NILAI, 2 Oktober 2020 – Sebagai menyahut seruan kerajaan untuk memperkasakan program atau projek infaq dan wakaf di Malaysia melalui teknologi digital, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil proaktif dengan melancarkan portal pendanaan awam Jom Infaq atau dikenali sebagai crowdfunding.

Majlis pelancaran ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Dr Hj Zulkifli Al-Bakri, Menteri Hal Ehwal Agama. Portal ini merupakan cetusan idea Naib Canselor USIM, YBhg. Prof. Dr Mohamed Ridza Wahiddin dan platform ini dibina oleh Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM di bawah seliaan Pusat Wakaf dan Zakat USIM.

Portal Jom Infaq ini dilihat bakal menjadi satu projek berimpak tinggi USIM di mana ia menyediakan satu platform pendanaan awam bagi memudahkan masyarakat dan seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada projek-projek kebajikan USIM demi menjadikan USIM sebagai sebuah Universiti yang berprestij dengan kemudahan-kemudahan pendidikan bertaraf dunia tanpa bergantung kepada dana kerajaan semata-mata. Jom Infaq USIM yang dibina ini merupakan antara perintis kepada portal pendanaan awam milik Universiti Awam di Malaysia.

Prof Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM dalam ucapannya berkata, sebagai sebuah universiti Islam, wakaf dan zakat haruslah menjadi sumber kewangan yang perlu diperkasakan. Untuk semua ini berlaku, kerjasama daripada organisasi-organisasi amatlah diperlukan bagi membantu USIM sebagai institusi awam yang menjuarai aspek wakaf dan zakat di Malaysia. Justeru, USIM perlu berusaha dalam menerokai pelbagai bentuk kerjasama strategik bersama organisasi serta badan korporat bagi kelestarian ekonomi ummah.

“Pada tahun 2019 PWZ telah memperkenalkan beberapa program kebajikan khusus buat pelajar dan juga masyarakat awam menerusi pelbagai inisiatif, projek dan program melalui dana zakat, wakaf dan infaq seperti Anugerah Biasiswa Barakah, Program Pengisian Petrol Percuma, Program Tambah Nilai Telco Percuma, Program Wakaf Sumbangan Lab Coat dan Tafsir Quran, Projek Wakaf Penapis Air dan bermacam program lagi selain agihan biasa kepada asnaf pelajar, kakitangan dan program-program dakwah dan fi sabilillah seperti Global Islamic Students Outreach (GISO) yang sememangnya menjadi rutin Pusat wakaf dan Zakat. Pada sesi pertama agihan zakat tahun ini, Pusat Wakaf dan Zakat USIM telah berjaya mengagihkan sebanyak RM1,466,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta Empat Ratus Enam Puluh Enam) kepada asnaf dalam kalangan pelajar dan kakitangan”.

Jelas beliau lagi, portal pendanaan awam (crowdfunding) dikenali sebagai Jom Infaq ini telah dibuat pada akhir Jun lepas yang menempatkan projek-projek wakaf, infaq dan endowmen universiti bagi memudahkan masyarakat menyumbang. Melalui platfom ini juga, para penyumbang boleh melihat ketelusan pengagihan dan pengurusan dana setiap projek yang dipaparkan. Projek ini merupakan salah satu dari 2 projek besar yang USIM gerakkan pada tahun ini dan telah dijadikan sebagai salah satu dari sasaran tahunan 2020 bagi merealisasikan Misi USIM 2022.

Pada majlis berkenaan, USIM turut menerima sumbangan dari agensi-agensi korporat seperti MBSB, Alliance Islamic Bank, Bank Rakyat, Tabung Haji, Maybank, Petronas Bandar Baru Nilai dan Perumahan Kinrara Berhad.

Turut diadakan Hari Terbuka PWZ-BIMB dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bagi membuka peluang kepada kakitangan USIM melakukan amalan bersedekah melalui zakat, wakaf, infak dan endowmen di kaunter PWZ disediakan. BIMB juga membuka kaunter untuk memberi peluang kepada kakitangan membuka akaun Al-Awfar dan menaja hadiah-hadiah cabutan bertuah kepada kakitangan USIM yang membuat sumbangan di kaunter PWZ sepanjang Hari Terbuka ini. Rakan Strategik BIMB yang turut sama adalah seperti Syarikat Takaful Malaysia, Transasia Property, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, Primuncak Development, Putra Nilai Development dan Tabung Haji.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan