Dr. Hendun Abd. Rahman Shah, merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Syariah dan undang-undang dan kini juga adalah Visiting Fellow di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia selama 6 bulan bermula dari 1 November 2022. Pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi (TDPI) selama dua tahun dari 1 Januari 2019 sehingga 31 Disember 2020. Beliau sebelum itu pernah memegang jawatan sebagai Penyelaras bagi program Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) dari 2015 sehingga 2018. Beliau kini adalah Ketua Projek Pensijilan Profesional Sulh-Mediasi iaitu sebuah projek kerjasama di antara USIM dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang dibangunkan dengan tujuan memperkasa Mahkamah Syariah dan institusi kekeluargaan Islam di Malaysia melalui penyelesaian pertikaian alternatif (ADR).

Q1 Pakar Dalam Bidang Undang-Undang Antarabangsa, Keamanan Dan Penyelesaian Konflik Dari School Of Law University Of Birmingham United Kingdom

Beliau dilahirkan di Hospital Besar Melaka dan merupakan anak ketujuh dari sebelas adik beradik. Menamatkan zaman bujang selepas tamat pangajian sarjana dengan dikurniakan 5 orang cahaya mata.

Dr. Hendun Abd. Rahman Shah mendapat Pendidikan awal di sekolah kebangsaan Alai Melaka dan Sekolah Menengah Agama Maahad Al Ehya El Karim Tanjung Bidara. Beliau merupakan salah seorang pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia 1996 Yayasan Melaka. Beliau menyambung pelajaran di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan kemudiannya Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti yang sama.  Sejurus tamat Pengajian, beliau di tawarkan bekerja sebagai Eksekutif di K-Profesional Development Academy (KPDA) di Sri Hartamas sambil menyambung Pengajian Sarjana Perbandingan Undang-Undang (MCL) di UIA. Selepas tamat Pengajian Sarjana, beliau menjalankan latihan dalam kamar (chambering) di sebuah firma guaman terkemuka Azmi & Associates di Bukit Bintang Kuala Lumpur dan diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara di Mahkamah Tinggi Malaya. Walaupun mendapat tawaran sebagai peguam di Azmi & Associates beliau memilih untuk menyertai dunia akademia di USIM yang ketika itu dikenali sebagai KUIM pada penghujung tahun 2004 di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Memulakan kerjaya sebagai tutor, beliau telah melanjutkan pengajian doktor falsafah dalam bidang undang-undang antarabangsa di School of Law University of Birmingham, United Kingdom dengan pemfokusan dalam isu keamanan dan keselamatan maritim serta penyelesaian konflik. Walaupun gembira dan bersyukur dapat menamatkan pengajian Doktor Falsafah pada tahun 2013, tahun tersebut juga menjadi tahun kesedihan buat beliau kerana kehilangan kedua-dua ayah dan ibu pada tahun yang sama.

Q2 Giat Aktif Menyumbang Dalam Geran Penyelidikan

Dalam tempoh berkhidmat di USIM sebagai pensyarah, beliau terlibat sama ada sebagai ketua atau ahli penyelidik, dalam lebih 20 geran penyelidikan dan perundingan yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM1.4 juta yang diterima daripada Kementerian Pengajian Tinggi melalui geran-geran FRGS, MyRace, RAGS, juga geran daripada agensi kerajaan  dan industri seperti Kementerian Dalam Negeri, National Centre For Governance, Integrity And Anti-Corruption (GIACC), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU), Global Movement of Moderates Foundation (GMMF), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dan geran antarabangsa  daripada Prince Mohammad bin Fahd Center for Futuristic Studies (PMFCS), dan projek perundingan iFirst dan Values dari Kedutaan Amerika Syarikat.

Minat yang mendalam dalam kajian perbandingan undang-undang sejak dari zaman belajar di UIA terutamanya perbandingan di antara undang-undang sivil dan Syariah di Malaysia, beliau telah menghasil beberapa penulisan artikel, penerbitan dan penyelidikan yang selari dengan falsafah USIM dalam pengintegrasian ilmu naqli dan aqli (iNaQ). Terbaharu adalah penerbitan buku Integrasi Naqli dan Aqli dalam Disiplin Syariah dan Undang-Undang yang telah disunting oleh beliau yang diterbitkan pada tahun 2022. Dengan pengalaman 10 tahun mengajar kursus undang-undang keluarga Islam dan lebih 5 tahun mengajar kursus Kemahiran Rundingcara dan Sulh, serta 3 sijil profesional yang diperoleh dalam bidang mediasi termasuk dari the Accord Group Australia dan Malaysian Mediation Centre, beliau terus mengembangkan minatnya dalam bidang penyelesaian konflik terutamanya isu terkait kekeluargaan dan masyarakat menggunakan teknik mediasi dan sulh.

Pada tahun 2021 beliau telah dilantik sebagai ketua unit mediasi Klinik Guaman USIM (KGU). Apabila mendapati khidmat mediasi mula mendapat permintaan masyarakat setempat beliau telah cuba membangunkan model mediasi KGU bagi memastikan proses mediasi yang bersistematik dan berstruktur dapat dibangun dan dilaksanakan. Beliau telah berjaya mendapat geran USIM berjumlah RM12,000 untuk tujuan penyelidikan dan penghasilan model tersebut. Beliau dan pasukan juga telah berjaya mendapatkan sokongan dana fakulti dan mendaftarkannya sebagai geran penyelidikan untuk membangunkan modul latihan mediasi KGU berjumlah RM20,000.

Dalam masa yang sama beliau berjaya memperoleh Geran KPT-Pace berjumlah RM297,000 yang bertujuan menyediakan latihan/kemahiran profesional bagi membantu menambah kemahiran dan kebolehpasaran graduan. Kejayaan menerajui pembangunan modul pensijilan profesional sulh-mediasi iaitu sebuah projek kerjasama USIM dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang telah dirasmikan di Persidangan Pegawai-Pegawai Syariah Seluruh Malaysia tahun 2022 yang dihadiri lebih 400 orang pegawai yang terdiri antaranya dari hakim-hakim syar’ie dan Pegawai Sulh seluruh Malaysia menunjukkan pengiktirafan yang diberikan kepada modul ini.

Program latihan Sulh-Mediasi adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang dibangunkan dengan gabungan kepakaran, kemahiran dan pengalaman akademia dan institusi keadilan Syariah. Ia adalah perintis kepada pembangunan kompetensi dalam Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) terutamanya dalam konflik kekeluargaan Islam di Malaysia.

Q3 Ketua Projek Sulh-Mediasi

Pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang ini melalui penyelidikan, pengajaran, penulisan dan penglibatan khidmat masyarakat melalui unit mediasi KGU adalah salah satu sebab beliau dilantik sebagai ahli pemikir Sulh Kebangsaan sejak 2020. Baru-baru ini, beliau telah dilantik sebagai felo pelawat di JKSM selama 6 bulan dalam program sangkutan yang antara tujuannya membantu memperkasa pelaksanaan sulh-mediasi di mahkamah Syariah dan juga membantu seramai 30 orang pegawai-pegawai sulh seluruh Malaysia menulis dan menerbitkan artikel berkaitan pengalaman dan cabaran mereka mengendalikan majlis sulh. Program ini dinamakan Tinta Sulh.

Selain itu, sebagai felo pelawat di JKSM beliau terlibat dalam menyediakan program latihan kemahiran berdasarkan modul pensijilan profesional sulh-mediasi (USIM-JKSM) kepada Kor Agama Tentera (KAGAT) yang dijangka dilaksanakan pada bulan julai 2023. Ini adalah penting dalam membantu pelaksanaan sulh-mediasi yang berkesan dalam komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Selain KAGAT, program ini juga telah mendapat perhatian agensi-agensi kerajaan dan industri seperti Institusi Kehakiman Syariah negeri-negeri di Malaysia, Peguam-Peguam Syar’ie, Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Nikah dan Cerai Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Kedutaan Turki yang menjalankan kajian mengenai pelaksaan sulh-mediasi, serta institusi kehakiman Syariah Brunei dan Indonesia.

Majlis Penyampaian Sijil Profesional Sulh-Mediasi dan Pelancaran Skuad Sulh bagi kohot awal dengan 99 orang penerima sijil telah dilaksanakan dengan jayanya pada januari 2023 dan telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ia telah mendapat liputan media tanahair.

Q4 Fokus Masa Hadapan

Bagi Dr Hendun, sulh-mediasi adalah masa hadapan negara dalam penyelesaian konflik diluar mahkamah sebagai alternatif litigasi. Program ini berpotensi untuk dikembangkan sebagai satu Pensijilan Profesional diperingkat yang lebih tinggi kerana keunikannya yang menekankan aspek penyelesaian pertikaian berdasarkan pendekatan integrasi naqli dan aqli.

Ia juga selari dengan hala tuju kerajaan dalam membina masyarakat madani yang sejahtera dan ihsan dalam membina masa hadapan. Menyahut seruan Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, mantan Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syar’ie JKSM ketika itu (kini YB Menteri Agama) ketika beliau mula melapor diri sebagai felo pelawat di JKSM, yang mahukan satu anjakan paradigma dalam pelaksanaan ADR di Mahkamah Syariah, Dr. Hendun dengan kerjasama seksyen Sulh BPKR sedang cuba membangunkan kertas polisi yang bertujuan untuk mengoptimumkan pelaksanaan ADR di Mahkamah Syariah bagi memastikan Institusi perundangan dan kehakiman syariah di Malaysia mempunyai landskap penyelesaian pertikaian alternatif  yang lebih efisien dan bersistematik yang bukan sahaja dapat menawarkan pensijilan dan perkhidmatan profesional, tetapi juga mampu memantau etika dan isu berkaitan dengannya.

“Semoga usaha kita, walaupun sedikit, mendapat rahmat dan keberkatan dariNya serta dapat memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat terutamanya umat Islam di Malaysia.”