Siti Nur Huzaifa Binti Mohamad Zunuraini
Siti Nur Huzaifa Binti Mohamad Zunuraini Pelajar, Program Fiqh dan Fatwa Fakulti Syariah dan Undang-undang

Kesihatan mental adalah satu keadaan di mana kesejahteraan dari segi emosi, psikologi dan sosial seseorang individu yang mempengaruhi cara manusia berfikir, rasa atau bertindak melakukan sesuatu. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental ditakrifkan sebagai keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial secara holistik dan bukan sahaja merujuk kepada ketiadaan penyakit atau hilang upaya. Kesihatan mental boleh terjejas oleh beberapa punca seperti masalah sosio-ekonomi yang membebankan diri, perubahan persekitaran secara tiba-tiba, tekanan pekerjaan, dan penyakit-penyakit fizikal yang sukar diubati. Bertentangan dengan kesihatan mental, individu yang mengalami masalah penyakit mental pula didefinisikan di mana satu keadaaan tahap mental seseorang individu tersebut menjejaskan aktiviti sehariannya dari segi sosial dalam kalangan masyarakat sekitarnya ataupun dalam kualiti pekerjaaannya di tempat kerja.

Masalah kesihatan mental menjadi isu yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Selari dengan kemajuan pelbagai sektor di Malaysia yang kini berkembang, masalah kesihatan mental terdapat peningkatan dari tahun ke tahun. Menurut tinjauan Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 membuktikan bahawa sekurang-kurangnya satu daripada 10 anak muda atau 10 peratus daripada 5.5 juta belia di Malaysia ini pernah berfikir untuk mengakhiri hidup mereka dengan bunuh diri akibat masalah mental seperti kemurungan (depression), kebimbangan melampau (anxiety) dan tekanan jiwa (stress) yang berlebihan. Walaubagaimanapun, masalah kesihatan mental dikalangan pelajar universiti adalah perkara yang sangat umum dan lazim. Masalah ini tidak diambil perhatian oleh masyarakat Malaysia kerana segelintir individu mengatakan bahawa masalah mental ini tidak penting dan akan berlalu begitu sahaja tanpa memerlukan rawatan.

Pelajar universiti terjerumus kepada masalah mental ini berpunca daripada pelbagai perubahan persekitaran mereka. Segelintir pelajar yang menuntut ilmu di institut pengajian tinggi terutama pelajar tahun pertama perlu merantau jauh daripada rumah dan keluarga mereka. Hal ini amat menyumbang kepada perasaan sedih kerana berjauhan dari keluarga tercinta dan mereka berkemungkinan tinggi mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri di persekitaran baru yang dipenuhi dengan pelbagai cabaran baru bagi mereka. Apabila mereka terlampau berlebihan dalam mengalami kesedihan, mereka berkemungkinan akan mengalami kemurungan yang merupakan salah satu masalah mental yang mudah dihidapi oleh pelajar jika mereka tidak pandai mengurus dan mengawal perasaan mereka dengan baik.

Kesukaran pengurusan tugasan dengan baik juga menjadi salah satu sebab timbulnya penyakit mental dalam kalangan pelajar universiti. Menurut Kohn dan Frazer (1986), salah satu faktor yang menyebabkan seseorang pelajar mengalami stress dalam kehidupan mereka ialah disebabkan beban tugasan yang diterima oleh pensyarah mereka. Kegagalan mereka dalam menguruskan masa dalam menyiapkan tugasan yang menumpuk menyebabkan mereka mengalami tekanan secara mendadak. Ianya juga membawa kepada pelbagai penyakit lain seperti pening kepala yang kronik dan tekanan darah menjadi tinggi. Hal ini amat membimbangkan kerana membawa risiko yang berbahaya kepada kesihatan mereka bukan sahaja dari segi mental sahaja, tetapi juga fizikal mereka.

Seterusnya, tekanan akademik dan kegagalan dalam peperiksaan adalah faktor yang menyumbang kepada peningkatan tahap tekanan dalam diri pelajar universiti. Rashiqah Ilmi Abd Rahim dan Siti Azliza Alias (2018) menyatakan bahawa, remaja mula sedar dan belajar tentang akibat dari tindakan mereka bermula dari usia 11 tahun, tidak kira tindakan tersebut dilakukan oleh diri sendiri ataupun orang disekeliling mereka seperti ibu bapa yang merupakan guru pertama mereka setelah mereka dilahirkan ke dunia. Kemurungan akan muncul akibat perilaku ibu bapa yang gemar membandingkan anak mereka dengan orang lain. Bagi pelajar yang mengalami situasi begini, mereka beranggapan bahawa mengecewakan ibu bapa dengan keputusan yang tidak memuaskan atau gagal dalam peperiksaan merupakan perkara yang sangat mereka takuti.

Bertitik tolak daripada punca-punca tersebut, beberapa inisiatif perlu diambil perhatian untuk merawat masalah kesihatan mental yang sering berlaku dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi pada zaman yang dipenuhi cabaran ini. Perkara pertama yang perlu diambil ialah, pelajar itu sendiri perlu mencuba sedaya upaya untuk mengubah amalan kehidupan mereka dan jauhi segala perkara negatif. Pelajar dinasihatkan supaya mendapatkan tidur yang berkualiti dan hindari daripada membiarkan diri diselimuti dengan kesedihan sebelum hendak tidur. Elakkan bersendirian dengan mencuba mencari hobi baru seperti menulis, membaca buku-buku puisi yang memberi motivasi positif ataupun beriadah untuk menenangkan fikiran yang membebankan. Seterusnya, memperbanyakkan ibadah seperti menunaikan solat-solat sunat, membaca Al Quran serta mentadabbur ayat Al-Quran.

Mendapatkan rawatan pakar psikologi merupakan langkah yang bagus untuk merawat masalah kesihatan mental. Pusat kesihatan psikologi merupakan satu inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan bantuan untuk membantu mereka untuk keluar dari lorong kegelapan. Mereka bertanggungjawab untuk memberi kaunseling dan peluang untuk pesakit meluahkan perasaan yang membebani diri mereka. Selain itu, pelajar juga perlu mengurangkan penggunaan sosial media. Sosial media adalah platform dimana semua masyarakat tanpa mengira umur untuk meluahkan dan berkongsi aktiviti seharian mereka dengan bebas tanpa ada sekatan. Platform ini cenderung memberikan impak negatif kepada pelajar universiti apabila mereka melihat aktiviti kehidupan rakan-rakannya yang terlihat lebih menyeronokkan. Dari sini mereka mula untuk membandingkan diri mereka dan menjerumus diri kepada hal yang menyakiti diri mereka sendiri. Maka pelajar perlu mengehadkan masa dalam melayari sosial media seperti tiktok, instagram dan facebook.

Hal ini dapat dirumuskan bahawa masalah kesihatan mental amat memberi impak yang besar dalam kehidupan pelajar universiti. Masalah ini sering disembunyikan dan tidak mendapat perhatian yang serius dari ibu bapa mereka kerana menganggap perkara ini bukanlah isu yang penting. Pelajar yang mengalami masalah mental perlulah diberi sokongan emosi, kasih sayang, galakan dan kefahaman. Dorongan dan sokongan ini membantu pelajar untuk terus bangkit untuk mencari cara memulihkan diri mereka bagi menemukan kembali makna dan tujuan kehidupan mereka. Oleh itu, hal ini amat perlu diambil perhatian bertitik tolak dari sekarang seperti mendedahkan akibat dari masalah mental dan memberi khidmat pemeriksaan kesihatan mental secara berkala bagi pelajar univesiti. Usaha murni ini akan mendatangkan hasil sekiranya pelbagai pihak memberi kerjasama yang baik dalam melaksanakannya.