NILAI, 18 April – Pelantun lagu rakyat popular ‘Lemak Manis’ dan ‘Menghilir di Sungai Pahang’ iaitu Roslan Madun menerima pengiktirafan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atas sumbangan besarnya dalam mengangkat seni budaya tanah air. Anak kelahiran Pahang ini dikenali dan dihormati penggiat seni atas kesungguhannya memperjuangkan irama syair sehingga terkenal di nusantara dan diberi gelaran ‘Raja Syair Nusantara’ selain turut mencipta nama melalui karya lagu-lagu rakyatnya yang dekat dihati masyarakat.

Penghargaan USIM kepada Roslan Madun disampaikan sendiri oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad semasa program Sembang Pohon Keranji 4.0 yang diadakan pada semalam, Rabu (17 April) bertempat di kediaman Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Ismail Ahmed, Roslan Madum telah memanfaatkan bakat seni suaranya untuk kelangsungan seni warisan dan budaya tradisional Melayu dalam bentuk lagu syair dan gurindam.

“Kepakarannya turut dimanfaatkan oleh Pusat Kebudayaan untuk berkolaborasi dalam pelbagai program sebelum ini antaranya Program Syair Alam Melayu Nusantara, rakaman rujukan syair bagi pertandingan syair peringkat kebangsaan anjuran USIM dan Jabatan Warisan Negara dan dipilih sebagai pesona figura”.

“Sebagai penghargaan atas bakat seninya kami di Pusat Kebudayaan turut menghasilkan dua buah klip video lagu syair beliau iaitu Syair Setia Kawan dan Syair Budiman yang masing-masing dilagukan dengan irama Siti Zubaidah dan irama Perantau” ujarnya.

Sementara itu, program Sembang Pohon Keranji 4.0 yang dicetuskan oleh Pusat Kebudayaan USIM sekali lagi berjaya menghimpunkan lebih 50 orang karyawan, aktivis, pendokong dan penggiat sastera tanah air sejak mula dianjurkan secara tahunan pada 2016. Program yang menyantuni Sasterawan Negara ini tertumpu kepada pengisian wacana sastera dan budaya, bacaan puisi dan persembahan seni.

Bagi Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, penganjuran Sembang Pohon Keranji ini dilihat amat bertepatan dengan hasrat Kementerian Pendidikan kini untuk universiti mengambil inisiatif bagi mendekat warga kampus khususnya mahasiswa dengan Sasterawan Negara. Beliau turut gembira kerana USIM telah merintis silaturrahim dengan Sasterawan Negara lebih awal lagi dengan menyantuni Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh beberapa tahun sebelum ini.

Penganjuran kali ini yang bertemakan ‘Bersuaralah’ turut diisi dengan kupasan ‘Aspek Kebebasan Bersuara dalam Sastera Tradisional’ oleh Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh yang merupakan Sasterawan Negara Keenam. Segmen mendeklamasikan puisi turut menarik perhatian hadirin apabila membariskan beberapa tokoh antaranya Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan, Dato Rahman Shaari, Tan Sri Hamad Kama Piah, Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani dan Naib Canselor USIM. Tidak kurang menariknya juga adalah bacaan puisi oleh pelajar antarabangsa USIM daripada Jordan dan Nigeria yang mendeklamasikan puisi dalam bahasa ibunda mereka.

 

Disediakan oleh:
Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan
Tel : 06-798 8026/78629/78620 Faks : 06-798 8032