Nur Iqma Natasha Binti JanJan
Nur Iqma Natasha Binti JanJan Pelajar, Fakulti Syariah dan Undang-undang

Bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan suatu negara atau bangsa dikenali sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan rasmi Malaysia, dan perkara ini dapat dilihat dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa semua urusan rasmi di peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun menggunakan bahasa rasmi.

“Bahasa Jiwa Bangsa” dan “Bahasa Menunjukkan Bangsa” adalah pepatah Melayu yang digunakan untuk memupuk identiti masyarakat Malaysia. Peribahasa atau pepatah ini juga sering dikongsi atau tersebar luas di media elektronik mahupun media cetak. Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi bahawa bahasa Melayu itu adalah bahasa kebangsaan bagi di Malaysia. Namun begitu, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia telah mencipta fenomena kecacatan pada penggunaan bahasa Melayu yang sebenar. Kelalaian dan keasyikan masyarakat dalam menggunakan media baharu telah mendorong mereka menggunakan percampuran bahasa iaitu bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka.

Bahasa rancu juga dikenali sebagai bahasa rojak, iaitu suatu keadaan bahasa yang tidak teratur dan bercampur aduk, dimana bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dicelarukan dalam penulisan termasuklah di medium media sosial seperti Twitter, Facebook dan lain-lain. Menurut Aminudin (2013), penggunaan bahasa rojak ini disebabkan oleh sikap segelintir masyarakat yang tidak petah bertutur dalam bahasa kebangsaan. Mereka menganggap bahasa rojak ini memudahkan mereka berkomunikasi dalam menyampaikan maksud yang mereka ungkapkan, dan menganggapnya sebagai suatu yang kreatif dalam penggunaan seharian.

Fenomena perkembangan teknologi komunikasi seperti kemunculan media baharu telah banyak mempengaruhi cara individu dan sebuah masyarakat berkomunikasi. Ini kerana pengguna-pengguna media daripada latar belakang budaya yang berbeza secara tidak langsung akan menggunakan bahasa mereka tersendiri. Disebabkan itu, wujudlah penulisan bahasa yang pelbagai di garis masa (timeline) media sosial masing-masing di mana pengguna bebas untuk menonjolkan persepsi, pendapat dan budayanya mengikut kesefahaman bahasa mereka. Kajian Noor Aida et al (2014) menyatakan bahawa media sosial seperti Facebook antara penyebab pencemaran bahasa wujud dan berterusan, contohnya penggunaan bahasa rojak. Kajian yang mengkaji aliran pertuturan penggunaan bahasa rojak di laman Facebook ini menunjukkan bahawa fenomena percampuran Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris amat ketara selain kesalahan tatabahasa yang tidak bertepatan dengan sistem nahu Bahasa Melayu. Dalam kebanyakan kes, laman web seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, WeChat dan sebagainya telah menjadi medium utama yang digunakan oleh pengguna termasuk golongan generasi Z dalam berinteraksi dan berkongsi maklumat dan berkongsi pendapat masing-masing.

Penggunan bahasa Melayu dilihat semakin merosot apabila pelajar sekolah turut termasuk dalam golongan yang memperlekehkan penggunaan bahasa kebangsaan ini. Generasi atau golongan mereka yang hidup dalam fenomena modenisasi ini lebih menggalakkan mereka menggunakan gajet untuk pembelajaran, dan pada masa yang sama juga telah memberikan mereka kebebasan untuk menggunakan media sosial seperti Twitter, Facebook dan sebagainya untuk berkomunikasi. Ketika berkomunikasi pula, mereka terdedah kepada penggunaan bahasa yang pelbagai, termasuklah penggunaan bahasa rancu. Hal ini kerana, seiring dengan kepesatan teknologi dan maklumat ini, bagi mereka bahasa yang perlu dititikberatkan adalah bahasa sains dan teknologi manakala bahasa Melayu pula adalah sebaliknya. Menurut Periasamy (2022), sikap segelintir pihak yang memperlekehkan bahasa kebangsaan telah membawa natijah buruk terhadap Bahasa Melayu.

Pencemaran Bahasa Kebangsaan juga semakin berleluasa apabila stesen televisyen dan penerbitan menggunakan bahasa rojak yang bertujuan untuk menarik orang ramai menonton filem atau drama yang diterbitkan. Daripada pertuturan harian sehinggalah kepada program-program televisyen, radio dan iklan pada masa kini semakin terdedah kepada bahasa rojak. Hal ini juga dapat dilihat apabila sesetengah anggota pentadbiran kerajaan tidak menggunakan bahasa Melayu formal sama ada semasa majlis rasmi atau sidang akhbar, dan dalam kalangan artis atau selebriti juga dilihat menggunakan bahasa rojak atau bahasa rancu ini di media sosial mereka, dan hal ini secara tidak langsung telah menjadi ikutan orang awam. Ia sudah menjadi rutin bagi mereka untuk bercakap bahasa rojak ini di mana Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris digabungkan dan struktur bahasa yang disingkatkan.

Kajian Nur Farahkhanna et al. (2022) mengatakan bahawa kebebasan bersuara oleh pengguna dalam media sosial turut menyumbang kepada kemerosotan Bahasa Kebangsaan ini. Namun begitu, sejajar dengan Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan yang telah menetapkan dan memberikan hak kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia menyebabkan penggunaan bahasa rojak atau bahasa rancu ini sudah tidak terkawal lagi. Keadaan ini telah menggugat kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dimana masalah kerancuan bahasa ini berlaku disebabkan sikap pengguna itu sendiri yang tidak menitiberatkan bahasa Melayu yang betul. Keupayaan untuk berkomunikasi dalam media sosial akan menjadi bercelaru dan pengguna akan mengalami kekeliruan dalam berbahasa kerana penggunaan bahasa yang tidak tepat telah digunakan dalam komunikasi setiap hari.

Masalah peningkatan penggunaan bahasa rojak ini telah dipandang serius, kerana ianya telah menggugat keistimewaan kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia. Oleh itu, beberapa pihak telah mengambil bahagian dan memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kedudukan Bahasa Melayu tidak tergugat dan tidak diperlekehkan, walaupun berada di era modenisasi ini. Ini kerana, jika masalah ini tidak dibendung atau tidak diatasi, dibimbingai ia akan menjejaskan pemahaman individu terutama dalam kalangan generasi Z terhadap sistem tatabahasa Bahasa Melayu yang tepat.  Akibat daripada kekeliruan menggunakan kata, frasa, ayat bahkan ejaan yang betul menyebabkan berlaku banyak kesalahan berbahasa sama ada secara lisan dan tulisan kerana terbiasa menggunakan bahasa rojak dalam berkomunikasi.

Beberapa langkah telah diutarakan dan perlu diambil bagi mengatasi isu bahasa rojak ini. Langkah pertama ialah peranan ibu bapa itu sendiri. Ibu bapa adalah contoh ikutan bagi anak-anak, oleh itu ibu bapa perlu memberi penerapan penggunaan Bahasa Melayu yang betul terhadap anak-anak. Penerapan penggunaan Bahasa Melayu yang betul ini perlulah diterapkan dari peringkat awal lagi, iaitu sebelum anak meningkat dewasa. Hal ini kerana jika tidak diterapkan daripada peringkat awal, kemungkinan besar akan menyukarkan ibu bapa untuk membendung penggunaan bahasa rocak atau rancu. Seterusnya, pihak sekolah juga memainkan peranan penting  dalam membendung penyebaran penggunaan bahasa rancu atau rojak ini, dimana guru-guru dapat menjalankan tugasnya dengan menegur kesalahan pelajar dalam berbahasa. Tambahan pula, penganjuran aktiviti-aktiviti sempena bulan bahasa seperti pertandingan pidato, syarahan dan kuiz ini secara tidak langsung membantu mereka mempelajari Bahasa Melayu yang betul dan tepat.

Selain itu, pihak kerajaan juga memainkan peranan mereka dalam memartabatkan Bahasa Melayu ini iaitu dengan mengadakan kempen kesedaran. Kempen ini bertujuan untuk mengembalikan dan menaikkan semula kedudukan dan martabat Bahasa Melayu khususnya dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Akhir sekali, untuk memastikan bahasa Kebangsaan ini terpelihara, sikap dan kesedaran bagi setiap individu itu perlulah diperhebat dan diperkasakan terutamanya kepada generasi muda. Generasi muda ini lebih mudah dan banyak terdedah kepada istilah-istilah baru yang melanggar ketepatan sesuatu bahasa. Oleh itu, usaha-usaha yang berkait rapat dengan pemeliharaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan ini, perlulah digiatkan lagi bagi memelihara kedudukan dan martabat Bahasa Melayu itu sendiri.