NILAI, 25 November 2020 – Dalam usaha untuk membudayakan norma baharu ini adalah tugas dan tanggungjawab rakyat Malaysia iaitu setiap daripada kita. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan penekanan terhadap pelaksanaan CAPP iaitu (Cegah, Amal, Patuh dan Pantau) dalam kalangan masyarakat dalam usaha untuk memperkasakan Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) Covid19. Dengan tema ‘Bersama Hentikan Covid19’, kempen ini juga turut didokong dan dijayakan oleh semua kementerian, agensi, jabatan, sektor korporat serta rakan strategik seluruh negara bagi menyampaikan mesej secara konsisten dan berterusan dalam usaha membudayakan amalan norma baharu dalam kalangan masyarakat.

Justeru, selari dengan pelancaran Kempen Pembudayaan Norma Baharu yang dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Seri Dato Haji Muhyiddin Mohd Yassin pada 8 ogos lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah melancarkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu peringkat KPT yang disampaikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui siaran langsung di Facebook rasmi KPT disertai oleh para pelajar dari Insstitusi Pengajian Tinggi seluruh Negara.

Datuk Seri Noraini Ahmad dalam ucapannya berkata, mengambil iktibar dari negara Taiwan di mana selama 200 hari tiada kes tempatan baharu dengan mengambil kesedaran bahawa pengaplikasian norma baharu memberikan kesan positif dalam memutuskan rantaian Covid19. Untuk melandaikan lengkungan Covid19, kerjasama segenap lapisan masyarakat amatlah diperlukan. Jadi amatlah penting semua warga kementerian kekal berdisiplin, mengamalkan norma-norma baharu yang digariskan.

Menurut beliau lagi, kempen pembudayaan norma baharu menggunakan pendekatan CAPP. Cegah disini bermaksud mendidik masyarakat dan komunti tentang cara norma baharu kehidupan. Amal pula menekankan tentang pentingnya mengamalkan tingkah laku bagi mengelakkan diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid19. Sementara itu patuh bermaksud perlunya patuh kepada SOP Pengoperasian sektor utama negara dan arahan-arahan lain kerajaan. Seterusnya pantau merujuk kepada memantau status kesihatan diri dan keluarga, segera mendapatkan rawatan jika bergejala, serta sentiasa melakukan saringan suhu badan sebelum memasuki sesuatu permis.

“Kementerian amat komited untuk sentiasa mempromosikan pembudayaan norm baharu dalam kalangan warga pengajian tinggi. Antara wadah yang kita gunakan adalah melalui media sosial, siar raya, hebahan melalui emel serta medium promosi lain yang bersesuaian. Saya juga menyeru agar warga pengajian tinggi sekalian sentiasa mengamalkan amalan 3W (Wash, Wear, Warn). Selain itu adalah penting untuk semua pihak mengelakkan 3C (Crowded places, Confined places, Close conversation). Susulan ini pihak IPTA mahupun IPTS haruslah tegas untuk memastikan segala SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dipatuhi. Aktiviti keramaian atau program luar kuliah yang menghimpunkan orang ramai hendaklah dielakkan. Pihak pentadbiran juga haruslah memastikan mahasiswa, kakitangan akademik dan kumpulan pelaksana tidak berada di dalam ruang sempit dan tertutup dalam tempoh yang lama.”, jelas Datuk Seri Noraini.

Manakala bagi Prof Dr. Mohamed Ridza Wahiddin Naib Canselor USIM berkata, boleh dibanggakan bahawa kesemua SOP dan saranan di dalam buku KPT yang berkaitan dengan amalan norma baharu diamalkan di USIM. Selain itu USIM telah perkenalkan maskot Taariq yang merupakan ikon maskot korporat USIM. Beberapa siri komik Taariq telah diterbitkan untuk menyeru warga USIM untuk mengadaptasi kehidupan kepada norma baharu. Disamping itu juga, siri tazkirah dan ceramah berkaitan Covid-19 yang disampaikan oleh kakitangan akademik dan pentadbiran telah dilaksanakan dari semasa ke semasa secara dalam talian. Baru-baru ini juga, kempen membuang pelitup muka  dengan cara yang betul oleh kumpulan penyelidik iaitu pasukan PPE Disposal Tasforce telah ditubuhkan oleh USIM, dan kempen ini turut diperluaskan kepada kerajaan Negeri Sembilan dan komuniti di Negeri Sembilan.

“Kempen pembudayaan norma baharu ini sangat penting dan tepat pada masanya ketika tidak ada vaksin yang boleh mengekang penularan virus Covid-19 di Malaysia. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (Surah Al- Maaidah: 2). Juga, ada peribahasa Melayu “bersatu teguh bercerai roboh”. Warga USIM khususnya, serta rakyat Malaysia wajar menyokong sepenuhnya kempen ini demi manfaat Bersama”, tambah Prof. Ridza.

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan