KUNMING, 15 September 2017- Yunnan, China telah menjadi destinasi pilihan bagi 25 pelajar Fakulti Sains dan Teknologi bersama-sama dengan seorang pegawai pengiring, Puan Nor Jannah Saaluddin untuk menjayakan program Global Islamic Student Outreach (GISO): Travelog Siswa di Bumi Yunnan pada 25 Julai lalu.

Menurut Pengarah Program GISO, Muhammad Harith Noor Azam, tujuan program ini bukan sahaja bagi menyantuni masyarakat muslim di sana, malah bertujuan bagi melahirkan mahasiswa yang cakna tentang isu dunia luar sekaligus menyahut misi USIM, iaitu mengintegrasikan ilmu Aqli dan Naqli.

Sepanjang berada di sana selama 6 hari, delegasi berpeluang menziarahi enam buah masjid. Antaranya ialah Masjid Nancheng, Masjid Shuncheng, Masjid Yong Ning, Masjid Lao, Masjid Najia Ying dan Masjid Shadian. Kenam-enam masjid tersebut terletak di daerah yang berbeza serta mempunyai sejarah dan fungsinya yang tersendiri. Antara masjid yang tidak dapat dilupakan oleh delegasi ialah Masjid Shadian yang terletak di Daerah Shadian yang mempunyai majoriti penduduk Islam. Walaupun terdapat pelbagai halangan dalam membangunkan masjid-masjid di sekitar China, sebanyak 39,105 buah masjid telah berjaya dibangunkan atas usaha penduduk Muslim di China. Mereka mencari inisiatif untuk mengumpul dana dengan menjalankan beberapa jenis perniagaan seperti menyewakan bangunan kepada orang luar, mengurus hotel dan pelbagai aktiviti lain bagi mengembangkan ekonomi orang Islam di samping dapat menyumbangkan dana untuk pembinaan masjid.

Menurut Muhammad Harith, penerimaan agama Islam di China dan di Malaysia amat berbeza. Hal ini demikian kerana sistem pendidikan di China tidak membenarkan sebarang bentuk pengajaran agama Islam di sekolah dan usaha penyebaran agama Islam kepada orang awam di khalayak boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh Kerajaan China. Imam-imam di seluruh masjid telah mengambil peluang untuk mengadakan kelas asas agama dan pengajian Al-Quran dan hadis sepanjang cuti musim panas bagi mendidik dan membimbing masyarakat Islam di sana. Seluruh cuti musim panas kanak-kanak akan dimanfaatkan dan didedikasikan bagi mempelajari agama Islam. Selain itu, budaya mereka yang amat kami kagumi adalah cara mereka menghormati dan melayan tetamu. Terdapat sedikit kelainan daripada budaya di Malaysia, iaitu orang Malaysia apabila berkunjung ke rumah orang lain akan membawa buah tangan untuk tuan rumah, manakala bagi masyarakat China, tuan rumah yang seharusnya memberikan sesuatu kepada para tetamu.

Pengembaraan delegasi kali ini bukan sahaja menyumbangkan tenaga dalam membersihkan kawasan masjid atau mengadakan aktiviti bersama penduduk tempatan sahaja. Sebaliknya kumpulan GISO juga telah menyumbang tudung-tudung dan selendang kepada individu muslimah di sekitar masjid yang dikunjungi bagi memberi semangat kepada mereka untuk terus mengamalkan ajaran Islam mengikut syariat. Di samping itu, delegasi juga telah menyumbangkan papan tanda zikrullah kepada pihak masjid yang telah dikunjungi bagi mempamerkan zikir-zikir di sekitar masjid.

Delegasi turut mendapat jemputan khas daripada Ketua Daerah Shadian yang telah menjemput delegasi untuk menikmati hidangan di rumahnya serta diisi dengan sesi perbincangan dua hala. Beliau berharap agar kerjasama yang baik antara muslim yang berbeza negara akan terus dipupuk dan sebagai saudara seagama, kita hendaklah saling menjaga antara satu sama lain serta berganding bahu menyebarkan dakwah dan memperkenalkan Islam ke seluruh dunia.

Disediakan oleh:
Muhammad Harith bin Noor Azam,
Pengarah Program GISO