Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sentiasa bersama kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 yang kini memasuki gelombang ketiga. Bermula dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan pada 18 Mac 2020, pelbagai tindakan proaktif telah diunjurkan oleh Pengurusan Universiti dan khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang telah memikul peranan dan tangungjawab besar dalam memastikan perihal kebajikan pelajar sentiasa berada dalam keadaan yang baik dalam pelbagai aspeknya.

Sejajar dengan keperluan semasa, USIM sentiasa menyusun perancangan yang rapi bagi memastikan kebajikan pelajar dan keselamatan warga USIM terjamin. Sehingga kini walaupun negara masih dalam pandemik Covid-19, Pengurusan Universiti sentiasa berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan menyediakan inisiatif yang bersesuaian dalam menghadapi cabaran suasana norma baharu. Mari ikuti temu bual bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai perkara ini.

Q1 Bermula dari awal penularan dan melihat kepada keadaan semasa kini, bagaimana Prof. melihat perancangan dan pengurusan hal ehwal pelajar di USIM?

Inilah buat pertama kalinya kita menghadapi cabaran pengurusan pelajar dalam suasana pandemik. Ianya suatu pengalaman dan cabaran baharu. Begitulah juga dengan perancangan dan pengurusan para pelajar yang ada di kampus mahupun yang berada di kampung halaman masing-masing. Para pelajar adalah pemegang taruh kita yang paling utama. Daripada awal lagi pihak BHEP telah membuat penyelarasan dalam pelaksanaan program pembangunan pelajar. Kita juga telah menentukan prioriti khususnya dalam memastikan para pelajar berada dalam keadaan yang selamat. Ini termasuklah menjaga kebajikan fizikal dan mental pelajar serta memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Tidak lupa juga kita memastikan para pelajar mematuhi semua SOP yang dikenakan oleh pihak berwajib.

Pihak BHEP telah menentukan bentuk bantuan dan aktiviti yang disediakan kepada para pelajar yang berada di kolej-kolej kediaman dan yang tinggal di rumah-rumah sewa sekitar kampus. Selain itu pihak BHEP telah menubuhkan ‘task force’ khas bagi melihat, memantau, mengumpul dan mengemaskini data bagi keperluan semasa dan pelaporan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) secara berkala. Perancangan dan tindakan yang dilaksanakan melibatkan BHEP sebagai tunjang utama dan melibatkan kerjasama padu daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), felo dan jaksa kolej-kolej kediaman, Pusat Kesihatan Universiti (PKU), Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL) dan bilik Gerakan Covid-19 yang diselaraskan oleh PKU. Ini adalah barisan hadapan yang sentiasa bersiap siaga dalam memastikan kebajikan pelajar sebagai keutamaan Universiti.

Q2 Apakah inisiatif atau pendekatan yang diambil Universiti dalam pengurusan hal ehwal pelajar dalam mendepani cabaran norma baharu kini?

Secara umumnya Universiti sentiasa selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPT. Dalam konteks pelajar, kita harus memahami rutin kehidupan yang sudah berubah. Majoriti pelajar tidak lagi berada di kampus bagi mengikuti pembelajaran di bilik kuliah dan tidak bersama kawan-kawan dalam melaksanakan program berpersatuan dan kokurikulum. Justeru, pihak Universiti mengambil tindakan proaktif dalam mendepani cabaran ini. Dengan menggunakan teknologi ICT dan platform dalam talian, banyak program telah dilaksanakan. Kehadiran peserta dalam banyak program lebih bersifat dalam talian sahaja. Misalnya program USIM Berselawat anjuran Pusat Kebudayaan USIM bersempena dengan sambutan Maulidurasul diadakan secara maya dan berjaya dilaksanakan.

Selain itu, BHEP telah mengadakan taaruf pelajar baharu secara dalam talian bagi kemasukan pelajar Tamhidi pada 3 hingga 8 Ogos 2020 dan pelajar Sarjana Muda pada 12 hingga 16 Oktober 2020 bagi Sesi Akademik 2020/2021. Mekanisme ini dilihat wajar dan memberi peluang kepada mereka untuk merasai suasana kampus dan mendaftar sebagai pelajar Universiti juga merupakan satu penghormatan kepada mereka dalam menunaikan hasrat ibu bapa tercinta.

Selain itu, program-program yang dijalankan dalam semester ini lebih kepada membantu pelajar dalam aspek penyediaan diri untuk belajar di universiti seperti program “Jom Rancang”. Program ini membantu pelajar untuk lebih bersedia secara mental dan fizikal untuk melalui kehidupan sebagai mahasiswa/mahasiswi serta berfokus kepada perkara-perkara yang perlu dirancang dan dicapai sepanjang dalam pengajian. Program Transformasi Diri seperti Study Hard vs Study Smart dan Empowering Yourself membentuk jati diri pelajar dan mengandungi tips-tips yang boleh dijadikan panduan untuk cemerlang dalam pengajian.

Perkongsian bersama Alumni yang telah berjaya dan pegawai-pegawai psikologi diharapkan dapat membantu pelajar lebih memandang kehadapan dan membina matlamat berkaitan bagaimana mereka akan mengharungi kehidupan sebagai pelajar baik semasa berada di kampus atau pun di rumah. Model Graduan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli (GIINA) untuk pelajar USIM menjadi satu panduan yang lebih jitu dalam membentuk diri pelajar sebagai bakal profesional Muslim yang berjaya.

Terkini pada 26 November 2020 sesi pilihanraya kampus yang dijalankan secara eUNDI dalam talian bagi tujuan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar diadakan bagi memberi peluang pelajar yang berada di rumah menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemimpin pelajar. Satu petanda baik kepada kita apabila  peratusan mengundi mencecah 89.79% pada tahun ini amat baik dan ianya berlangsung dalam keadaan yang cukup harmoni. Alhmdulillah ini memperlihatkan kepekaan kita terhadap norma baharu, dan bukanlah satu halangan untuk kita beradaptasi dengan metod yang lebih kreatif.

Q3 Kebajikan pelajar adalah keutamaan universiti dan tanggungjawab tersebut lebih besar kini kerana perlu melihat kepada pelajar yang berada di kampus dan di rumah masing-masing. Bagaimana BHEP menguruskan perkara ini?

BHEP komited dalam memastikan kebajikan pelajar dijaga sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara. BHEP telah menyediakan perkhidmatan secara dalam talian (melalui emel) bagi tujuan permohonan sumbangan kebajikan, permohonan pinjaman kecemasan dan permohonan tuntutan insurans dan takaful. Pelajar tidak perlu hadir secara fizikal ke kampus namun perkhidmatan tersebut tetap dijalankan walaupun kekangan yang dihadapi tidak membataskan perkhidmatan kebajikan terhadap pelajar disalurkan. Antara beberapa contoh bentuk bantuan yang disalurkan adalah :

Sumbangan Makanan kepada Pelajar Terkandas (PRUPEL)
Seperti yang dikatakan tadi kebajikan dan kesejahteraan pelajar adalah keutamaan Universiti. Kita sentiasa peka dengan keperluan mereka. Dalam mengharungi getir pandemik ini kita sentiasa berhubung dengan MPP dan JAKSA untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai keadaan mereka. Bagi pelajar yang terkandas atau yang berada di kampus, PRUPEL telah membuat agihan makanan kering mengikut fasa di lima buah kolej kediaman di Kampus Nilai dan Pandan Indah. Pengagihan sumbangan ini diberi kepada pelajar tempatan dan antarabangsa yang dibuat secara terus ke kolej kediaman meliputi pelajar yang menginap di luar kampus yang dipusatkan di bilik Gerakan OCSS. Selain itu, penghantaran makanan juga dibuat oleh staf PRUPEL dengan bantuan MPP, JAKSA dan USIM ‘Alamiyyah ke lokasi tertentu bagi pelajar luar kampus yang tidak dapat hadir ke pusat agihan makanan.

Alhamdulillah, USIM amat bertuah kerana kita dikelilingi oleh masyarakat dan penduduk yang prihatin akan isu yang sedang melanda negara. Sejumlah RM21,691.40 sumbangan telah diterima daripada beberapa pihak termasuk Bank Muamalat, KPDNHEP, MyFund Action, Food Bank Siswa USIM, Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan sumbangan individu. USIM amat berterima kasih dan menghargai sumbangan yang diberikan.

OPS Hantar Pulang Pelajar
Pihak USIM telah terlibat secara langsung dalam proses menguruskan pelajar-pelajar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut sambutan Hari Raya Aildilfitri. Operasi penghantaran pulang pelajar yang berlangsung dalam bulan Ramadan ini bermula dari 27/4/2020 dan berakhir pada 12/5/2020. Sejumah 19 operasi penghantaran pulang pelajar-pelajar USIM dan juga pelajar daripada universiti awam dan swasta sekitar Negeri Sembilan dilaksanakan di dua lokasi berasingan pergerakan ‘departure center’ di USIM iaitu di Kampus Nilai dan Kampus USIM Kuala Lumpur. (Kampus Pandan). Operasi ini secara keseluruhannya melibatkan seramai 1,282 orang pelajar yang menuju ke destinasi-destinasi di sekitar Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Tabung COVID-19 USIM (PWZ)
USIM telah menubuhkan tabung COVID-19 USIM di bawah pengendalian Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ) dan melalui sumbangan tersebut kita menyalurkan bantuan kepada pelajar terkandas yang sedang menjalani latihan industri di pelbagai tempat yang antaranya yang berada di sekitar Lembah Klang dan di Sabah. Tabung ini juga digunakan untuk membantu menguruskan pembiayaan tiket penerbangan pulang pelajar-pelajar USIM di Turki dan Jepun. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban dan tekanan pelajar kita di sana.

Sumbangan Zakat Suruhanjaya Syarikat Malaysia melalui Maybank kepada 200 pelajar B40 Food Bank Siswa USIM (RM500/pelajar)
Pihak KPDNHEP melalui Food Bank Siswa Universiti telah menyalurkan bantuan zakat daripada pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia kepada 200 orang pelajar USIM daripada golongan pelajar B40 bagi tujuan membantu pelajar meneruskan kelangsungan hidup semasa tempoh pandemik Covid-19 berjumlah RM100,000.00.

Intervensi Kaunseling
Buat masa ini perkhidmatan kaunseling dijalankan sama ada secara dalam talian atau bersemuka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan. Perkhidmatan tele-kaunseling turut dijalankan di mana kaunselor akan menghubungi pelajar secara dalam talian. Ini dibantu dengan meneroka permasalahan dan jika perlu pelajar akan diminta untuk mengisi ujian psikologi yang juga telah pun disediakan secara dalam talian.

Kes-kes yang banyak dihadapi lebih tertumpu kepada aspek penyesuaian diri untuk belajar dalam talian, pengurusan tekanan semasa berada di rumah, pengurusan masa, isu kewangan dan lain-lain. Bermula 18 Mac sehingga 7 Disember 2020 (sepanjang tempoh PKP dilaksanakan), Unit Psikologi dan Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pelajar menerima sebanyak 92 kes merangkumi kes yang telah dinyatakan.

Q4 Mungkin boleh Prof. komen sedikit tentang penangguhan Majlis Konvokesyen ke-18 USIM yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan?

Seperti yang telah dimaklumkan secara rasmi melalui saluran penyampaian maklumat Universiti di media sosial rasmi USIM, Majlis Konvokesyen ke-18 USIM dijangka akan berlangsung pada 6 hingga 8 April 2021 namun tertakluk kepada keadaan semasa dengan pematuhan SOP.

Sebagaimana yang telah dibincangkan di peringkat Pengurusan, terdapat beberapa pelan kaedah pelaksanaan telah dibincangkan dan yang telah dipersetujui. Walaubagaimanapun, pengumuman rasmi mengenai hal ini akan dibuat oleh pihak universiti supaya lebih terperinci dan jelas, kerana kita amat memahami akan situasi pelajar kita yang telah tamat pengajian dan bakal bergelar graduan.

Q5 Apakah harapan dan saranan Prof. kepada pelajar USIM dalam aspek menjalani pembelajaran dan aktiviti semasa COVID-19 ini?

Pesan saya supaya pelajar USIM sentiasa peka dalam menjaga diri demi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. Pastikan pematuhan kepada SOP sentiasa diamalkan di setiap masa dan tempat.

Jangan jadikan kekangan norma baharu sebagai satu halangan untuk kita terus dilihat atau ‘to be seen’. Mahu tidak mahu, kita perlu kreatif dalam mencipta suasana agar kewujudan kita sentiasa dirasai dan dikehendaki oleh warga USIM.

Pelajar perlu berusaha untuk terlibat dalam aktiviti berpersatuan walaupun berhadapan dengan cabaran semasa. Pelajar juga perlu lebih kreatif dalam menggunakan teknologi digital dan juga pelbagai platform yang ada dalam talian.

Akhir kata sama-sama kita berdoa agar pandemik ini berlalu pergi dan saya menyeru semua warga USIM terus bermunajat dan berdoa agar Allah SWT memberi perlindungan kepada kita semua dan penularan Covid-19 dapat diatasi dengan segera.