Prof. Madya Dr. Fuadah Johari
Prof. Madya Dr. Fuadah JohariPensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Perintah kawalan pergerakan telah dikeluarkan oleh kerajaan melalui satu pengumuman penting Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula 18 Februari 2020 berkuat kuasa seluruh negara. Pelbagai reaksi diterima oleh masyarakat, ada yang balik kampung ada yang berbelanja untuk stok dapur beramai-ramai sehingga menimbulkan insiden berbelanja panik. Masing-masing keliru bagaimana harus bertindak balas dengan pengumuman kawalan pergerakan tersebut. Tidak kurang juga yang masih berdegil berada tempat awam tanpa tujuan khas dan masih mengekalkan aktiviti harian seperti biasa.

Sehinggakan pengumuman kali kedua dilakukan oleh Perdana Menteri dengan bahasa yang mudah untuk duduk dirumah bertujuan untuk memutuskan rantaian COVID-19. Ternyata kerjasama dan kefahaman masyarakat awam diperlukan segera untuk menjayakan misi mengurangkan risiko merebaknya COVID-19 dengan lebih meluas.

Perkhidmatan pasukan barisan hadapan Kementerian Kesihatan dalam menangani pesakit dan prosedur rawatan wabak COVID-19 ini harus dipuji. Mereka tanpa jemu melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab dan cekap. Tidak terkecuali pasukan keselamatan dan perkhidmatan kerajaan termasuk 25 jenis sektor yang dikecualikan dari Perintah Kawalan Pergerakan untuk memenuhi keperluan masyarakat umum.

Persoalannya adakah perintah kawalan pergerakan ini adalah secara tiba-tiba oleh pihak kerajaan tanpa memikirkan kesediaan orang ramai?. Ini kerana masih ada yang ingkar arahan malah ada yang mengeluh sukar melaksanakan tugasan harian serta ianya seolah-olah arahan secara tiba-tiba yang mendesak. Ini termasuk juga keluhan peniaga-peniaga kecil dan aktiviti perniagaan yang akan terjejas teruk akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari ini.
Terkini, Polis Diraja Malaysia juga telah mengeluarkan kawalan perintah pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Ini bermaksud arahan ini bukanlah suatu yang harus diremehkan.

Sebenarnya, apabila pihak kerajaan telah mengumumkan langkah pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit ini, rakyat harus mematuhi dan memberikan kerjasama tanpa berbelah bagi. Ini kerana, kerajaan sebenarnya telah memulakan pelan perancangan yang lebih tersusun sebelum memulakan arahan tersebut.

Pakej Rangsangan Ekonomi dengan tema “Memperkukuh keyakinan, merangsang pertumbuhan, melindungi pekerjaan” telah diumumkan oleh Tun Dr Mahathir pada 27 Februari 2020 lalu telah menggariskan 3 strategi dengan 32 langkah . Tiga strategi tersebut adalah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti. Ini bermaksud kawalan pergerakan COVID-19 ini adalah sangat perlu untuk dilaksanakan.

Selari dengan Arahan Pergerakan ini, terdapat sokongan daripada pihak swasta antaranya, penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan. Bank Rakyat, SME Bank dan TEKUN Nasional telah mengumumkan penangguhan pembayaran pinjaman selama 6 bulan pada 16 Mac yang lepas. Bank Islam juga telah menawarkan moratorium kepada pelanggan yang terjejas dengan COVID-19. Disusuli dengan bank-bank lain juga. Saya percaya kesemua bank akan juga melaksanakan sokongan ini selaras dengan pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memastikan semua institusi kewangan menyediakan bantuan sewajarnya kepada syarikat yang benar-benar terjejas. Ini juga termasuk Pengecualian duti setem 100% akan diberikan atas perjanjian penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman perniagaan antara peminjam dan institusi kewangan tertakluk kepada syarat perjanjian pinjaman asal yang telah dimeterai. Pengecualian ini diberikan bermula 1 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020. BNM akan menyediakan dana Kemudahan Bantuan Khas berjumlah RM2 bilion dengan kadar pembiayaan 3.75% setahun untuk membantu aliran tunai Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas. Disokong juga dengan penawaran skim kredit Mikro BSN berjumlah RM 200 juta pada kadar 4% untuk syarikat dalam sektor pelancongan dan sektor yang terjejas.

Kerajaan juga telah mengambil langkah untuk meringankan bebanan perniagaan dengan memberi diskaun 15% ke atas jumlah bil elektrik bagi tempoh 6 bulan dan pengguna domestik sebanyak 2% diskaun. Dengan langkah-langkah yang proaktif oleh pihak kerajaan ini, rakyat seharusnya tidak panik dengan tindakan dan pengumuman yang menganjurkan kawalan pergerakan. Apa yang perlu dilaksanakan adalah akur dan laksanakanlah aktiviti yang berfaedah daripada rumah.

Perpustakaan Negara Malaysia umpamanya telah mengumumkan terdapat 13.2 juta bahan bacaan yang boleh diakses secara percuma melalui portal perpustakaan tersebut. Ini bermaksud, rakyat mampu untuk memenuhi aktiviti secara lebih berkualiti daripada rumah walaupun dengan pergerakan yang terhad. Ini tidak termasuk dengan tawaran syarikat penyiaran seperti Astro, Hypp TV, Iflix, Netflix yang membuka kesemua salurannya untuk dinikmati oleh pelanggannya sepanjang 14 hari berada dirumah.

Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) umpamanya, kesemua kakitangannya telah melaksanakan kerja dari rumah dengan menggunakan sistem perakam kehadiran melalui telefon pintar. Mahasiswa yang masih berada di kolej kediaman kampus, luar kampus dan rumah-rumah sewa juga dibantu melalui skim makanan percuma dan bahan mentah hasil sumbangan orang ramai dan warga USIM melalui Pusat Wakaf dan Zakat, USIM. Kesemua perkhidmatan di USIM telah dilaksanakan secara atas talian. Perpustakaan USIM misalnya, juga telah menawarkan pinjaman artikel secara atas talian bagi perkhidmatan antara perpustakaan melalui pesanan teks Whatsapp.

Secara umumnya, tiada sebab untuk kita mengeluh kesukaran yang sedikit sekiranya kita berlapang dada dan menggunakan masa yang ada dengan lebih produktif walaupun berada di dalam rumah sahaja. Gunakanlah kesempatan yang ada dengan optimum dan semaksimum mungkin dan bertindak kreatif untuk menjayakan misi dan visi warga yang prihatin. Tahun 2020 seharusnya diisi dengan minda positif dan keterhadapan sesuai dengan Wawasan 2020 yang kita idamkan bersama.

Gunakanlah arahan kawalan pergerakan dengan bijaksana, kita cegah penyakit COVID-19 ini dengan baik, dengan penuh pengharapan agar kita berupaya meraikan ibadat secara beramai-ramai pada bulan Ramadan yang akan datang di masjid-masjid berhampiran seperti biasa. Sekiranya langkah pencegahan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini berjaya, kita boleh jayakan juga pelancongan domestik pada masa akan datang kerana Kerajaan juga telah merangka program galakkan pelancongan tempatan melalui pelepasan cukai sebanyak RM 1,000.00 kepada individu untuk perbelanjaan melancong dalam negara sehingga Ogos 2020. Oleh itu, kerjasama dari semua pihak amatlah diharapkan semoga pelan rangsangan ekonomi negara dapat berjalan dengan teratur dan berkesan.

Artikel ini telah disiarkan pada 24  Mac 2020 di Berita Harian Online.