Media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan lain-lain sedang memainkan peranan penting dalam era revolusi industri keempat sekarang ini. Aplikasi tersebut bukan sahaja menjadi medium untuk manusia bersosial dan berhibur, tetapi sudah menjadi pasaraya maya dan ruang untuk menjana keuntungan daripada hasil jualan atau video kreatif yang diusahakan. Oleh itu, banyaklah video dan gambar yang dimuat naik untuk disebarkan di dalam media sosial bagi tujuan di atas.
Semua video dan gambar yang terpapar di media sosial melalui telefon pintar yang berada pada tangan kita semua akan dilihat oleh anggota mata bagi mereka yang mampu melihat. Lebih parah lagi, video atau gambar yang akan terpapar itu tidak boleh dijangka oleh kita. Kemungkinan untuk kita melihat perkara yang haram seperti aurat atau perkara yang makruh seperti video yang melalaikan amatlah besar. Justeru, sebagai seorang Muslim yang mempunyai keimanan terhadap dosa dan pahala serta keyakinan bahawa Tuhan itu Maha Melihat, maka menjadi suatu kewajipan bagi kita untuk menginsafi dan mengetahui batas larangan bagi setiap apa yang dilihat ketika berinteraksi dengan media sosial.
Pengetahuan tentang pandangan halal dan haram di media sosial adalah sangat penting kerana perkara ini termasuk dalam bahagian utama bagi agama Islam seperti yang ditegaskan oleh Imam al-Ghazālī di dalam kitabnya Bidāyatul Hidāyah bahawa agama ini terdiri daripada dua bahagian iaitu meninggalkan maksiat dan melakukan ketaatan. Bahkan beliau mengatakan bahawa usaha meninggalkan maksiat itu adalah bahagian yang paling sukar berbanding melaksanakan ketaatan kerana ia melibatkan pergelutan diri dengan hawa nafsu yang sentiasa cenderung kepada perkara yang membangkitkan syahwat. Imam al-Zarnuji menerusi kitabnya Ta‘līm al-Muta‘allim menyebutkan bahawa adalah suatu kewajipan bagi setiap individu untuk mengetahui apakah ruang yang boleh menjatuhkannya ke dalam perkara haram. Oleh itu, setiap orang Islam wajib mengetahui dan sentiasa mengawasi perkara yang diharamkan untuk dilihat serta menginsafi akibat buruk daripada perbuatan tersebut.
Mata merupakan anggota zahir yang paling penting untuk dijaga daripada perkara yang diharamkan kerana ia akan memberi kesan besar kepada akal dan jiwa seseorang. Disebabkan itulah, Syeikh Abdul Qādir al-Mandīlī mendahulukan perbincangan mengenai anggota mata di dalam kitabnya Penawar Bagi Hati kerana pandangan mata seseorang memainkan peranan penting dalam penyucian hati atau kerosakannya bahkan ia adalah punca bagi berlakunya penzinaan anggota badan yang lain. Imam Abdullah al-Ḥaddād mengatakan di dalam karyanya Risālah Adāb Sulūk al-Murīd bahawa mata dan telinga adalah dua pintu kepada hati seseorang. Jika mata dan telinganya menanggap sesuatu yang buruk, maka perkara tersebut akan memberi kesan kepada hati sehingga menyebabkan kesukaran untuk dibuang.
Selain daripada melihat aurat orang lain, Islam juga melarang kita melihat manusia dengan pandangan yang menghinakan seperti memandang rendah dan hina terhadap orang lain sama ada kerana dengki atau takabur. Disebutkan di dalam kitab al-Anwār al-Saniyyah, Syeikh Abdul Hamid Quddus menegaskan bahawa perbuatan ini adalah termasuk daripada dosa-dosa besar berdasarkan firman Allah SWT pada Surah al-Hujurat, ayat 11. Beliau menjelaskan bahawa tidak sepatutnya bagi seorang Muslim memandang dengan pandangan yang hina kepada manusia lain bahkan binatang atau sebarang makhluk kerana boleh jadi mereka yang dipandang hina itu lebih mulia di sisi Tuhan berbanding diri kita.
Dalam konteks sekarang, seseorang Muslim perlu menyedari tanggungjawab besar yang perlu dipikul oleh dirinya dalam menjaga pandangan mata daripada melihat perkara yang haram dan sia-sia. Hal ini demikian kerana penjagaan pandangan mata adalah salah satu daripada tanda bahawa seseorang itu benar-benar mempunyai rasa takut dan malu kepada Allah SWT. Melalui kitab Jam’ul Fawāid, Syeikh Ahmad al-Faṭāni mengatakan bahawa tanda seseorang itu takut kepada Allah SWT adalah dengan menjaga mata daripada perkara yang haram dan tidak memandang dunia dengan pandangan syahwat tetapi melihatnya dengan pandangan iktibar sahaja. Penjagaan pandangan mata sangat berkait rapat dengan tanggungjawab seseorang hamba terhadap Allah SWT kerana ia adalah organ yang akan menjadi saksi pada hari akhirat sama ada tuannya menggunakan mata tersebut untuk perkara kebaikan atau melihat kemaksiatan. Bahkan, melalui mata jugalah seseorang hamba dapat melihat kebesaran dan keesaan Allah SWT yang tersirat pada alam ini. Oleh itu, jagalah pandangan mata dalam segala keadaan agar kita berjaya menjadi hamba yang benar-benar menghargai nikmat mata yang dikurniakan.