Tidak keterlaluan untuk menggelarkannya sebagai jaguh boling padang. Abdul Muiz Jaafar, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan) adalah merupakan anak jati Pulau Pinang. Abdul Muiz mengimbau kembali kenangan manis dalam lipatan sejarah hidupnya apabila pernah bersama-sama dengan pasukan kebangsaan merangkul emas buat Malaysia dalam Kejohanan Boling Padang Terbuka Antarabangsa Bangkok pada tahun 2018. Beliau yang kini sedang menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, minatnya dalam sukan tersebut telah menjadikannya seorang mahasiswa yang lebih fokus memandangkan sukan boling padang ini menuntut dirinya untuk sentiasa dalam keadaan tenang dan kekal berdaya tumpuan yang tinggi. Ikuti bual bicara yang disediakan.

Q1 Bagaimana permulaan saudara dalam dalam sukan boling padang ini?

Saya mula mengenal sukan Lawn Bowls dari penglibatan dalam kelab kokurikulum peringkat universiti pada tahun 2014 di bawah bimbingan jurulatih, En. Kassim bin Idris.

Pada tahun 2015 saya mula terlibat dalam pertandingan universiti yang dianjurkan oleh Pusat Sukan USIM seperti Sukan Fakulti dan Open Pairs USIM 2015. Seterusnya pada tahun 2016, saya dipilih mewakili USIM dalam Kejohanan Sukan MASUM di bawah bimbingan jurulatih En. Kassim. Rezeki tidak putus apabila pada tahun yang sama, saya telah dipilih mewakili USIM untuk menjadi atlet IPT Malaysia di bawah bimbingan jurulatih, En. Mazilan bin Rambli.

Saya suka belajar sesuatu yang baru dan suka melibatkan diri saya dalam sebarang cabaran. Pada peringkat permulaan, sukan ini merupakan sukan yang baru bagi saya dan merupakan satu cabaran yang baru. Minat saya untuk terus bermain dalam Lawn Bowls mula terbentuk ketika bakat saya terus digilap oleh jurulatih. Saya didorong oleh jurulatih untuk menyertai pertandingan luar universiti seperti Kejohanan Mixed Pairs MoHE Mahsuri Cup Lawn Bowls 2016 di Langkawi.

Q2 Apakah kelebihan sukan boling padang yang membuatkan saudara cenderung ke arah sukan ini?

Pada saya, sukan boling padang ini ada keistimewaannya tersendiri. Ia memerlukan strategi dan teknik permainan yang baik, sekali gus mencabar diri saya untuk sentiasa memberikan aksi cemerlang mengasah minda untuk berfikir secara logik untuk cipta kemenangan pada setiap pertandingan yang saya sertai.

Saya pernah hadapi kesukaran dan cabaran dalam sukan ini. Namun, saya anggap itu sebagai pembakar semangat untuk lebih konsisten mengekalkan rentak permainan. Sukan ini memerlukan teknik bermain yang sentiasa konsisten yang mana perlu mengekalkan ketenangan dalam cara bermain di setiap pertandingan dan kejohanan yang disertai. Pernah juga saya mengalami situasi perlu melupakan sementara penyertaan dalam beberapa kejohanan kerana memikirkan perlu fokus menduduki peperiksaan semester. Ia tidak menjadi penghalang kerana saya sedar, perlu memilih keutamaan supaya pengajian saya tidak terganggu.

Q3 Kongsikan pengalaman menyertai sukan di pelbagai peringkat.

Sepanjang menceburi sukan ini, saya dapat mengenal rakan baharu dan merasai kenangan pahit manis bersama pasukan yang sentiasa sama-sama menyokong ketika kalah ataupun menang, bahkan tanpa semangat sepasukan, tidak mungkin saya mampu mencapai tahap ini.

Selain itu, saya bertuah kerana keluarga terutamanya ayah, Jaafar Mokhtar dan ibu, Maznatul Helmiyah Megat Halim sentiasa memberi sokongan padu kepada saya untuk meneruskan minat dalam sukan ini. Saya ingin menjadi kebanggaan umi dan abah serta menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk mencipta kejayaan dalam bidang yang diminati.

Walaupun pada masa itu saya kerap mengikuti pertandingan sukan, fokus terhadap pelajaran tetap menjadi keutamaan dan saya cuba sebaiknya mengurus masa secara sistematik. Pada kebiasaannya, latihan peringkat pusat dilakukan pada waktu setiap cuti pertengahan dan akhir semester. Pada waktu itu, saya akan tunggu beberapa hari di kampus universiti untuk menjalani latihan sebelum pulang bercuti di rumah. Namun, sekiranya latihan dilakukan pada waktu pembelajaran, saya akan rujuk semula dengan rakan sekelas dan pensyarah tentang pelajaran atau tugasan yang perlu disempurnakan.

Q4 Pesanan kepada mahasiswa USIM yang berminat bersukan

Bagi mahasiswa yang berminat menyertai sukan boling padang ini atau sukan lain, teruskan belajar dan sentiasa berlatih kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha dan tindakan. Apa yang penting adalah sebagai mahasiswa, kita perlu bijak mengimbangi tanggungjawab kita sebagai pelajar serta mengatur jadual pembelajaran sebaiknya.

Justeru, bakat yang dianugerahkan itu perlu digilap kerana ia merupakan satu amanah kita untuk memberi manfaat dan mencipta pencapaian cemerlang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi nama universiti dan Malaysia.