Di kala negara dilanda wabak Covid-19, pelbagai pihak tampil sukarela menghulurkan bantuan berganding bahu mengurus pelbagai keperluan masyarakat dan ahli terdekat. Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2019/2020 merupakan antara sukarelawan barisan hadapan yang tidak terkecuali memainkan peranan dan memberi sokongan kepada rakan pelajar lain. Menjadi entiti terpenting di dalam kampus, MPP juga tempat bergantung buat kepada mahasiswa/i untuk terus semangat menghadapi waktu-waktu mencabar sepanjang tempoh PKP.

Motto ‘Bersama Memacu Aspirasi’ dilihat bukan omong kosong malahan pasukan MPP ini telah membuktikan empat dasar yang digariskan boleh dipegang oleh mahasiswa/i. ‘Kebajikan Holistik, Pembangunan Intelektual, Profesional Mahasiswa dan Kesatuan Pelajar menjadi asas pegangan kepada MPP kali ini. Ikuti temu bual bersama Yang Dipertua, Saudara Muhammad Danial Akmal Hamdan yang berkongsi pengalaman membantu Pengurusan Universiti sepanjang menguruskan PKP pelajar di kampus.

Q1 Kongsikan serba sedikit pengenalan ahli MPP 2019/2020.

Keluarga MPP USIM sesi akademik 2019/2020 dianggotai oleh 24 orang ahli. 21 orang ahli merupakan pelajar dari kampus utama, Nilai. Manakala 3 orang lagi merupakan ahli MPP yang menuntu di Kampus Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Dari sudut posisi pula, 9 orang daripadanya merupakan Majlis Tertinggi iaitu Yang DiPertua, Timbalan Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua 1, Naib Yang DiPertua 2, Naib Yang DiPertua 3, Setiausaha Agung, Timbalan Setiauasaha Agung Bendahari Kehormat dan Timbalan Bendahari Kehormat.

Manakala 15 ahli yang lain merupakan barisan Exco yang terdiri daripada Exco Kebajikan & Keselamatan Siswa, Exco Pembangunan Sahsiah & Kerohanian, Exco Akademik & Pembangunan Intelektual, Exco Sukan & Rekreasi, Exco Komunikasi & Multimedia, Exco Ekonomi & Keusahawanan dan Exco Kemanusiaan & Kesukarelawanan.

Q2 Apakah hasrat yang ingin dibawa dalam motto ‘Bersama Memacu Aspirasi’?

Bersama Memacu Aspirasi merupakan motto kepimpinan kali ini. Ia bermaksud tanggungjawab MPP bersama mahasiswa yang lain untuk merealisasikan hasrat dan cita yang ingin dicapai bersama. Sekiranya kebajikan merupakan aspirasi mahasiswa, maka bersama kita kearah mendapatkan kebajikan yang dicitakan. Jika pembangunan intelektual merupakan aspirasi mahasiswa, maka tanggungjawab MPP untuk bersama mahasiswa dalam membangunkan intelektual. Jika kesatuan mahasiswa yang ingin diwujudkan, maka tanggungjawab bersama untuk mewujudkannya.

Segala hasrat yang dicitakan perlu digemblengkan bersama-sama dengan mahasiswa agar wujud satu kerjasama yang erat antara MPP dan juga mahasiswa USIM.

Q3 Kongsikan bagaimana MPP memainkan peranan bersama Pengurusan Universiti sepanjang PKP.

Sepanjang PKP di waktu COVID-19 ini, keluarga MPP melaksanakan pelbagai tugas terutama yang melibatkan kebajikan mahasiswa.
Keluarga MPP USIM bertanggungjawab untuk menggerakkan operasi agihan makanan kepada para pelajar yang berada di kolej kediaman bermula 19 Mac 2020. MPP akan bertugas 3 kali sehari mengedarkan makanan untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Manakala pemberian barangan keperluan asas kepada pelajar luar kampus yang duduk di rumah sewa akan dilaksanakan secara berkala dengan kerjasama Pusat Perumahan Pelajar (PRUPEL).

Operasi ini diteruskan lagi sehingga bulan Ramadan, namun berlaku sedikit perubahan jadual kerana pada bulan Ramadan ini hanya 2 kali sahaja MPP akan bertugas mengagihkan makanan iaitu pada petang sebelum waktu berbuka puasa dan juga mengagihkan makanan untuk sahur. Hatta ketika sudah ada sebahagian pelajar yang sudah pulang ke kampung halaman melalui Ops Penghantaran Pulang Pelajar USIM, MPP masih lagi bertugas untuk memastikan pelajar yang masih berada di kawasan kampus yang menanti giliran untuk pulang ke kampung supaya kebajikan mereka terjaga. Operasi ini berjalan sehingga 12 Mei 2020 ketika kesemua pelajar yang terkandas di kampus sudah di hantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

MPP USIM juga bertangungjawab menjadi orang tengah antara NGO-NGO yang ingin datang beri sumbangan kepada para pelajar yang terkandas di kampus melalui PRUPEL. MPP USIM juga bertanggungjawab dalam menguruskan 1279 orang pelajar untuk pulang ke kampung halaman menerusi Ops Penghantaran Pulang Pelajar USIM. Bermula dengan penghantaran pulang pelajar ke zon selatan sehinggalah ke Sabah dan Sarawak merupakan tanggungjawab kami.

Bermula daripada proses awal iaitu proses yang melibatkan teknikal seperti saringan data para pelajar yang ingin pulang, pengesahan identiti dan data pelajar, penyediaan ruangan Ops Penghantaran Pulang Pelajar USIM di Dewan Tuanku Canselor (DTC) sehinggalah saat kaki para pelajar masuk dalam bas adalah tanggungjawab MPP.

Alhamdulillah kami berjaya laksanakan walau terdapat perlbagai cabaran sepanjang mengendalikan ops ini. Secara kesimpulan, kesemua ahli MPP samaada yang berada di Kampus Nilai mahupun Pandan Indah menerima segala urusan tugasan dengan hati yang sangat terbuka dan penuh dengan semangat untuk membantu para pelajar bagi memastikan kebajikan mereka terus terjaga.

Q4 Apakah cabaran semasa MPP mengurus tugasan sewaktu PKP di kampus?

Sepanjang tempoh PKP ini MPP USIM hanya membantu pentadbiran dalam menggerakkan kerja-kerja yang melibatkan kebajikan mahasiswa dengan sehabis baik. Kami hanya melaksanakan dan membereskan tugasan yang diberikan hanya mengikut kadar kemampuan kami.

Andaikata kami hanya sekadar mampu untuk membantu dalam urusan proses data pelajar yang ingin dibawa pulang sehingga terpaksa ‘stay up’ di bilik MPP sehingga jam 4 5 pagi hanya tinggal beberapa minit sahaja waktu sahur yang tinggal untuk kami pulang bersahur, maka itu sahajalah yang mampu kami lakukan. Andaikata kemampuan kami hanya sekadar untuk menguruskan perjalanan pulang para pelajar ini ke kampung halaman masing-masing, maka itu sahajalah yang kami mampu lakukan.

Soal adakah kepimpinan MPP USIM tahun ini sudah melakukan yang terbaik terutama sepanjang tempoh PKP ini, biarlah mahasiswa sendiri yang mengukur dan menilai. Bercakap tentang cabaran dan halangan sememangnya tidak akan lari daripada mana-mana kepimpinan pelajar terutama MPP. Antara cabaran yang kami hadapi adalah situasi yang baharu ini terutama dalam pengurusan krisis bencana. Ianya kerana situasi yang baharu dan kami tiada pengalaman untuk mengendalikan kebajikan pelajar dalam keadaan ‘new norms’ ini. Jadinya penilaian serta penambahbaikan sentiasa kita lakukan terutama ketika operasi agihan bantuan makanan. Begitu juga dengan cadangan penambahbaikan yang diutarakan oleh mahasiswa kepada kami, kami ambil perhatian terhadap cadangan tersebut dan cuba untuk melaksanakan dari semasa ke semasa untuk memastikan kaedah terbaik yang akan diimplementasi untuk membantu para pelajar yang terkandas di kampus ketika PKP ini.

Cabaran lain yang kami hadapi juga ialah ketika membantu Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dalam Ops Penghantaran Pulang Pelajar USIM. Memandangkan ops ini berjalan ketika bulan ramadan, sekiranya malam itu tiada pelepasan bas untuk menghantar para pelajar pulang di Kampus Nilai, menjadi kebiasaan kami sekeluarga MPP selepas solat terawih kami akan memproses data para pelajar yang akan di hantar pulang. Ini termasuklah dengan kami terpaksa menghubungi nama-nama pelajar yang ada dalam data tersebut sehingga jam 4 pagi untuk mengesahkan data mereka. Rutin ini berjalan selama 2 minggu buat kami.

Ketika dalam tempoh Ops Penghantaran Pulang Pelajar ini juga, satu tugasan secara mengejut telah diberikan kepada kami pada pagi 3/5/2020. kami MPP di Kampus Nilai terpaksa menghantar 6 orang yang diketuai oleh saya sendiri dan diikuti oleh 5 orang adik beradik MPP yang lain iaitu Syahmi, Falah, Jannah, Syafiqah dan Alif untuk membantu Kampus Pandan Indah bagi urusan penghantaran pulang pelajar ke zon timur. Kami dapat tugasan tersebut jam 10:00 pagi dan bertolak ke Kampus Pandan Indah jam 12:00 tengahari dan urusan penghantaran pulang pelajar ke zon timur di Kampus Pandan Indah itu selesai pada jam 5 pagi 4/5/2020 dan kami pulang ke Kampus Nilai jam 7:30 pagi. Ketika itu sangat mencabar ketahanan emosi dan fizikal kami apabila terpaksa bertugas selama 20 jam tanpa henti. Satu cabaran dan sebenarnya pengalaman juga buat kami yang tidak akan kami lupakan.

Melayan karenah dan permintaan mahasiswa juga merupakan cabaran yang tidak lari untuk kami terima, namun segalanya dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan harmoni.

Q5 Bagaimana MPP mengendalikan cabaran tersebut?

Keluarga MPP USIM ini besar maknanya bagi saya, setiap cabaran yang kami hadapi akan kami selesaikan bersama sebagai satu keluarga. Dalam mendepani segala cabaran ini, kami hanya mendapatkan kekuatan dari sang pemilik kekuatan yang hakiki iaitu Allah SWT. Pelbagai aktiviti kami lakukan bersama sepanjang PKP ini baik pada bulan biasa mahupun bulan ramadan.Ibadah terawih bersama, mengisi waktu lapang kami dengan bertadarrus al-Quran, mendengar tazkirah ramadan bersama secara maya, bacaan al-mulk setiap malam sebelum pulang ke rumah dan pelbagai lagi aktiviti yang membina kekuatan ruhiyyah kami.

Dalam memastikan kami tetap tersenyum dan bergembira serta bersemangat walaupun disajikan dengan kepenatan, kami sekeluarga turut bermain permainan melalui modul yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan MPP. Adakalanya ketika waktu lapang siang hari kami belajar buat origami, belajar mengikat tali leher, bermain kad Uno, kuiz dan sebagainya.

Ia sudah menjadi satu keluarga buat kami. Kerana itu saya suka menggunakan perkataan ‘Keluarga MPP’ yang merujuk kepada organisasi ini dan terma ‘adik beradik MPP’ yang merujuk kepada ahli-ahli MPP yang kami sudah anggap seperti adik beradik. Dengan cara inilah kami dapat menghilangkan keletihan dan kepenatan sekaligus mengembalikan semangat kami untuk terus bertugas walaupun ujian dan cabaran datang menerpa tanpa diundang.

Q6 Berikan kata-kata atau pesanan kepada mahasiswa/i di USIM.

Untuk mahasiswa USIM khususnya, mungkin kami yang menerajui MPP USIM sesi 2019/2020 ini bukanlah seperti mana yang kalian inginkan. Mungkin juga kepimpinan MPP kali ini bukanlah kepimpinan yang dapat memberikan kepuasan yang hakiki kepada kalian. Tiada juga langit dan bintang yang kami boleh janjikan kepada kalian untuk mempersonai hati-hati kalian terhadap kami.

Namun, dengan berkat doa, kata-kata semangat dan komen membina kami yang dihulurkan oleh kalian, kami barisan MPP USIM 2019/2020 sentiasa beriltizam akan sentiasa memberikan khidmat yang terbaik kepada kalian semampu yang kami boleh lakukan demi kebajikan yang dicitakan bersama.

Andaikata kami terpaksa kehilangan waktu lapang kami, kehilangan waktu untuk bersama keluarga tercinta di desa, perlu mengenepikan keinginan kami, perlu memenuhi segala keperluan kalian melebihi keperluan kami, air mata menjadi peneman kami ketika malam hari dek kerana lelahnya melaksanakan amanah ini dan menjadi orang yang terakhir berada di kampus untuk memastikan semua selamat pulang ke kampung masing-masing, andaikata ini merupakan harga yang perlu kami bayar untuk tidak mendatangkan secebis kekecewaan kalian terhadap undi kalian kepada kami, maka ini yang akan keluarga MPP kami laksanakan demi memacu aspirasi yang diinginkan bersama. Dan kami telah pun buktikan.