Mei 2009
USIM ANUGERAH SIJIL KHAS PEMBANTU ANTIDADAH
Nilai, 30 April 2009 – Seramai 69 peserta telah dianugerahkan Sijil Khas Kursus Asas Pembantu Antidadah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Kursus yang berlangsung selama 10 hari bermula 19 hingga 30 April 2009 merupakan kali yang ketujuh dikendalikan oleh USIM.Sebanyak dua anugerah telah diberikan kepada peserta-peserta yang menjalini kursus dengan cemerlang. Anugerah Kepimpinan Pelajar telah diberikan kepada En. Jefri Din bin Nordin dan Puan Norazah bt Parman. Untuk Anugerah Kawad Lelaki dan Perempuan jatuh kepada kepada En. Mohd. Redzuan bin Mohd. Rosli dan Puan Siti fatimah bt Abdullah. Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM, Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Perkongsian pintar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan akan diteruskan lagi bukan sahaja dalam bidang latihan pra penempatan malah dalam latihan-latihan kecekapan yang lain berkaitan dengan penyalahgunaan dadah. “Masih terlalu banyak ruang dan peluang yang boleh dilakukan seperti latihan khusus dalam bidang pencegahan, rawatan dan pemulihan, kecekapan kaunseling penagihan, pendekatan agama dalam kepulihan dan rakan sebergantungan”, tambah beliau lagi. Menyoroti sejarah kerjasama USIM dengan AADK telah terjalin sejak tahun 2005 semasa pembinaan kurikulum Diploma Siswazah Dalam Penyalahgunaan Dadah (SPADA) yang ditawarkan oleh USIM. Program ini bermatlamat untuk melahirkan kumpulan pakar di kalangan kaunselor/personalia dalam bidang pengurusan, pendidikan, pencegahan, pemulihan dan rawatan dalam alkohol dan dadah di negara ini. Turut hadir En. Thanasegaran A/L Sinathamby, Timbalan Ketua Pengarah Agensi Antidadah kebangsaan. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
April 2009
Kejohanan Golf Persahabatan USIM-KPT
Nilai, 11 April 2009 - Bertempat di Nilai Spring Golf & Country Resort telah berlangsung Kejohanan Golf Persahabatan antara pasukan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kejohanan ini dianjurkan bagi mengeratkan hubungan yang positif antara pihak USIM dan KPT melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kesukanan seperti Golf. Kejohanan yang dianjurkan oleh Pusat Sukan USIM dengan kerjasama Majlis Sukan Kakitangan dan Kelab Golf USIM itu disertai seramai 25 orang pemain dari kedua-dua pasukan. Turut serta dalam kejohanan ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Y.Bhg. Dato’ Dr. Zulkefli A. Hassan. Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM yang meraikan kedua-dua pasukan semasa jamuan tengahari turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan ini. Dalam majlis yang sama Y.Bhg. Dato’ Naib Canselor turut diberikan kejutan oleh urusetia dengan sambutan ulang tahun kelahirannya pada 10 April 2009. Bagi edisi pertama kejohanan ini pasukan KPT telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan membawa pulang sebuah piala pusingan untuk dipertandingkan di edisi akan datang. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
USIM Anjur Dialog Community Policing
Nilai, 10 April 2009 – Pusat Kokurikulum Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan dialog ‘Community Policing’ di antara Balai Polis Nilai dengan warga USIM dan masyarakat setempat. Program dialog ini adalah rentetan dari dialog pertama yang telah diadakan pada hujung tahun 2008 di Balai Polis Nilai. Dialog ini diketuai oleh YDH SAC 1 Dato’ Osman bin Hj. Salleh, Ketua Polis Negeri Sembilan. Turut hadir ACP Saiful Azly bin Hj. Kamaruddin, Ketua Polis Daerah Seremban, Pegawai-pegawai Kanan PDRM Daerah Seremban dari cawangan jenayah, narkotik dan trafik serta Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM. Menurut YDH SAC 1 Dato’ Osman bin Hj. Salleh, Ketua Polis Negeri Sembilan, salah satu konsep Policing Community ini, setiap masyarakat perlu mengenali antara satu sama lain dan mengamalkan sikap bekerjasama dengan penduduk setempat. Hampir 60 tetamu jemputan yang terdiri dari Kolej Antarabangsa Nilai, Kolej Inti, Kolej Kejururawatan Murni dan Persatuan Penduduk Setempat menghadiri majlis dialog tersebut. Program ini bertujuan untuk mendekatkan USIM dengan komuniti melalui dialog di samping memberi peluang berinteraksi secara terus dengan Ketua Polis Daerah Seremban dalam usaha menangani isu jenayah, kadar kemalangan dan lain-lain yang berkaitan dengan masalah masyarakat setempat. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8027
Unit Kualiti anjur Audit Kualiti Dalaman
Nilai, 6 April 2009 – Bersempena dengan misi USIM ke arah Pensijilan MS ISO 9001: 2008, Unit Kualiti Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengadakan Mesyuarat Pembukaan Audit Kualiti Dalaman bertempat di Dewan Senat USIM. Sebanyak lima bahagian akan di audit mengikut skop-skop yang telah ditetapkan iaitu Jabatan Pendaftar; Pengurusan Sumber Manusia meliputi proses perancangan, pengambilan, pembangunan dan persaraan, Jabatan Bendahari; Pengurusan Kewangan yang merangkumi perancangan belanjawan, perolehan(bekalan dan perkhidmatan), pembayaran dan terimaan hasil, Jabatan Perpustakaan; Perkhidmatan Perpustakaan yang merangkumi penyediaan dan penyebaran bahan-bahan maklumat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar; Penyediaan Perkhidmatan dan Kebajikan Pelajar, Unit Pembangunan; Penyediaan Khidmat Perancangan dan Pengurusan Projek Fizikal. Antara program yang ditekankan adalah penghayatan “Seiketsu-Shitsuke”. Konsep Seiketsu ialah menyeragamkan dan memelihara kebersihan dan penyusunan sepanjang masa serta mudah mengamalkan seiri-seiton-seiso manakala konsep Shitsuke ialah berdisiplin dan melatih staf mematuhi peraturan dan bertabiat baik di tempat. pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8028/8026
Hari Kokurikulum USIM Meriah
Nilai, 4 April 2009 – Seperti tahun-tahun yang lepas, Pusat Kokurikulum Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Hari Kokurikulum bertempat di Stadium Tertutup Nilai. Program yang diadakan pada setiap semester ini bertujuan untuk menilai dan menghargai pelajar-pelajar USIM yang mengikuti kursus kokurikulum.Program ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad bin Muda, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USIM mewakili Naib Canselor USIM. Dalam ucapannya beliau menyatakan bahawa setiap pelajar perlu mempunyai ketahanan diri yang tinggi untuk berdepan dengan dunia luar berbekalkan ilmu dan kemahiran insaniah yang mantap. Antara pengisian dalam program tersebut adalah peragaan baju polis dari zaman terawal hingga terkini, simulasi melawan kebakaran, simulasi Bulan Sabit Merah dan persembahan silat. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
USIM Anjur OPKIM Rembau 2009
Nilai, 4 April 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama jawatankuasa Sireh Pulang ke Gagang telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat (OPKIM) Rembau 2009 bertempat di Fakulti kepimpinan dan pengurusan, USIM.Program ini bertujuan untuk memberikan bimbingan motivasi khususnya dalam aspek pembangunan akademik dan sahsiah pelajar di dalam mencapai kejayaan ke peringkat seterusnya. Selain itu juga program in dapat mengeratkan hubungan dua hala di antara USIM dengan masyarakat setempat di DUN Rembau. Seramai 90 orang perserta menyertai program ini yang terdiri daripada para pelajar serta guru-guru Sekolah Kebangsaan Bongek dan Sekolah Kebangsaan Pulau Bosar, Rembau Negeri Sembilan. Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang berhormat Dato’ Dr Awaluddin Said, ADUN Kota, Rembau, Negeri Sembilan. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (HEPA) dan Ahli Jawatankuasa Sireh Pulang ke Gagang serta wakil-wakil kampung yang memeriahkan lagi acara. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
Mac 2009
Bengkel Pembangunan Kampus USIM RMK-10
Port Dickson, 27 Mac 2009 – Unit Pembangunan USIM telah menganjurkan Bengkel Pembangunan Kampus USIM RMK-10 bertempat di Corus Paradise Resort, Port Dickson. Bengkel yang berlangsung selama 3 hari ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg.Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj. Husin, Naib Canselor USIM. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk mengumpul maklumat bagi merangka dan merancang cadangan projek pembangunan kampus USIM dalam Rancangan Malaysia ke-10. Turut hadir En. Zulkifli Alias, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
PPS Anjur ‘Third Research Presentation 2009’
Nilai, 25 Mac 2009 – Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, Pusat Pengajian Siswazah (PPS) sekali lagi menganjurkan ‘Graduate Student Seminar’ buat kali ketiga. Program yang merupakan acara tahunan ini telah dirasmikan oleh Y.Bhg. Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa USIM. Hampir 80 orang peserta telah menyertai seminar ini. Sebanyak 12 hasil penyelidikan telah dibentangkan. Pembentangan kertas kerja dinilai oleh juri profesional yang terdiri dari profesor dan pensyarah USIM dari fakulti mengikut kepakaran masing-masing. Pembentangan terbaik penyelidikan pelajar turut diadakan. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu Doktor Falsafah (Bahasa Arab), Doktor Falsafah (Bahasa Inggeris) dan Sarjana (Bahasa Inggeris). Bagi Kategori Doktor Falsafah Bahasa telah dimenangi oleh En. Ahmad Hikmat Shaker, pelajar program Doktor Falsafah Da’wah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Untuk kategori Doktor Falsafah (Bahasa Inggeris) telah dimenangi oleh En. Jaspal Singh, pelajar program Doktor Falsafah Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat. Puan Norhidayah binti Ibrahim, pelajar program Sarjana Ekonomi dan Pentadbiran Muamalat, Fakulti Ekonomi dan Muamalat telah memenangi kategori sarjana (Bahasa Inggeris) Seminar ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar siswazah membentangkan kertas kerja yang berkaitan dengan penyelidikan mereka dan seterusnya mendapatkan pandangan penyelia dan peserta lain mengenai penyelidikan mereka. Turut hadir Prof. Dr. Bachok M. Taib, Dekan Pusat Pengajian Siswazah. Oleh : pro@usim.edu.my 06-7988025/8026
Fauziah Hassan Terima Anugerah Pingat Emas Wanita UMNO
Kuala Lumpur, 25 Mac 2009 – Saudari Fauziah Hassan, siswazah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dipilih sebagai penerima Anugerah pingat Emas Pergerakan Wanita UMNO Malaysia 2008. Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra ini adalah bersempena dengan Perhimpunan Agung ke-59 Pergerakan Wanita UMNO. Seramai 16 penerima anugerah tersebut yang merupakan siswazah lepasan 16 institusi pengajian tinggi awam dipilih oleh panel pemilihan Wanita UMNO. Anugerah ini diwujudkan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan. Di samping sebagai galakan kepada golongan wanita supaya berusaha lebih gigih bagi meningkatkan pencapaian dan daya saing dalam era globalisasi. Setiap penerima anugerah menerima rantai berserta loket emas Wanita UMNO, wang tunai RM1000 dan sijil penghargaan. Sebagai salah seorang penerima anugerah itu, Fauziah Hassan, 25 merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penerbitan) dengan gred purata mata kumulatif (CGPA) 3.87. Beliau kini yang bertugas sebagai tutor di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang kewartawanan sehingga ke peringkat tertinggi. Beliau bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti seperti pembentangan kertas kerja sempena Seminar Media Islam 2007, panel jemputan di Dialog Akademik Islam Hadhari anjuran UKM dan Persidangan Media Massa 2006 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Oleh : pro@usim.edu.my Tel : 06-7988025/8026/8028
Lawatan Kerja Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik, Jordan ke USIM
Nilai, 23 Mac 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menerima lawatan dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan. Objektif lawatan ini adalah untuk membuat penilaian ke atas Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Malaysia yang telah mengemukakan dokumen permohonan pengiktirafan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Jordan sebelum ini. Lawatan ini diketuai oleh Y.Bhg. Dr. Turkey Ubaidat, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Jordan dan Cik Suha Abdul Rahman, Ketua Ahli Lembaga Akreditasi Pusat, Jordan. USIM telah membentangkan maklumat institusi seperti program dan kursus yang ditawarkan serta halatuju dan matlamat USIM. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan minum petang. Oleh : pro@usim.edu.my 06-7988025/8026