Siti Nur Afrina Mohd Hanafiah
Siti Nur Afrina Mohd HanafiahPelajar, Fakulti Syariah dan Undang-undang

Islam merupakan satu cara hidup yang megatur pelbagai aspek kehidupan. Pengurusan harta yang sistematik merupakan satu proses aturan yang dilakukan bagi tujuan perlindungan dan kemudahan pemilik harta serta mereka yang berkepentingan dengannya. Ilmu Faraidh dalam Islam merupakan cabang ilmu syariah yang menangani hukum-hukum pembahagian harta pusaka selepas seseorang meninggal dunia. Pengenalan kepada ilmu Faraidh adalah suatu langkah untuk memahami prinsip-prinsip dan ketentuan-ketentuan yang ditetapkan oleh Islam bagi menentukan cara yang adil dalam pembahagian harta warisan.

Dalam undang-undang faraidh, terdapat peraturan yang jelas tentang siapa sahaja yang berhak menerima bahagian daripada harta pusaka serta peratusan yang ditetapkan untuk setiap golongan waris. Waris-waris tertentu seperti anak-anak, isteri, ibu bapa, dan ahli waris lain diberikan hak tertentu berdasarkan kedudukan keluarga mereka. Ini adalah satu usaha dalam Islam untuk memastikan keadilan dan kebenaran dalam aspek pembahagian harta, sejajar dengan prinsip-prinsip syariah.

Dengan memahami ilmu Faraidh, umat Islam dapat menjalankan kewajipan mereka dalam mematuhi undang-undang Islam berkaitan harta warisan. Hal ini membantu masyarakat Islam untuk mengelakkan konflik dan ketidakadilan dalam pembahagian harta pusaka serta mengekalkan keharmonian dalam hubungan keluarga. Oleh itu, ilmu Faraidh tidak hanya memberikan panduan undang-undang, tetapi juga memfokuskan nilai-nilai keadilan, keharmonian, dan ketaatan terhadap ajaran agama.

Sebelum kedatangan Islam, sistem warisan atau harta pusaka dalam kalangan masyarakat Arab pada zaman Jahiliyyah (zaman kejahilan) tidak mengikuti prinsip-prinsip keadilan yang ditetapkan oleh Islam. Beberapa ciri khas sistem warisan pada masa itu termasuk:

  1. Diskriminasi Gender: Wanita sering kali dikecualikan atau diberikan bahagian yang lebih kecil dalam pembahagian harta pusaka. Beberapa tradisi Jahiliyyah memberikan hak warisan yang sangat terhad kepada wanita, dan kadang-kadang mereka dapat diabaikan sepenuhnya.
  2. Pentingnya Garis Keturunan: Pembahagian harta pusaka cenderung sangat bergantung pada garis keturunan dan kedudukan keluarga. Waris-waris yang lebih dekat secara garis keturunan dapat menerima bahagian yang lebih besar.
  3. Sistem Warisan yang Kabur: Terdapat ketidakjelasan dan ketidakpastian dalam sistem warisan, dan pembahagian harta pusaka sering kali bergantung pada tradisi lisan dan keputusan keluarga, yang boleh menyebabkan ketidakadilan.
  4. Pentingnya Kelompok Kekerabatan: Kekerabatan dan keanggotaan dalam kabilah atau kelompok etnik memainkan peranan penting dalam pembahagian harta pusaka. Orang yang tidak termasuk dalam kelompok tersebut mungkin dikecualikan dari hak warisan.

Selepas kedatangan Islam, hukum faraidh ditetapkan dalam Al-Quran untuk menyelaraskan dan menyempurnakan sistem warisan. Hukum ini membawa prinsip keadilan, menghapuskan diskriminasi gender, dan memberikan panduan yang jelas untuk pembahagian harta pusaka berdasarkan ketetapan syariah. Penulis kitab Fiqh al-Manhaji iaitu sheikh Mustafa al-Khin, sheikh Mustafa al-Bugha dan sheikh Ali as- Sariji menyebut bahawa pensyariatan al-faraid mengandungi hikmah yang sangat besar kepada umat Islam, tetapi boleh disimpulkan kepada tiga perkara:

  1. Selari dengan tuntutan fitrah manusia. Ini kerana manusia diciptakan secara berpasangan dan melaluinya zuriat mereka berkembang. Oleh yang demikian, secara fitrah terhasil perasaan kasih sayang dalam lingkungan kekeluargaan. Keluarga inilah (isteri dan anak-anak) menjadi sebab manusia berusaha mencari harta, maka sudah pasti apabila mereka mati, kehendak naluri semulajadi mereka mengharapkan agar hasil usaha tersebut dipindah milik kepada orang yang mereka sayang, yang mendorong mereka ketika nyawa dikandung badan. Memberi bahagian kepada waris terdekat ini (isteri atau suami, anak-anak dan kedua ibubapa si mati) sudah pasti selaras dengan kehendak (fitrah) manusia.
  2. Mencetus perasaan saling membantu sesama waris, khususnya keluarga yang terdekat.  Ini kerana waris yang mengetahui haknya ke atas harta si mati  (orang yang ada hubungan dengannya) pasti tidak menolak untuk menolong jika ia berada dalam kesempitan. Begitu juga, harta yang ditinggalkan si mati mampu menolong waris-waris yang masih hidup untuk meneruskan kelangsungan kehidupan didunia yang fana ini dengan lebih aman dan harmoni.
  3. Menjadi sebab untuk mengeratkan silaturahim sesama waris. Ini jelas semasa terjadinya pembahagian pusaka yang dapat menghimpun semula waris-waris si mati yang mungkin terpisah sekian lama, dengan syarat hikmah-hikmah diatas difahami dan dipraktikkan oleh semua waris. Harta pusaka juga boleh menjadi asbab untuk waris si mati memaafkan si mati andai berlaku kekhilafan sesama mereka di masa lampau.

Jika ketiga-tiga hikmah diatas dihayati dan ditelusuri, maka menjadi tanggungjawab kita membantu si mati dengan hartanya yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita telah senang tanpa perlu kepada pusakanya, maka terimalah pusaka tersebut kemudian kembalikan jariah harta itu kepada si mati dengan sedekah, wakaf dan infaq atas mama si mati. Manakala jika kita susah dan perlu kepada pusakanya, maka ambillah dan makanlah daripadanya kerana ia memang milik kita, tetapi jangan lupa untuk istiqamah dalam hal agama dan berakhlak mulia, kerana kebaikan-kebaikan itu akan kembali kepada si mati dan menjadi amal jariah kepadanya.

Mohonlah kepada Allah SWT agar harta pusaka ini membawa berkat dalam kehidupan kita. Bukan menjadi beban dan memberi kesukaran dalam menempuh cabaran di dunia. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Segala hukum yang tersebut adalah batas syariat Allah dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan baginya azab siksa yang amat menghinakan.” (An-Nisa: 13)

Kesimpulannya, jelaslah kita dapat lihat bahawa hikmah dan tujuan faraidh dalam Islam tidak hanya terfokus pada aspek pembahagian harta pusaka semata, tetapi juga melibatkan nilai-nilai murni dan tujuan moral yang mendalam. Faraidh dalam Islam bukan sekadar peraturan pembahagian harta pusaka, malah ianya juga sebuah instrumen yang memainkan peranan penting dalam mendidik dan membentuk masyarakat untuk mencapai kesejahteraan spiritual dan material dalam pemilikan dan penggunaan harta benda.