Konsep sebuah rumah kecil seperti rumah burung dilihat menarik dan unik apabila ia diterjemahkan sebagai Little Free library (LFL). Mengambil pendekatan itu, pada tahun 2015, Perpustakaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Timbalan Ketua Pustakawan Kanan USIM, Pn. Nor Azzah Momin membangunkan LFL di dalam kampus USIM sebagai usaha membudayakan amalan membaca (Iqra’) dalam kehidupan harian warga USIM.

Konsepnya sangat mudah iaitu “Take a book, return a book”. “Ambil sebuah buku, pulangkan/kongsikan sebuah buku”. LFL ini didirikan di satu kawasan yang mudah diakses dan diisikan dengan bahan-bahan bacaan percuma untuk bacaan orang ramai. Kaedah pengurusannya juga tidak terlalu rumit tetapi perlu kepada komitmen untuk sentiasa mengemas kini buku dan menyelenggara LFL.

LFL USIM telah pun berdaftar dengan Little Free Library Organization (LFL) yang berpusat di Hudson, New York dan mendapat sokongan Pengurusan Universiti untuk dikembangkan malah jika diketengahkan, ia boleh mewujudkan suasana harmoni bagi galakan membaca terutama kepada generasi muda. Ikuti bual bicara yang disediakan.

S1 Bagaimana tercetusnya idea untuk membina LFL USIM ini?

Idea asal penubuhannya di USIM adalah apabila saya berkongsi berkenaan LFL Nilai Impian yang telah diusahakan semasa Mesyuarat Jawatankuasa Perpustakaan USIM yang telah dipengerusikan oleh Naib Canselor. Kertas cadangan telah dibawa ke Mesyuarat Pengurusan Universiti dan ia diluluskan di situ.

S2 Apakah perkembangan terkini LFL di USIM?

Buat masa ini, terdapat tujuh buah LFL USIM yang telah didirikan di sekitar USIM bagi mengisi keperluan pembacaan santai kepada warganya dan para pengunjung.

1. Lobi Bangunan Perpustakaan.
2. Hentian Bas FPQS/Tamhidi.
3. Kolej Kediaman Satu
4. Hadapan Pejabat Majlis Perwakilan Pelajar di Bangunan Hal Ehwal Pelajar.
5. Lobi Bangunan Canselori (dibina dengan biaya Jabatan Canselori)
6. Pusat Kesihatan Universiti (diwujudkan sendiri oleh Pusat Kesihatan Universiti dengan sokongan nasihat dan bahan-bahan bacaan dari Perpustakaan.
7. Bangunan Pavilion dan Pusat Sukan (dibina dengan biaya Pusat Sukan).

Kesemua LFL USIM diuruskan oleh sukarelawan LFL USIM yang terdiri daripada para kakitangan dan pelajar USIM yang diketuai oleh saya sendiri.

S3 Setakat ini berapa buah koleksi bahan bacaan dan bagaimana ia diperoleh?

Buat masa ini pihak kami telah menerima lebih 3000 buah bahan bacaan sama ada buku atau majalah serta jurnal.

Bahan bacaan untuk LFL USIM diperoleh daripada sumbangan orang ramai dari dalam dan luar USIM. Kami ada mengiklankan permohonan sumbangan bahan bacaan ini melalui media sosial, Facebook Little Free Library USIM, Facebook Perpustakaan USIM, Whatsapp dalam kumpulan yang dianggotai oleh para sukarelawan LFL dan di laman web Perpustakaan USIM.

S4 Umum mengetahui LFL turut dibangunkan di kediaman Puan sekeluarga di Nilai Impian. Bagaimana timbulnya minat untuk adakan ruang bacaan khas ini?

Ya, kami mempunyai perpustakaan peribadi di rumah yang terdiri daripada bahan-bahan bacaan milik kami sekeluarga yang kami kumpulkan sejak berkahwin. Perpustakaan peribadi kami di rumah adalah untuk menempatkan koleksi peribadi kami sekeluarga yang terdiri daripada pelbagai jenis buku daripada berbagai subjek dan genre.

Jumlahnya semakin lama semakin meningkat kepada lebih 3000 naskah dan terdapat bahan bacaan yang melebihi satu naskah, sama ada terbeli lebih atau dihadiahkan orang. Dan buku anak-anak ada yang tidak lagi sesuai dibaca disebabkan peningkatan umur. Justeru kami mula memikirkan untuk berkongsi bahan bacaan dengan orang lain.

Dari situlah timbulnya idea membina LFL di rumah kami. LFL di rumah saya dibina lebih awal daripada LFL yang dibina di USIM. Dalam tahun 2014 saya dan suami mendapat ilham untuk membina LFL melalui artikel akhbar The Star yang bercerita tentang LFL di Wisconsin USA, kami terus sepakat untuk membinanya di rumah kami dengan nama Little Free Library Nilai Impian.

Kami daftarkan secara rasmi dengan Littlefreelibrary.org dengan nombor pendaftaran #22925 dan meletakkan maklumat LFL kami dalam peta LFL sedunia.

Kami memulakan page di Facebook untuk menguar-uarkan berkenaan LFL Nilai Impian dan aktiviti yang dibuat. Begitu juga kami memulakan page di Facebook untuk Home Library Nilai Impian. Kedua-dua page ini kami wujudkan untuk mengajak masyarakat untuk sama-sama menanam minat kepada amalan membaca yang sememangnya dituntut dalam Islam.

S5 Harapan Puan dalam pelaksanaan LFL ini kepada institusi pendidikan dan masyarakat.

Secara peribadi saya impikan supaya lebih ramai individu mengambil inisiatif membina perpustakaan peribadi di rumah untuk rujukan dan bacaan mereka dan keluarga. Dan saya juga berharap agar lebih banyak LFL dibina dalam kawasan kejiranan di taman perumahan atau kampung. Ini akan mengeratkan hubungan sesama jiran di samping menggalakkan budaya dan amalan yang sihat dalam kalangan masyarakat.

Perpustakaan USIM juga merancang untuk membina lebih banyak LFL di dalam dan di luar kampus dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dalam masyarakat. Kami mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak yang berminat.

Di samping itu, khidmat bimbingan dan nasihat kepada pihak-pihak lain yang berminat untuk membina LFL di kediaman atau di institusi mereka, diberikan oleh pihak Perpustakaan USIM secara percuma.