemar melancong ke luar negara. Bagi individu yang bekerja dalam bidang perubatan dan perguruan, ia turut memberikan keselesaan ketika berdiri lama.

Ini kerana kasut rekaan saya memberikan sokongan sepenuhnya kepada tulang belakang, menjadikannya tahan lasak dan tidak menyakitkan apabila dipakai dalam tempoh yang lama.

Disebabkan saya sendiri mempunyai pengalaman ngeri apabila memakai kasut yang tidak sepadan hingga menyebabkan kaki terasa lebih sakit dan masalah sakit tulang belakang menjadi lebih serius, oleh itu kasut yang saya hasilkan hanya mempunyai ketebalan satu hingga dua inci dengan menggunakan material gentian mikro dan poron yang menjadikan bahagian dalaman kasut lembut dan selesa dipakai.

Q4 Apakah cabaran yang dihadapi melihatkan bidang yang diambil sewaktu belajar berbeza dengan kerjaya kini?

Terlalu banyak kepayahan yang sukar untuk saya jelaskan, namun pengalaman itulah yang banyak mengajar saya. Saya juga akui pada awalnya saya langsung tiada pengalaman dalam rekaan kasut malah untuk mendapatkan rekaan seperti yang ada sekarang saya perlu bekerja keras selain membuat banyak kajian dengan membaca dan bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman.

Banyak juga ilmu yg dipelajari sewaktu belajar dulu diguna pakai dalam menjalankan perniagaan. Yang penting saya sentiasa perlu menjadi lebih kreatif dan sentiasa up to date. Apa yang penting adalah saya sentiasa mempertingkatkan ilmu pemasaran untuk kekal konsisten dalam mengusahakan perniagaan.

Saya juga bercadang membawa jenama ini ke peringkat antarabangsa agar setanding dengan jenama kasut sedia ada. Sebagai orang Islam, jika saya yang tidak memulakannya siapa lagi. Walaupun saya berdepan dengan pelbagai cabaran terutama kekangan modal, namun saya harus meneruskannya. Ini kerana pasaran kasut sangat luas dan tidak ramai Bumiputera sanggup menceburi bidang ini tidak seperti pakaian muslimah yang menjadi pilihan usahawan baharu.

Mungkin kerana kos yang mahal dan perlu teliti mencari bahan berkualiti menyebabkan ia agak rumit. Kasut yang berkualiti memberikan jaminan kepada si pemakai bahawa kaki tidak berasa sakit dan selesa ketika digayakan.

Q5 Apakah harapan dan nasihat kepada mahasiswa dan mahasiswi sebagai pegangan hidup dalam menempuh dunia pekerjaan nanti.

Tiada yang mustahil dalam hidup ni. Hidup ini juga satu pembelajaran. Untuk adik-adik yang masih lagi melanjutkan pengajian di USIM saya harapkan untuk sentiasa bercita-cita tinggi selain jangan takut melakukan kesilapan kerana di situ ada pembelajaran.

Kita perlulah sentiasa membina dan mencipta sesuatu yang lain dari lain dan berfikir di luar kotak untuk terus maju. Kalau bukan muslim yang nak bantu ummah, siapa lagi? Jadi, jangan hadkan potensi diri anda untuk melakukan sesuatu yang hebat untuk agama, bangsa dan negara. Apa yang paling penting adalah jati diri kena kuat! Sebab jati diri itu yang akan mendisiplinkan diri kita untuk apa sahaja yang kita lakukan dalam hidup. All the best to all.