Menggalas amanah diberikan universiti sebagai Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Ismail Ahmed mempunyai visi, misi dan halatuju yang besar serta jelas untuk menakhoda jabatan ini. Baginya, Pusat Kebudayaan sangat komited untuk melonjak seiring bersama universiti dalam mengintegrasikan seni budaya yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli yang dinamakan Seni Berbudaya. Pusat Kebudayaan melaksanakan pelbagai inisiatif selari dengan iltizamnya untuk menjadi peneraju Seni Berbudaya atau A Leader In Good Cultural Art serta meletakkan sasaran untuk menjadi rujukan ilmu kesenian dan kebudayaan di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.
Pelbagai kejayaan dan anugerah telah ditempa oleh siswa-siswi USIM dan kakitangan melalui platform kebudayaan yang dirintis oleh pasukan beliau. Pengabdian dan kecintaannya pada seni budaya amat kuat sekali, justeru tidak hairan beliau mencurah segala kudrat, masa dan pengalaman di jabatan ini dengan sepenuh hati.
S1 Bagaimana hubungan Seni dan Ketamadunan manusia itu wujud?
Pengkarya seni adalah kamera analog yang digerakkan oleh bakat dan kebijaksanaan dalam merakamkan sejarah peradaban dan peristiwa dunia, budaya dan sosial masyarakat. Hubungan ketamadunan manusia sangat jelas dilihat melalui budaya dan karya seni yang dihasilkan oleh pengkarya. Budaya adalah sistem nilai bagi sesebuah ketamadunan. Seni bertindak sebagai cermin kepada budaya manusia khususnya dalam memaparkan value (dengan izin) atau nilai ketamadunan manusia pada eranya.
Hubungan ketamadunan manusia sangat jelas dilihat melalui budaya dan karya seni yang dihasilkan oleh pengkarya. Budaya adalah sistem nilai bagi sesebuah ketamadunan. Seni bertindak sebagai cermin kepada budaya manusia khususnya dalam memaparkan value atau nilai ketamadunan manusia pada eranya. Oleh kerana nilai ketamadunan manusia sentiasa dinamik dan bergerak, maka budaya yang terakam oleh hasil seni melambangkan pembangunan manusia, anjakan paradigma dalam berfikir hal-hal yang lama, baru dan masa depan ketamadunan manusia itu sendiri.
S2 Bagaimana Seni dilihat dari perspektif dunia Barat ?
Masyarakat Barat telah lama mengetahui akan kelebihan seni dalam meningkatkan kebijaksanaan manusia. Khususnya seni muzik, banyak kajian telah diadakan yang membuktikan muzik melalui apa yang disebut wave atau gelombang mampu merangsang otak manusia dan mengimbangi tenaga kreatif dan kritis. Nama- nama seperti Albert Einstein, Bill Gates, Thomas Jefferson adalah sebahagian kecil genius yang mendapat ‘magic’ daripada wave yang terhasil daripada bunyi muzik yang merangsang kecerdikan mereka. Kisah-kisah kejayaaan mereka dicatatkan dalam jurnal-jurnal barat bagi membuka lebih banyak peluang kajian dijalankan.
Mengambil contoh Leonardo Da Vinci yang diletakkan oleh Tony Buzan dan Raymond Keene di tempat pertama sebagai manusia paling genius dikalangan sembilan genius barat, dan beliau dikenali dengan karya seni hebat seperti lukisan Mona Lisa dan The Last Supper yang telah mendapat pengiktirafan seluruh. Michael J. Gelb menjelaskan didalam buku How To Think Like Leonardo Da Vinci tentang bagaimana seni dapat memberi kesimbangan berkaitan kemahiran sains, seni, logik dan imaginasi yang berupaya menjadikan otak manusia seimbang dan atau apa yang dipanggil “Whole- Brain Thinking”.
S3 Di mana Sastera dan Seni dalam suasana semasa?
Tidak seperti sukan yang menelan belanja berbillion ringgit untuk prasarana, pengurusan atlet, latihan sistematik, penganjuran kejohanan dan populariti yang kini menjadi lebih cenderung kepada industri berbanding patriotismenya, saya merasakan sastera dan seni budaya semakin terpinggir jauh daripada arus perdana kehidupan.
Membaca status tokoh-tokoh sastera dan seni budaya tradisional, ada rasa kecewa dizahirkan mengenai sastera dan seni yang makin terasing. Mereka ini insan hebat, pejuang budaya tinggi dan sentiasa mengendong bersama akan falsafah kehidupan manusia kepada Tuhan, akal dan tamadun manusia. Apabila mereka semakin hilang daripada radar pembangunan modal insan negara dan peruntukan kerajaan, saya tercari-cari dimana silapnya. Adakah peranan seni budaya semakin tidak mendapat pengiktirafan masyarakat dan pemerintah?
S4 Mengapa Sastera dan Seni diuji segetir Ini?
Terfikir di pusat pemikiran saya, adakah masyarakat dan ‘mereka- mereka’ yang dipasangkan dengan gelaran duniawi ini faham dan menyanjung tinggi peranan orang sastera dan seni budaya dalam bersama membangunkan ketamadunan masyarakat di Malaysia. Saya berikan contoh secebis kisah ketidakpedulian terhadap tokoh-tokoh yang tersohor ini antaranya seperti Raja Ahmad Aminullah yang mezahirkan kesedihan dan kegusarannya berkaitan ‘pencerobohan’ dan realiti brutal bila karya Seniman Negara Syed Ahmad Jamal bertajuk Puncak Perdana /Twin Peaks (1985) dirobohkan di ibu negara.
Cerita unsung hero Cikgu Roslan Madun dengan perjuangan syair dan lagu rakyatnya merentas nusantara mencari maknawi bangsanya. Ketidakpedulian pada perjuangan teater Pak Dinsman (Shamsudin Osman) dan kembarnya Pak Yassin Salleh yang bergendala kerana mencari tapak bagi mementaskan Teater Muzikal Uda dan Dara walaupun ia datangnya dari karya besar Sasterawan Negara Usman Awang yang mengupas mengenai nasib bahasa Melayu yang diperlekehkan peranannya dalam membina negara bangsa.
S5 Apa yang perlu dibuat kini?
‘Mereka’ ini mungkin terlupa bahawa jika tiada sastera dan seni budaya pada zaman manusia belum mengenal dan berkasih sayang dengan teknologi seperti hari ini, maka tiada sejarah yang akan dirakamkan. Sejarah telah dirakamkan melalui sastera dan seni budaya. Sejarah yang dirakamkan oleh ‘kamera’ sastera dan seni budaya inilah yang membentuk ketamadunan manusia dalam membina peradaban yang melambangkan intelektualiti manusia sehingga ke hari ini. Hasil karya kreatif ini sentiasa menjadi lambang sejarah ketamadunan manusia.
Amat malang jika sastera dan seni budaya tidak seiring dalam membina kebijaksanaan dan ketamadunan manusia. Persoalannya, jika peranan insan yang mendapat anugerah Allah ini tidak dilihat sebagai medium mempamer dan meningkatkan intekletualiti ketamadunan bangsa, maka sastera dan seni budaya tidak akan berfungsi dalam kotak fikir yang telah dikunci arus kemodenan gila seperti hari ini. Wallahualam.