Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Salah satu daripada keperluan asas manusia adalah makanan untuk meneruskan kehidupan dan ia membekalkan tenaga serta nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan. Selain daripada kandungan zat dalam makanan antara aspek yang wajar diberi penekanan ialah status halal dan kebersihan bagi memastikan sumber dan rantaian makanan yang diperoleh memenuhi salah satu objektif perlaksanaan Pelan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025 iaitu memastikan keberadaan makanan yang selamat dengan harga berpatutan dan gaya pemakanan sihat. Umumnya, sekuriti makanan merujuk kepada kewujudan bekalan makanan dan kemampuan untuk memperolehnya. Sekuriti makanan akan memastikan makanan yang dibekalkan dalam pasaran domestik mencukupi untuk keperluan rakyat, mudah diperolehi dan bekalan berterusan serta stabil untuk memastikan rakyat menjalani kehidupan aktif dan sihat.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), terdapat empat dimensi yang menjadi ukuran dalam memastikan sekuriti makanan negara mampu bertahan dalam jangka masa yang lama iaitu ketersediaan makanan, akses makanan, keselamatan makanan dan nutrisi, sumber semula jadi dan kemampanan. Isu melibatkan sekuriti makanan pada ketika ini adalah isu global terutama apabila ia melibatkan hak asasi manusia untuk memastikan setiap manusia di muka bumi ini mampu mendapatkan sumber makanan demi kelangsungan hidup. Namun, setiap negara bakal berhadapan dengan pelbagai ancaman dan cabaran yang berbeza dalam memastikan perlaksanaan sekuriti makanan demi menjamin kestabilan negara, masa depan dan keperluan rakyat. Oleh itu, Malaysia melaksanakan pelbagai usaha bersepadu untuk menangani masalah-masalah membabitkan dasar bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi menjelang 2050. 

Di Malaysia, dalam tempoh 10 tahun import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion berbanding eksport berjumlah RM296 bilion. Ia merupakan satu jumlah yang banyak dengan purata kadar RM29 juta sehari. Malahan pada tahun 2022, import makanan bagi negara telah melepasi paras tertinggi yang pernah direkodkan iaitu sebanyak RM63 bilion. Keadaan ini amat membimbangkan tambahan lagi untuk memastikan sekuriti makanan negara sentiasa berada dalam keadaan terjamin dan stabil. Kebergantungan negara kepada import makanan daripada negara luar menjadi ancaman utama kepada kelangsungan sekuriti makanan domestik kerana tindakan dan gelagat negara-negara pengeluar yang berhadapan dengan pelbagai krisis luaran dan dalaman akan menggugat kestabilan bekalan makanan dalam negara. Tambahan lagi, Malaysia berada dalam kedudukan yang rapuh apabila berhadapan dengan krisis makanan global seperti yang berlaku semasa krisis makanan sekitar tahun 2008.  

Bagi menjamin sekuriti makanan, pihak kerajaan melalui agensi dan kementerian terlibat seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS)  menggembleng tenaga untuk menjalankan pelbagai inisiatif jangka pendek dan jangka panjang. Inisiatif utama dilihat melalui perlaksanaan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang menumpukan kepada lima teras utama, 15 strategi dan 96 inisiatif dalam memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang krisis sekuriti makanan dan situasi luar jangka. Selain itu Dasar Agromakanan Negara 2.0 turut dilaksanakan untuk  menentukan ketersediaan makanan bagi keperluan rakyat di negara ini.

Kepentingan Sekuriti Makanan Kepada Rakyat Dan Negara

Bagi memastikan kestabilan negara, kecukupan makanan untuk rakyat amat penting dan negara perlu memastikan sekurang-kurang mampu membuat perancangan untuk menampung bekalan pada dekad yang akan datang. Ketidakselamatan makanan berlaku apabila manusia gagal mendapatkan bekalan makanan yang cukup sepanjang masa akibat beberapa faktor seperti tahap sosio ekonomi yang rendah, ketidakseimbangan diet pengambilan diet serta pasaran bekalan makanan sedia ada yang sering berubah-ubah. Kegagalan untuk mewujudkan sekuriti makanan dalam sesebuah negara akan mendorong berlakunya masalah kebuluran dan kelaparan. Ketidakupayaan rakyat untuk memperoleh makanan yang bernutrisi atau membeli makanan dengan harga yang berpatutan akan mengganggu kualiti hidup rakyat. Sekuriti makanan bukan sahaja melibatkan ketersediaan fizikal iaitu makanan tersedia dengan mudah tetapi memastikan makanan sedia ada boleh diakses. Justeru, bekalan makanan perlu konsisten dan stabil untuk memenuhi keperluan sedia ada rakyat. Namun, keadaan amat membimbangkan isu sekuriti makanan sering kali timbul susulan beberapa krisis yang berlaku di peringkat domestik dan global seperti cuaca, pandemik, sekatan bekalan, peperangan dan faktor geopolitik. Krisis yang berlaku ini menyebabkan rantaian bekalan dan pengeluaran makanan terjejas hingga mempengaruhi kenaikan harga barang apabila permintaan melebihi produktiviti pengeluaran.

Di peringkat domestik, perubahan iklim yang mendadak dan ekstrem meningkatkan kebarangkalian untuk berlakunya isu melibatkan sekuriti makanan tambahan lagi bencana banjir dan kemarau yang berlaku memberi impak kepada pengeluaran makanan. Bencana  yang berlaku telah memberi kesan kerosakan fizikal terhadap sektor pertanian, ladang, tanaman, ternakan dan infrastruktur pertanian malahan akses pengangkutan dan logistik turut terjejas. Akibatnya, pengeluar dan penjual mengalami kerugian dan penyusutan dalam menghasilkan bekalan makanan dalam pasaran. Akhirnya, harga tinggi terpaksa dikenakan untuk menampung penyusutan pendapatan mereka di samping memenuhi permintaan yang melebihi pengeluaran. Rakyat yang tidak berkemampuan akan terkesan dengan kenaikan harga makanan yang ada di pasaran hingga sebahagian daripada mereka terpaksa mengikut perut.

Ketidakjaminan makanan akan menggoyahkan hak asasi manusia seterusnya menjadi mukadimah kepada masalah kesihatan, pemakanan dan pembangunan sejagat. Ancaman sekuriti makanan turut memberi impak kepada rakyat untuk memperoleh makanan melalui cara yang berbeza, termasuk pengeluaran, perdagangan, dan pengedaran, serta keupayaan untuk menggunakan dan memelihara makanan dengan berkesan. Usaha untuk memperkukuhkan sekuriti makanan secara berterusan yang dilaksanakan di negara dilihat dapat mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan ia menjadi agenda utama demi menjaga kebajikan rakyat serta memastikan daya tahan negara untuk mendepani pelbagai cabaran global di masa akan datang.