NILAI, 19 Ogos 2018 –  Bertemakan ‘Isyarat Qurani: Antara Aku dan Ilahi”, seramai 29 orang peserta menyertai Kem Huffaz Remaja Pekak yang diadakan 4 hari bermula 16 sehingga 19 Ogos 2018 bertempat di Institusi Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.

Penganjuran kali ke 3 ini merupakan program anjuran Yayasan Pendidikan Al-Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dengan kerjasama Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), FAQEH Training And Consultancy dan Sekretariat Sahabat FAQEH Universiti Sains Islam Malaysia (SaF@USIM)

Peserta remaja pekak yang menyertai kem ini adalah berumur antara 13 hingga 27 tahun, yang terdiri dari 14 peserta lelaki dan 15 peserta perempuan dimana mereka dilatih menghafaz al-quran dengan pendekatan visual dan penulisan melalui kaedah penulis wahyu.

Koordinator Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tuan Haji Norakyairee Mohd Raus berkata, USIM bekerjasama dengan JAKIM dan Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (Yayasan FAQEH) dalam melatih kumpulan sukarelawan mahasiswa USIM bagi penganjuran kem ini.

“Mereka memerlukan bimbingan yang betul daripada para asatizah dan pendakwah yang benar-benar memahami keperluan secara tidak langsung menolak persepsi penghayatan beragama milik eksklusif golongan tipikal”.

“Fokus Kem Huffaz ini adalah bagi menghuraikan kepentingan dan peranan OKU menghafaz al-Quran, membuka mata masyarakat khususnya melatih mahasiswa pengajian Islam mendepani isu OKU beragama, selain membudayakan kehidupan bersama al-quran tanpa mengira keterbatasan individu”.

“Diharap penganjuran program ini dapat dilaksanakan secara berkala dan disambut oleh institusi-institusi agama negeri dengan memberi ruang dan peluang OKU dididik beragama dengan meraikan kekuatan dan kelainan upaya belajar mereka. Di samping itu, institusi² agama negeri juga disarankan untuk berkolaborasi dengan NGO² OKU dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk melatih sukarelawan dalam kalangan mahasiswa dengan kemahiran khusus bagi mendepani isu OKU beragama” tambah Haji Norakyairee.

Bagi Puan Siti Subaidah Ismail walaupun jauh bukan penghalang untuk memberi peluang kepada anaknya sertai kem ini, ibu kepada Shahza’nny Solihin, 20, dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai Johor turut melahirkan rasa terharu dan berharap program seperti ini dapat memberi peluang kepada anaknya lebih fokus mempelajari pendidikan al-quran dan agama selain bergaul dengan kawan seangkatannya, dengan harapan anaknya dapat membantu insan sepertinya untuk mendalami dan membaca al-quran walaupon mereka adalah kelainan upaya.

Manakala adik Nur Athirah Umaira bt Meor,15, dari SMK Taman Desa 2, Rawang melahirkan rasa seronok kerana dapat belajar ilmu fardhu ain, selain dapat menghafaz 5 surah dengan cara tersendiri. Anak sulung dari empat beradik ini turut menyimpan hasrat untuk menghabiskan bacaan al-quran dan hadir kelas mengaji empat kali seminggu bagi melancarkan bacaan al-quran. Bapanya Meor Azhar Meor Shakri,46, turut berharap program seperti dapat diteruskan secara kerap bagi membantu golongan OKU seperti anaknya belajar seperti anak normal yang lain. Nur athirah mengalami speech delay ketika usianya tiga tahun akibat demam panas.

Majlis perasmian penutup dirasmikan oleh Dr Muhammad Yamin Ismail Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM. Turut hadir Encik Muhd Nasri Suratman CEO Faqeh Training  and Consultancy dan Puan Zaharatul Sophea Mohd Amir Abas dari Yayasan Pendidikan al-quran bagi anak istimewa Yayasan Faqeh.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032