NILAI, 7 April 2021 – Bersempena Majlis Pengiystiharan Konvokesyen Ke-18 pada 6 April 2021 di Universiti Sains Islam Malaysia, DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud selaku Canselor USIM berkenan menganugerahkan Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Wan Nur Ira Izyan Wan Izani dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Nur Ain Hannani Hamid dari Fakulti Sains dan Teknologi.

Wan Nur Ira Izyan Wan Izani, 26 tahun,  Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri merupakan anak ke-3 daripada tujuh orang adik-beradik menghormati kehendak ibu bapanya untuk melihatnya menjadi seorang doktor. Wan Nur Ira menjadikan kakaknya yang kini menjalani latihan siswazah (HO) di Hospital Kuala Lumpur sebagai inspirasi dan pencetus semangat untuk terus berusaha untuk bergelar doktor.

Wan Nur Ira berkongsi cerita bahawa adik beradiknya lain bermula dari anak kedua hingga keenam sama-sama menyambung pengajian dalam bidang perubatan di USIM. Beliau mengakui bergelar seorang pelajar dalam bidang perubatan menjadikannya seorang yang lebih berjiwa besar serta menghargai setiap detik manis, susah dan senang sepanjang lima tahun pengajiannya di USIM.

Beliau mengakui ibu bapa dan adik beradik menjadi pendorong utama kejayaan kerana mereka tidak jemu-jemu mendoakan kebaikan buatnya dari awal hingga akhir pengajian. Malah, beliau turut menghargai jasa pensyarah dan rakan-rakan pengajian yang sentiasa memberi nasihat dan bimbingan dan sentiasa ada untuknya pada waktu senang dan sukar.

Pernah mengalami pengalaman pahit di tahun lima apabila mengalami kesukaran untuk tidur dan hilang selera makan lalu sukar untuk fokus di dalam kelas telah menjejaskan keputusan peperiksaan, justeru beliau mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat nasihat dari kaunselor di fakulti untuk bimbingan dan akhirnya kembali pulih dengan azam yang lebih cekal. Beliau yang merupakan presiden pertama USIM One Health Student Club terlibat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan selain bersukan dan menyertai pelbagai persidangan.

“La Hawla Wala Quwwata Illa Billah” menjadi kata azimat dalam dirinya. Percaya bahawa tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah, beliau turut mengajak rakan-rakan dan penuntut USIM untuk tidak berputus asa untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri dalam semua perkara termasuk akademik dan sahsiah diri.

“Miracle is another name for hard work. Berusaha keraslah untuk mencapai semua cita-cita.”

Nur Ain Hannani Hamid, 24 tahun, Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Bioteknologi Makanan) yang berasal dari Kelantan aktif sebagai pendebat Bahasa Arab USIM menganggap pengajian di USIM antara momen bermakna dalam hidupnya. Bermula di USIM sebagai pelajar Tamhidi, beliau tekad meneruskan pengajiannya di USIM bagi meningkatkan kemahiran berbahasa Arab selain membina jati diri melalui nilai dan ajaran yang diterapkan oleh pensyarah USIM.

Nur Ain Hannani kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana program Biological System Sciences di Graduate School of Comprehensive Scientific Research, Prefectural University of Hiroshima mengakui kejayaannya adalah berkat doa dan restu kedua ibu bapanya yang tidak putus-putus membimbing dan memberi galakan.

Beliau terlibat secara aktif dalam kelab debat Bahasa Arab menyedari dirinya semasa pengajian menuntut komitmen yang tinggi dalam membahagikan masa belajar di kuliah serta menghadiri latihan untuk mengasah kebolehannya bertutur Bahasa Arab. Beliau kerap menyertai pelbagai pertandingan di dalam mahu pun luar negara, justeru beliau menganggap penyertaannya bagi mendapatkan pengalaman dan cabaran berbeza disamping berkongsi ilmu dan berkenalan rakan-rakan baharu.

Tidak menafikan bahawa berkat tunjuk ajar dari pensyarah-pensyarah, kejayaan terus dikecapinya. Beliau amat berterima kasih kepada pensyarah khususnya pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi yang sangat mesra pelajar dan sentiasa bersedia membantunya dalam soal pelajaran. Menyertai pasukan debat Bahasa Arab telah sebati dalam dirinya justeru, amat menghargai jasa dan tunjuk ajar daripada jurulatih debat yang dikenali sebagai Al Muthla yang menjadi sumber semangat untukknya lebih bersemangat meningkatkan kecekapan bertutur dalam Bahasa Arab.

Beliau amat yakin kepada Allah dalam menetapkan yang terbaik buat hamba-hambaNya. Atas keyakinan tersebut, beliau mempunyai prinsip tersendiri untuk menjadi seorang hamba dipenuhi dengan akhlak yang menyenangkan orang sekeliling.

“Sentiasa memaafkan kesilapan lalu dengan menggunakan masa kini dengan sebaiknya serta menyerahkan dengan yakin ketentuan masa depan kepada Allah.”

Ahli Lembaga Pengarah, Pengurusan Tertinggi dan seluruh warga USIM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas penganugerahan tersebut.

Muat turun buku Konvokesyen Ke-18 USIM. Klik https://konvo.usim.edu.my/buku/

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan