Julai 2025
Kembar Tamhidi USIM curi tumpuan: Impian jadi Doktor demi Ibu tercinta
NILAI – Hari pendaftaran pelajar baharu Program Tamhidi (Asasi) Sesi Akademik 2025/2026 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semalam menjadi lebih istimewa apabila sepasang kembar lelaki dari Parit Buntar, Perak mencuri perhatian ramai. Muhammad Iman Atiq Muhamad Yazee dan Muhammad Iman Atif Muhamad Yazee, masing-masing berusia 18 tahun, hadir ke kampus dengan semangat berkobar-kobar untuk melanjutkan pengajian ke Program Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains. Mereka adalah anak sulung dan kedua daripada empat beradik, dibesarkan oleh ibu tunggal mereka, Puan Zaihan Mohmad Zaini, selepas kehilangan suami ketika pasangan kembar ini di tingkatan tiga. “Impian kami adalah untuk menjadi doktor pakar, sebagai hadiah buat ibu yang banyak berkorban untuk membesarkan kami,” luah mereka penuh rasa syukur. Pasangan adik-beradik ini merupakan antara 1,493 pelajar baharu yang mendaftar bagi Program Tamhidi (Asasi) Sesi Akademik 2025/2026. Suasana pendaftaran kali ini turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar dari pelbagai latar, termasuk tiga sahabat baik dari SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Sarawak yang tidak menyangka akan kembali bersatu sebagai rakan sekampus. Daripada jumlah 1,493 itu, seramai 526 pelajar yang mendaftar bagi program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang, 356 pelajar bagi Tamhidi Perakaunan dan Muamalat, 164 pelajar bagi Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, serta 447 pelajar bagi Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains yang menunjukkan jumlah pendaftaran pelajar Tamhidi tertinggi dalam sejarah USIM. Sementara itu. tiga sahabat baik dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Zaidi, Kuching, Sarawak tidak menyangka dapat kembali bertemu sebagai rakan sekampus apabila masing-masing mendaftar sebagai pelajar baharu di USIM. Mereka ialah Durratun Nasihah Mokhtar dan [...]
GAITC 2025 Perkasa Bahasa Arab dalam Inovasi Teknologi
NILAI – Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Program Pendidikan Bahasa Arab, Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat (UM SumBar), Indonesia serta Ittihad Mudarrisi al-Lughah al-‘Arabiyyah bi Indonesia (IMLA) telah menganjurkan Global Arabic Innovation Technology Competition (GAITC) 2025 bertempat di Dewan Utama FPBU, USIM pada 2 Julai 2025 baru-baru ini. Program ini menghimpunkan seramai 36 kumpulan pelajar daripada Malaysia dan Indonesia melibatkan mahasiswa Tahun 3 Program Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Komunikasi (SMBAK), pelajar Tahun 2 Sarjana Muda Pendidikan Islam (SMPPI) serta pelajar dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Barat dan UIN Malang. Tujuan utama pertandingan ini adalah untuk menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan istilah dan frasa bahasa Arab dalam bidang pengurusan dan teknologi melalui penghasilan projek inovatif. Selain itu, ia turut bertujuan melahirkan pelajar yang kreatif, berkemahiran tinggi dalam kerja berpasukan serta memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi serantau. Kumpulan ‘SpotVirtual’ telah diumumkan sebagai pemenang utama GAITC 2025 hasil pembentangan projek inovatif yang menonjol dari aspek ketepatan teknikal, penggunaan bahasa Arab yang fasih dan sistematik, serta impak sosial yang signifikan terhadap komuniti sasaran. Projek mereka dinilai sebagai contoh terbaik dalam menggabungkan elemen teknologi moden dengan pengaplikasian bahasa Arab secara kreatif dan berdaya saing di peringkat global. Antara yang mencuri perhatian termasuk projek ‘MineBuild Studi’ yang menggunakan platform permainan Minecraft sebagai bahan bantu mengajar dalam konteks pendidikan abad ke-21. Menurut Muaz bin Abdul Kahar, pelajar SMPPI, projek tersebut dihasilkan bagi membantu guru melaksanakan kaedah pembelajaran yang lebih menarik dan sesuai dengan keperluan pelajar masa kini. “Kami memilih Minecraft kerana [...]
Jun 2025
Mahasiswa USIM Semai Nilai Ihsan di Rumah Kebajikan Nur Hati
AMPANG– Seramai 40 mahasiswa Kelab UNESCO Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di bawah Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI) telah menjayakan program libatsama masyarakat bertemakan Sentuhan Nurani, Jalinan Kasih di Rumah Kebajikan Nur Hati, Ampang, Selangor pada 14 Jun 2025 baru-baru ini. Program anjuran bersama Kluster Pendidikan dan Kluster Sains Sosial ini telah menyantuni 38 orang kanak-kanak dengan pelbagai latar belakang termasuk anak yatim, mualaf, anak terbuang, serta remaja bermasalah. Penasihat program, Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, merakamkan penghargaan kepada pihak rumah kebajikan atas kesudian menerima kunjungan para mahasiswa dalam usaha menyemai nilai ihsan dalam kalangan komuniti. “Sebagai persediaan, kutipan buku terpakai telah dilaksanakan dua hari sebelum program sebagai sumbangan intelektual kepada anak-anak di rumah kebajikan tersebut, selari dengan nilai pendidikan dan kemanusiaan yang diperjuangkan oleh UNESCO”, ujarnya lagi. Sementara itu, Pengarah program, Siti Nursarah Zafirah Kemarolzaman berkata, pengalaman ini memberi peluang kepada peserta untuk menghayati nilai empati, menyantuni insan lain tanpa mengira latar belakang serta mempraktikkan pembelajaran sepanjang hayat yang sebenar. Program dimulakan dengan bacaan doa dan ceramah motivasi bertajuk “Ihsan: Kunci Insan Cemerlang” oleh Dr. Sakinah, disusuli sesi soal jawab interaktif bersama kanak-kanak. Aktiviti ini bertujuan memupuk jati diri, sahsiah unggul dan semangat positif dalam kalangan peserta. Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk permainan Tirai Ajaib, sesi bercerita dan penyerahan buku bacaan, selain aktiviti mewarna dan sudoku bagi merangsang kreativiti serta kognitif kanak-kanak. Mahasiswa turut bergotong-royong membersihkan bilik, menyusun barangan, melipat pakaian serta mengemas ruang kediaman demi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa. Program diakhiri dengan penyerahan barangan keperluan harian [...]
Santuni Teknologi, Erat Komuniti: Mahasiswa USIM Perkasa Kesedaran AI dan Keselamatan Siber Berteraskan Nilai Islam
SEPANG – Seramai 45 orang mahasiswa Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dari Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah melaksanakan program libatsama masyarakat bertemakan “Teknologi Disantuni, Mengukuh Amal Beretika” di bawah inisiatif Service-Learning Malaysia-University Society (SULAM) pada 24 Mei 2025 baru-baru ini. Program bertajuk “AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat for Sustainable Digital Communities” ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay, dan berlangsung di Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar (SAMSMEL) dengan penglibatan seramai 132 pelajar Tingkatan 3. Lebih daripada sekadar aktiviti khidmat masyarakat, program ini menjadi platform memperkasa kesedaran digital dalam kalangan pelajar sekolah menengah melalui pendekatan pendidikan keselamatan siber yang menyeronokkan dan beretika. Menariknya, inisiatif ini turut menerima pengiktirafan melalui penganugerahan Geran Sumbangan Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (GSS) bagi tahun 2025, sekali gus menjadikan UNESCO Malaysia sebagai penaja utama program ini. Menurut Prof. Madya Dr. Sakinah, sokongan ini merupakan langkah proaktif dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber berlandaskan nilai-nilai Islam. “Melalui program ini, mahasiswa bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membina jalinan erat antara teknologi dan komuniti melalui pendekatan berasaskan nilai murni dan inovatif,” ujar beliau. Para pelajar sekolah didedahkan dengan tiga komponen utama iaitu sesi perkongsian interaktif AI-Cyber Hasanat. papan permainan pendidikan Secure Cybercitizenship (SET) dan aktiviti eksplorasi dunia keselamatan siber secara menyeronokkan Melalui pendekatan ini, peserta lebih mudah memahami ancaman siber serta peranan AI dalam melindungi keselamatan digital individu dan komuniti. Dalam ucapan perasmiannya, Pengetua SAMSMEL, Puan Noor Haniah Wan Muhammad, menzahirkan penghargaan terhadap [...]
USIM perkasa literasi siber pelajar sekolah agama melalui program “AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat”
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mengorak langkah memperkukuh celik digital dalam kalangan generasi muda menerusi pelaksanaan program AI-Driven Cybersecurity Through Cyber Hasanat for Sustainable Digital Communities yang berlangsung di Sekolah Menengah Agama Nilai (SMA Nilai) pada 22 Jun 2025 baru-baru ini. Program ini melibatkan penyertaan seramai 117 pelajar Tingkatan 1 dan 2, dengan matlamat membina kesedaran tentang keselamatan siber serta menerapkan etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian remaja — sejajar dengan pendekatan teknologi yang berlandaskan nilai. Majlis perasmian disempurnakan oleh Encik Darmadi bin Zulkifly, Penolong Kanan Pentadbiran SMA Nilai, yang merakamkan penghargaan kepada USIM atas inisiatif mendekatkan pendidikan keselamatan digital kepada pelajar sekolah. Menurut beliau, dalam dunia digital yang semakin mencabar, penguasaan teknologi perlu diseiringkan dengan nilai moral, akhlak dan kesedaran etika demi membentuk masyarakat digital yang berintegriti dan berdaya tahan. Program ini digerakkan oleh 46 orang mahasiswa Tahun 2 Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi USIM, di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay selaku penasihat program. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) dan turut menerima sokongan dana sumbangan komuniti daripada Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) 2025. Antara pengisian utama yang menarik perhatian ialah Interactive Secure Cybercitizenship Boardgame (SET), iaitu permainan papan interaktif yang direka khusus untuk menguji pengetahuan dan mencetuskan perbincangan dalam kalangan pelajar tentang privasi digital, jenayah siber serta kepentingan menjadi warganet yang bertanggungjawab. Selain itu, slot eksplorasi bertemakan AI turut dilaksanakan dengan pendekatan cabaran dunia [...]
USIM raih Tempat Ketiga Pertandingan Karangan dan Syarahan Bahasa Jepun IPT Malaysia Kali Ke-2
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi mengharumkan nama universiti apabila Saudara Danish Arfan Mohd Jasmi berjaya merangkul tempat ketiga dalam Pertandingan Karangan dan Syarahan Bahasa Jepun Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia kali ke-2 yang berlangsung pada 28 Mei 2025 baru-baru ini. Pertandingan kali ini merupakan anjuran bersama Pusat Bahasa dan Kebudayaan Jepun USIM, Persatuan Pengajar Bahasa Jepun Malaysia, Fukuyama Transportation Sdn. Bhd dan ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Komaru Transportation. Berlangsung di Dewan Kuliah 1, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), USIM dengan menyaksikan penyertaan seramai 15 peserta dari lapan buah institusi iaitu USIM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), serta Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJII). Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuan Kitaoka Tatsuya, Pengarah Japan Information Service, Kedutaan Jepun di Malaysia Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar kerjasama Malaysia–Jepun diperkukuh melalui pendekatan Baharu. “Kita perlu mengekalkan momentum ini dan membawa Dasar Pandang ke Timur ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai contoh, saya ingin mencadangkan konsep ‘Look-at-Each Other Policy’ di mana pelajar Malaysia yang belajar di Jepun dan pelajar Jepun yang belajar di Malaysia dapat saling memberi manfaat antara satu sama lain.”, ujar Tuan Kitaoka Tatsuya. Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor USIM berkata, bahasa Jepun kini ditawarkan sebagai kursus elektif di banyak IPT di Malaysia, namun penggunaannya masih terhad dalam bilik kuliah. Justeru, pertandingan ini menjadi platform penting untuk pelajar mempraktikkan bahasa Jepun secara [...]
USIM perkasa agenda kelestarian: Jalin kerjasama strategik dengan TNB dan GSPARX untuk Projek Solar Kampus
NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian negara dengan memeterai Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn. Bhd sekali gus melakar sejarah baharu dalam usaha peralihan tenaga bersih di institusi pengajian tinggi. Melalui kerjasama ini, USIM bakal melaksanakan pemasangan sistem solar berkapasiti 5.5MWp yang dijangka memberikan penjimatan bil elektrik sehingga RM 350,000 untuk tahun pertama. Langkah strategik ini menyumbang secara langsung kepada pengurangan jejak karbon (carbon footprint) universiti. Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani menyatakan bahawa projek ini bukan sekadar pelaburan kepada infrastruktur kampus, tetapi pelaburan terhadap masa depan lestari negara. Ia juga membuka ruang kepada inovasi, penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang tenaga boleh diperbaharui di USIM. ”Projek ini unik kerana dilaksanakan secara Zero CAPEX Solar Solution, iaitu tanpa sebarang kos awal dari pihak universiti. Sebanyak 80% sistem solar akan dipasang di kawasan terbuka kampus seperti parkir, manakala 20% lagi di atas bumbung bangunan”, ujarnya. Sementara itu, Ketua Pegawai Bahagian Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman, menerangkan bahawa pemasangan panel solar ini berpotensi mengurangkan sebanyak 3,696 tan metrik karbon dioksida setiap tahun. “TNB, melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX, komited sepenuhnya untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek yang dijangka siap dalam tempoh 12 bulan. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada pelan peralihan tenaga TNB bagi menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk mencapai sasaran 70% kapasiti tenaga boleh baharu dan sifar bersih karbon menjelang 2050,” jelasnya. Majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran sebagai [...]
USIM raih Pengiktirafan Khas di AI Hackathon Sektor Awam 2025
PUTRAJAYA - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mencipta pencapaian membanggakan apabila kumpulan “USIM AI (Artificial Intelligence) Syariah” menerima Special Mention Award dalam pertandingan berprestij AI Hackathon for Public Sector 2025, anjuran Microsoft Malaysia bersama Public Sector for Digital Skills baru-baru ini. Menurut Ts. Khadijah Chamili Ketua Bahagian Perkhidmatan Digital, SDEC USIM berkata, anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap projek inovatif mereka yang dinamakan (Islamic Family Legal Advisor) ILA, iaitu sebuah agen AI berasaskan platform Microsoft Azure yang direka khusus untuk memberi panduan dalam isu-isu perundangan kekeluargaan Islam secara pintar, tepat dan efisien. “Menggunakan teknologi termaju seperti Azure OpenAI, Azure AI Search, dan Azure AI Document Intelligence, ILA berfungsi menelusuri dan menstrukturkan maklumat daripada dokumen perundangan Syariah secara automatik. Hasilnya, pengguna dapat menerima nasihat undang-undang yang tepat dan bersesuaian melalui antaramuka chatbot mesra pengguna”, ujarnya lagi. Ts. Khadijah berkata lagi, Special Mention Award ini diberikan kepada pasukan yang mempamerkan kes penggunaan (use case) yang unik serta mempunyai potensi besar untuk dikembangkan, disamping penggunaan teknologi yang inovatif, keselarasan dengan tema pertandingan, dan tahap komitmen sepanjang hackathon berlangsung. Selain USIM, kumpulan “LabourLensAI” daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menerima pengiktirafan khas tersebut. Projek ini merupakan hasil kolaborasi mantap antara Klinik Guaman USIM (KGU) dan System Development and Engineering Center (SDEC) USIM. Pasukan dibarisi oleh Dr. Norsuhaida Che Musa, Ts. Khadijah Chamili, Ts. Ussyairah Ali, Encik Ahmad Faiz Ab Aziz, dan Ts. Dr. Syarifah Bahiyah Rahayu. Sementara itu, Klinik Guaman USIM telah memainkan peranan penting selaku perunding dalam banyak kes-kes perceraian mahupun kes perundangan [...]
USIM Raikan Jubli Perak: 25 Tahun Menjulang Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli
NILAI– Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) hari ini melakar sejarah gemilang apabila meraikan sambutan Jubli Perak sempena ulang tahun ke-25 penubuhannya dalam satu majlis penuh gemilang di Dewan Tuanku Canselor, USIM. Sambutan diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. Turut hadir Pro-Canselor USIM, Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi dan YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tokoh-tokoh akademik, pentadbir, alumni, dan warga USIM. Naib Canselor, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada pembangunan USIM sejak era Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) pada tahun 2000 hingga menjadi universiti tersohor hari ini. “USIM hari ini bukan lagi sekadar universiti yang membangun, tetapi telah menjadi institusi rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa. USIM bukan sahaja menjadi lambang kejayaan transformasi pendidikan Islam moden, tetapi juga telah berkembang menjadi universiti berteraskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang unggul di peringkat serantau dan global”, ujar beliau. Dari Permulaan Sederhana ke Pencapaian Bertaraf Dunia USIM kini mempunyai lebih 1,848 warga kerja terdiri daripada 845 staf akademik dan 1,003 staf pentadbiran. Sebanyak 88% pensyarah USIM memiliki kelulusan PhD, satu pencapaian yang melepasi purata kebangsaan. Universiti ini juga menempatkan lebih 14,000 pelajar termasuk lebih 700 pelajar antarabangsa dari lebih 30 negara. Paling membanggakan, kadar kebolehpasaran graduan USIM mencecah 97.6% pada tahun 2024 antara yang tertinggi di negara ini. [...]
RimbaSoul 2025: USIM dan komuniti perkukuh usaha pemeliharaan lestari Lubuk Yu
MARAN, PAHANG – Seramai 59 pelajar dari Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menjayakan projek komuniti RimbaSoul 2025, satu inisiatif yang menggabungkan pelancongan lestari, pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan sosioekonomi bersama komuniti setempat di Taman Eko Rimba Lubuk Yu, Maran. Projek ini dilaksanakan menerusi pendekatan Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar dan penglibatan aktif dengan komuniti. Pelajar bukan sahaja merancang dan melaksanakan pelbagai aktiviti, malah turut membina hubungan erat dengan penduduk tempatan melalui program yang menumpukan kepada pendidikan alam sekitar dan pemerkasaan komuniti. Kemuncak program berlangsung pada 14 Jun 2025 melalui penglibatan bersama komuniti dan agensi berkepentingan dalam mempromosi Taman Eko Rimba Lubuk Yu sebagai destinasi eko-pelancongan yang berpotensi tinggi. Sepanjang program, pelajar turut melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti pameran teknik asas ekspedisi hutan, cabaran explorace bersama komuniti, video pemasaran pelancongan bagi kawasan Maran, pendokumentasian flora dan fauna melalui pembangunan buku digital eko-pelancongan serta pemasangan kod QR maklumat pelancongan untuk kemudahan pengunjung di Taman Eko Rimba Lubuk Yu. Menurut Amirul, Pengarah Projek, pengalaman bekerja secara langsung dengan komuniti memberikan peluang kepada pelajar untuk menerapkan pengetahuan akademik dalam konteks sebenar, sambil memupuk kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan kerja berpasukan. Program ini turut menerima sokongan pelbagai pihak termasuk wakil kepada Yang Hormat Dato’ Khairun Nissa binti Aris, Pegawai Daerah Maran; Perbadanan Taman Negeri Pahang; Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Pahang; Majlis Daerah Maran; wakil daripada Dun Chenor; Penghulu Mukim Chenor; HUGS Project; dan Embrace Malaysia. Program ini juga mendapat [...]









