Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowFakulti Syariah dan Undang-Undang

Setiap orang harus mengambil langkah berjaga – jaga bagi mengelakkan diri mereka dijangkiti dengan sebarang jenis penyakit berjangkit. Umum telah pun ketahui mengenai penularan penyakit berjangkit novel koronavirus (2019-nCoV) yang hangat dilaporkan pada masa kini. Penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan seseorang yang dijangkiti itu mengalami masalah penafasan yang serius ini mula tersebar di negara China dan kini telah menular ke banyak negara dunia termasuklah negara Korea Selatan, Jepun, Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis serta Malaysia. Beratus–ratus orang dilaporkan telah dijangkiti dengan virus berbahaya ini serta berpuluh–puluh orang dilaporkan maut akibat daripada jangkitan virus berbahaya berkenaan.

Bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada jangkitan virus terbabit, pelbagai langkah perlu diambil bagi mengurangkan risiko diri daripada dijangkiti dengan virus berkenaan. Diantara langkah yang telah disarankan oleh pakar–pakar perubatan ialah dengan menjaga aspek kebersihan diri dengan lebih kerap seperti membasuh tangan, melakukan proses pemeriksaan doktor, serta tidak pergi ke tempat–tempat yang telah terjejas teruk dengan penularan penyakit berjangkit. Selain daripada mengambil langkah menjaga kebersihan diri, kita juga boleh mengunakan topeng muka bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit yang sedang berlaku pada ketika ini. Pengunaan topeng muka merupakan satu langkah yang paling mudah untuk dilakukan oleh semua pihak termasuk oleh golongan kanak – kanak. Pengunaan topeng muka dilihat menjadi satu keperluan penting bagi melindungi diri sendiri daripada terdedah dengan sebarang jenis jangkitan ataupun bagi melindungi orang lain daripada jangkitan yang mungkin datang dari diri kita sendiri.

Walaupun ada yang meragui keberkesanan topeng muka dalam menghalang penyebaran sebarang jenis virus, sekurang–kurangnya kita telah mengambil langkah yang kita mampu laksanakan dalam mengekang penyebarannya. Selebihnya, kita hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Setiap daripada kita tidak perlu mengambil sikap malas untuk membeli dan mengunakan topeng muka ataupun berasa malu untuk memakainya ketika berada dikhalayak umum kerana setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab yang besar untuk melindungi diri kita sendiri serta orang sekeliling daripada terdedah dengan risiko jangkitan penyakit berjangkit. Setiap daripada kita perlu memainkan peranan dengan apa–apa cara sekalipun bagi memastikan penularan penyakit berjangkit yang sedang berlaku pada masa kini dapat dikawal serta dikurangkan dan ini dapat dilakukan diantaranya melalui pemakaian topeng muka.

Adalah penting juga untuk setiap orang mengunakan topeng muka dengan betul supaya ianya benar–benar berkesan untuk melindungi diri serta orang sekeliling daripada jangkitan penyakit berjangkit. Antara langkah–langkah yang perlu diambil semasa hendak memakai topeng muka ialah dengan memastikan terlebih dahulu bahagian luar dan dalam topeng muka berkenaan. Elakkan daripada menyentuh bahagian dalam topeng penutup muka. Bahagian luar ptopeng muka biasanya berwarna dan bahagian yang lembut biasanya di atas untuk menutup bahagian hidung. Pegang topeng muka dengan kemas dan tekan perlahan di bahagian hidung untuk memastikan ia berada dalam kedudukan selesa. Pastikan topeng muka dipasang kemas dengan tangan dan bernafaslah seperti biasa. Adalah disarankan topeng muka ditukar terutama apabila ianya telah lama digunakan ataupun setelah yakin ianya telah tercemar.

Akibat daripada penularan penyakit berjangkit koronavirus yang berlaku pada ketika ini, sudah pasti orang ramai akan mula berasa panik sekaligus akan berpusu – pusu membeli topeng muka di kedai–kedai. Pembelian secara panik ini dibimbangi akan menyebabkan sesetengah peniaga mengambil peluang atau kesempatan untuk menjual topeng muka dengan harga yang tinggi atau dengan harga yang tidak munasabah demi mendapatkan keuntungan dengan banyak dan dengan segera. Oleh yang demikian, adalah penting supaya semua pihak memastikan tiada peniaga yang mengambil peluang diatas peningkatan permintaan terhadap topeng muka oleh orang ramai pada masa kini. Pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu mengambil tindakan tegas melalui peruntukkan undang–undang sedia ada dalam negara kita terhadap mana–mana peniaga yang menaikkan harga tidak munasabah terhadap topeng muka yang dijual oleh mereka seperti yang telah termaktub di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Pihak pengguna perlu berani mengunakan hak serta kuasa mereka sebagai seorang pengguna bagi memastikan diri mereka tidak menjadi mangsa kepada mana – mana peniaga yang tidak bertanggunjawab yang ingin mengambil kesempatan diatas penularan penyakit berjangkit koronavirus yang berlaku pada ketika ini. Sebarang aduan berhubung dengan masalah peningkatan harga yang melampau atau aktiviti pengambilan untung secara tidak munasabah yang dilakukan oleh pihak peniaga boleh disalurkan terus kepada Bahagian Penguatkuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).