NILAI, 28 Oktober 2022 – Dalam usaha untuk melahirkan ramai pengantara bertauliah yang akan menjadikan penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) sebagai wadah utama dalam menangani konflik dalam kalangan masyarakat di Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) bergerak proaktif membangunkan modul latihan kemahiran iaitu Pensijilan Profesional Sulh-Medias yang dilancarkan oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersempena Persidangan Pegawai Syariah seluruh Malaysia kali ke-18 .
Modul latihan yang diketuai oleh Dr Hendun Abd Rahman Shah, Pensyarah Kanan merangkap Ketua Unit Rundingcara dan Mediasi FSU berkata, kursus ini disertai oleh pelajar tahun akhir FSU yang dilaksanakan selama 5 hari atau sekurangnya 40 jam serta sesi penilaian di akhir kursus bagi menentukan kompetensi peserta sebagai pengantara.
Sementara itu, Tan Sri Dr. Mohd Daud bin Bakar dalam ucapannya berkata, Alternative Dispute Resolution (ADR) bukanlah suatu kaedah baharu. Walaupun amalannya diaplikasikan secara rasmi di Mahkamah Syariah semenjak 20 tahun lalu, namun mekanisme sulh ini telah disemi menerusi pengiktirafan yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadith.
“Begitu juga pendekatan yang luas perlu diperuntukkan agar ADR boleh menjadi penapis utama sebelum kes dibawa ke Mahkamah, bukan hanya bagi kes-kes tertentu dan terhad semata. Saya menyokong segala inisiatif bagi memantapkan sistem keadilan menerusi penggembelengan ADR ini. Usaha penambahbaikan perlu dilakukan segera seperti mewujudkan bahagian khusus ADR di JKSM, mahupun di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri/Mahkamah Syariah Negeri”.
“Begitu juga, usaha penyeragaman undang-undang, kaedah, peraturan dan amalan berkaitan ADR di seluruh mahkamah Syariah, di samping menambah nilai kemahiran pegawai-pegawai ADR melalui pelaksanaan kursus-kursus yang diakreditasi oleh badan-badan profesional tempatan dan antarabangsa yang diiktiraf,” tambah beliau lagi.
Tambah beliau lagi, keadilan bukan hanya tercapai menerusi undang-undang substantif dan dari aspek prosedural sahaja, namun aspek keadilan ihsan perlu juga diberi perhatian serius. Saya percaya menerusi ADR, keadilan ihsan ini dapat diterokai dan dicapai,” tambah beliau lagi sebelum mengakhiri ucapan perasmian Persidangan tersebut.
Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan