Profesor Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay merupakan ahli akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang pemprosesan dan pemulihan imej di bawah sub bidang kecerdasan buatan.  Anak kelahiran Bandar Bersejarah Melaka ini merupakan Ahli Kumpulan Penyelidikan CyberSecurity & Systems di USIM dan kini merupakan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) di Fakulti Sains dan Teknologi.

Q1 Perjalanan Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (P) Methodist 2 dan seterusnya menyambung pelajaran di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, di Melaka. Selepas lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, beliau telah ke Kolej Matrikulasi Taj, di Perak sebelum sambung pengajian Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Malaysia Terengganu.

Meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di Centre for Advance Software Engineering, UTM KL dengan dermasiswa Yayasan Temenggong. Beliau merupakan seorang yang sangat mencintai ilmu dan tidak jemu-jemu untuk menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya. Pada tahun 2007 beliau telah berkhidmat sebagai tutor di USIM untuk tempoh selama 2 tahun dan pada tahun 2009 beliau telah menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) Sains Komputer di University of Birmingham, United Kingdom dengan biasiswa Skim Latihan Akademik Bumiputra (SLAB), Kementerian Pengajian Tinggi.

Selepas menamatkan ijazah kedoktoran (lulus tanpa pembetulan), beliau mula berkhidmat di USIM sebagai pensyarah kanan pada 2013 dan selepas enam tahun berkhidmat, beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Profesor Madya pada tahun 2019. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, beliau telah melahirkan beberapa lulusan Doktor Falsafah dan Sarjana sama ada peringkat antarabangsa mahupun tempatan dalam bidang pemprosesan imej dan juga bidang keselamatan maklumat, selain aktif dalam menyelia pelajar dalam pembangunan sistem serta aplikasi mudah alih.

Q2 Aktif dalam Penyelidikan dan Inovasi

Profesor Madya Dr. Sakinah Ali Pitchay juga merupakan seorang ahli akademik yang inovatif dan proaktif dalam aktiviti penyelidikan. Beliau merupakan Ketua Penyelidik untuk tiga geran bernilai RM90,500 yang mana dua daripada geran tersebut merupakan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Beliau juga menerima Geran Kebolehpasaran Graduan KPT-Pace dengan kerjasama industri (CyberSecurity Malaysia dan Peopelogy Sdn Bhd) bagi tahun 2021 dan 2022 berjumlah RM240,000.00.

Beliau telah mempunyai 4 harta intelek berdaftar di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu Cyberpoly: Cybersecurity Edugame, Jawi Captcha (JaCAPT) Based Security System for Login Authentication, Q-Checked dan EZCERT 2.0.

Pelbagai program telah dilaksanakan dan pelbagai pengiktirafan telah diterima sepanjang Sembilan tahun berkhidmat di USIM.

Antara anugerah penyelidikan yang mendapat tempat di mata juri peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa adalah bagi produk inovasi Cyberpoly: Cybersecurity Edugame. Inovasi ini telah mendapat Anugerah Emas di Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2022, juga Anugerah Emas & Tempat Pertama di “Thesis In 5 Minutes Series 1/2022”, MNNF Network. Selain itu, inovasi ini turut memenangi Pingat Emas di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2022 dan beberapa lagi pertandingan lain anjuran Universiti Awam termasuk Johan di peringkat antarabangsa di 3rd Widyatama International Innovation and Academy Competition oleh Universiti Widyatama bersama anak didiknya Anis Syahira Suhaimi yang juga merupakan penerima Anugerah Pelajaran DiRaja sempena Majlis Konvokesyen ke-20 USIM.

Cyberpoly ialah gamifikasi mudah alih tentang kempen kesedaran keselamatan yang direka bentuk untuk meningkatkan kesedaran mengenai serangan siber kepada masyarakat dalam permainan papan digital pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Tiga isu yang ditangani Cyberpoly ialah (i) perubahan tingkah laku dalam talian dan (ii) kekurangan pengetahuan pencegahan serangan siber berdasarkan statistik Cybersecurity Malaysia di mana 21.22% peningkatan kes jenayah siber berlaku dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Ketiga, perlu menggunakan pendekatan terbaik untuk meningkatkan kesedaran mengenai serangan siber supaya mengekalkan motivasi dan momentum pembelajaran.

Keunikan produk ini ialah ia menggalakkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang mana pengguna boleh mempelajari beberapa istilah Arab yang berkaitan dengan kehidupan Muslim seperti Tawakkal (hibah, infaq, waqaf, qard, sadaqah), Ta’alim, Iktikaf dan muhasabah.

Cyberpoly menawarkan ciri penunjuk kata laluan yang rumit, empat peringkat kuiz interaktif yang dilaksanakan dengan kata kunci Bloom’s Taxonomy untuk proses pembelajaran yang lebih berkesan.

Pengguna akan diberi ganjaran markah dengan memperoleh wang mereka sendiri melalui kuiz kesedaran keselamatan siber yang akan digunakan kemudian sebagai gaji awal mereka untuk memulakan permainan ini. Permainan akan tamat apabila mana-mana baki wang pemain mencapai sifar.

Berdasarkan penilaian ujian fungsian dan pengesahan keselamatan, keputusan menunjukkan bahawa Cyberpoly telah berjaya mencapai objektifnya. Ujian penerimaan telah dijalankan kepada pengguna akhir di mana 96.8% bersetuju bahawa Cyberpoly adalah praktikal, lancar dan mudah digunakan. Kebanyakan responden sangat bersetuju bahawa Cyberpoly meningkatkan kesedaran serangan siber dalam kalangan pelajar melalui pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif. Oleh itu, ia adalah selaras dengan permintaan industri bagi masyarakat celik keselamatan siber.

Q3 Santuni Masyarakat Menjadi Sebati Dalam Jiwa

 Beliau sangat dekat dengan pelajar-pelajarnya untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti. Pada tahun 2017 beliau bersama para pelajar Fakulti Sains dan Teknologi telah melaksanakan Global Islamic Student Outreach (GISO) di Kemboja bagi program khidmat kesihatan ‘Ops Kutu’, kesihatan gigi untuk kanak-kanak selain ‘Bijak ICT Click!’ dan ‘Women Day’ yang menyasarkan remaja dan dewasa.

Pada tahun 2018 pula, beliau telah menjalankan Blooming Humanity di Krabi & Hatyai, Thailand bagi program  jual beli dalam bahasa Melayu dengan menggunakan kaedah jual beli dalam Islam serta Cakna Wakaf kepada komuniti di sana.

Selain itu, beliau turut melibatkan diri dengan  Misi7 NGO di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Down Syndrome dan Hyper Active di Klang, Selangor pada tahun 2018. Beliau juga turut menjadi sukarelawan sebagai tutor pembelajaran dalam talian Sentuhan Ilmu: Bridging the Online Learning Divide (BOLD) anjuran Yayasan Petronas selama 15 minggu.

Memegang kata-kata cendekiawan Muslim, “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.” Justeru itu, pandemik tidak menjadikan halangan buat beliau terus menyumbang tenaga kepada masyarakat sebagai sukarelawan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin IPT Mega USIM pada 2021.

Pada tahun 2022 pula, beliau bersama pelajar Fakulti Sains dan Teknologi telah menjalankan Jelajah Sukarelawan USIM 2022 di Kampung Lubuk Cina, Rembau, Negeri Sembilan bagi menyantuni penduduk kampung dengan membersihkan ruang beberapa unit kedai, mengecat semula dan melukis mural di dinding kedai. Di penghujung 2022, beliau menyahut seruan USIM Volunteerism Challenge di Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Semarak

Terus bergiat aktif dalam sukarelawan pada awal tahun 2023, beliau bersama Sekretariat Pelajar Fakulti Sains & Teknologi telah menjalankan program Fast Volunteer Wira Bumi bertujuan membersihkan kawasan riadah komuniti di Tasik Ujana, Nilai Impian.

Kesibukan beliau dalam pengajaran dan juga penyelidikan tidak mematahkan semangat untuk terus memberikan khidmat komuniti kepada masyarakat. Harapan beliau agar lebih ramai pelajar berjaya secara holistik merangkumi akademik dan kokurikulum bagi pembangunan jati diri termasuk pengurusan emosi dan keupayaan memimpin organisasi supaya menjadi nilai tambah dalam menghadapi cabaran graduan mencari peluang pekerjaan.