Dr Khairul Anuar Mohamad Al-Bakri
Dr Khairul Anuar Mohamad Al-BakriPengarah Pusat Islam, USIM

Di bulan Ramadhan ramai mencari masjid yang bacaan imamnya sedap dan boleh bertarannum. Sambutan kepada imam yang bersuara sedap ini amat menggalakan dan sebahagian masjid menempah imam berstatus Qari bagi mengimamkan solat tarawih dan solat witir. Bacaan al-Quran dengan suara yang paling sedap adalah digalakkan, menurut satu hadith Abu Hurairah: Allah swt amat mendengar bacaan Nabinya yang jelas dan mengelokkan bacaanya (al-Bukhari).

Nabi Saw memuji para sahabat yang membaca al-Quran dengan suara yang sedap. Pernah satu ketika Rasulullah saw lalu perkampungan asyariyyin di satu malam. Baginda saw melalui khemah yang didiami sahabatnya Abu Musa al-Asyari ra yang ketika itu sedang membaca al-Quran. Keesokan harinya Baginda saw berkata kepada Abu Musa al-Asyari ra sesungguhnya kamu dikurniakan satu seruling dari seruling Nabi Allah Daud as. (al-Bukhari)

Sudah menjadi fitrah manusia sukakan perkara yang sedap dan cantik. Namun begitu untuk dapatkan Qari yang punya suara yang baik dan tajwid yang tepat amat sedikit. Persoalanya ialah apakah imam yang betul bacaanya mengikut hokum tajwid tetapi tidak mempunyai suara yang status tarannum kurang afdal solat dibelakangnya?

Rasulullah saw mempunyai bacaan al-Quran yang merdu dan terbaik. Pernah dalam satu solat isyak, Baginda saw membaca surah al-Tin. Al-Barra Ibn Azib ra yang menjadi makmumnya berkata tidak pernah aku mendengar suara yang lebih elok dan lebih baik dari suara Rasulullah SAW.

Dalam surah al-Muzzamil, ayat 4: Bacalah al-Quran secara tartil. Ali Ibn Abi Talib ra menafsirkan tartil ini dengan perelokkan sebutan huruf dan mengenali waqaf.
Dalam surah al-Baqarah, ayat 121 firman Allah bermaksud: orang-orang yang kami berikan Kitab kepada mereka sedang mereka membacanya dengan sebenar-sebenar bacaan tidak mengubah dan memutarkan maksudnya) mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Umar Ibn al-Khattab ra berkata maksud membacanya dengan sebenar-sebenar bacaan ialah jika baca ayat berkaitan syurga ia memohon Allah kurniakan syurga, jika baca ayat berkaitan neraka ia berlindung dari Allah. Ibn Masúd ra pula berkata: menghalalkan apa yang halal, mengharam apa yang haram, membacanya sebagaimana diturunkan Allah, tidak merubah kalimahnya dan tidak menakwilkan selain takwilanya.

Berdasar kepada nas tersebut dua perkara penting perlu ada dari sudut bacaan iaitu baca al-Quran dengan sebutan hurufnya yang elok dan terbaik serta baca Quran sebagaimana ia diturunkan dengan maksud tepat dan betul hukum tajwidnya. Jika pembacanya mampu membaca al-Quran dengan pakej suara yang mengikut maqam tarannum sudah tentu ia satu kelebihan.

Namun bagi mereka yang suaranya tidak lah begitu menarik atau bacaanya tidak mengikut maqam tarannum tetapi sebutan hurufnya tepat, sifat hurufnya sahih, semua hokum tajwid dijaganya dan waqaf ibtida mengikut apa yang telah ditetapkan maka bacaanya diterima dan tetap sahih.

Al-Quran adalah kalam Allah dan kedudukanya begitu tinggi. Menulis al-Quran ada peraturan, membacanya ada hukum dan peraturan, adab bersama al-Quran samada memegang atau melupuskan al-Quran ada peraturanya, semua perkara berkaitan al-Quran kedudukanya adalah amat tinggi. Justeru dapat membacanya dengan maqam tarannum adalah satu bonus tetapi yang membacanya dengan hukum tajwid yang tepat dan betul tidak mengurangkan sedikit kemuliaan al-Quran. Pembacanya tetap mendapat kebaikan dan ganjaran dari Allah SWT.