NILAI, 30 November 2021 – Kenangan manis buat Muhammad Danial Akmal Hamdan, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam Dengan Kepujian, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), yang merupakan mantan Yang Dipertua (YdP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2019/2020 kerana dapat bergraduasi secara fizikal di Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, barisan MPP yang diterajui oleh beliau ketika itu dilihat sebagai salah satu ‘barisan hadapan’ universiti kerana penglibatan beliau bersama barisan ahlinya yang telah bertungkus lumus menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar dari segi pengurusan makanan, dan penghantaran pulang para pelajar ke kampung halaman masing-masing.

Selain itu, apa yang menarik adalah Muhammad Danial juga merupakan Ahli Senat Pertama dari kalangan pelajar yang dilantik dan diberi tanggungjawab untuk turut serta dalam mendengar dan membahaskan isu-isu berkaitan pelajar di Mesyuarat Senat yang dibarisi oleh barisan Ahli Senat Pengurusan Universiti.

Anak sulung dari enam beradik ini, melahirkan rasa syukur dan gembira kerana segala cabaran dan kenangan manis ketika di bawah kepimpinan beliau menjadikan beliau seorang yang berdikari dalam membuat keputusan, seorang yang yakin dan berani mencuba serta suka dengan cabaran dan pengalaman baharu dalam kehidupannya.

” Sekarang saya sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Sains Politik, Jabatan Pengajian Kenegaraan & Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM)”

“Saya ingin menyahut keputusan kerajaan berkenaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan bagi menggantikan sistem sedia ada yang memerlukan rakyat malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi”.

Menurut beliau lagi yang berpendapat golongan belia (anak muda) harus diberi peluang untuk mendapat tempat dan bergiat aktif dalam sistem pentadbiran negara dengan membawa corak pentadbiran yang lebih telus dan berintegriti.

“Apa yang saya pelajari di USIM, saya mahu sebarkan dan laksanakan di lapangan. Saya ingin membawa aspirasi pembangunan modal insan dalam kalangan anak-anak muda, mengaplikasikan pengintegrasian ilmu Naqli dan Aqli USIM kepada golongan belia yang merupakan ‘aset’ dan pelapis negara agar permasalahan akhlak dan jenayah kalangan mereka dapat dibendung”.

Pada majlis konvokesyen ini, Danial turut dianugerahkan Anugerah Khas Kepimpinan Alumni yang disampaikan oleh Naib Canselor Prof Dato Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan